Monday, March 27, 2006

27.03.2006

Dengan kegawatan ekonomi dan kenaikan minyak yang melanda tanahair, sudah pastilah kehidupan yang dilalui terasa sedikit sebanyak kesulitannya. Baik bagi mereka yang berpendapatan rendah mahupun yang berpendapatan tinggi. Masing-masing dengan kerenah tersendiri. Kalau ditanya pada orang pasar ... manusia yang lalu lalang cukup ramai tambahan pula di musim cuti sekolah tapi cuma sekadar memegang serta membelek barangan jualan dengan keinginan hati yang mendalam untuk membeli tetapi terpaksa dipendamkan sahaja niat dan hasrat itu lantaran kegawatan yang melanda. Biasalah dengar cerita-cerita macam ini sambil-sambil temankan Mak Mertua nak ke Pasar Payang atau on the way balik dari pasar.

Bagi mereka yang meninfaqkan diri di dalam kerja-kerja jamaah, saat-saat seumpama ini jugalah yang menduga keimanan dan kesabaran masing-masing. Terngiang-ngiang ayat surah Al Baqarah ayat 155 di dalam benak kepala masing-masing. Begitulah juga dengan mereka yang berkhidmat di bawah jamaah yang hanya menerima upah yang tidak seberapa. Guru-guru yang mengajar di sekolah DAR, baik di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah, pensyarah-pensyarah yang mengajar di Kuliah dan yang seumpama dengannya. Sudahlah imbuhan yang diterima tidak seberapa, tanggungjawab sosial yang banyak untuk dilaksanakan yang mana menuntut pengorbanan bukan sahaja jiwa dan tenaga bahkan juga material.

Namun Alhamdulillah walaupun betapa susah kehidupan yang dilalui, rezeki Allah tidak pernah putus-putus melimpah samada yang turun daripada langit mahupun yang keluar daripada bumi atau dari mana-mana sumber yang Allah jadikan ianya sebab pemberi rezeki.

Sebagai contoh apabila penulis membaca blog Al Fadhil Ustaz Nasaruddin, perasaan kagum diiringi dengan linangan air mata melihatkan perjuangan, pengorbanan serta keikhlasan yang ditaburkan demi perjuangan Islam. Bukan sekadar dia seorang sahaja bahkan ramai lagi mereka yang sejiwa dan senada dengan beliau.

Al Fadhil Tuan Guru Haji Hadi dan Al Fadhil Tuan Guru Haji Harun Taib yang telah sekian lama bersama dengan perjuangan Islam secara sepenuh masa. Kisah mereka juga hampir sama dengan kisah Ustaz Nasaruddin Tantawi bahkan mereka lebih lagi merasai kepahitan dan kemanisan perjuangan ini.

Teringat juga penulis dengan ayahanda yang telah pun sekian lama resign dari Kementerian Pendidikan semata-mata untuk bersama-sama dengan perjuangan Islam ini. Kisah yang hampir sama cuma watak, masa dan ketika sahaja yang berbeza. Sanggup meninggalkan jawatan yang menjanjikan habuan lumayan yang pastinya dapat memenuhi kehendak dan keperluan keluarga dengan secukupnya berbanding berkhidmat dan bersama dengan perjuangan Islam yang tidak menjanjikan sebarang habuan duniawi. 'Baba' dalam bahasa manjanya pernah ditawarkan untuk berkhidmat di luar negara namun tawaran itu ditolak kerana memilih bersama perjuangan Islam.

Saban hari bertemu dengan 'Amilien' di dalam gerakan Islam ini, semakin bertambah rasa taajub dan kagum dengan kehadiran mereka yang sanggup berkorban segala apa demi perjuangan Islam. Yang kaya menghulurkan hartanya, yang berilmu mencurahkan bakti menabur ilmu, yang punya kemahiran berusaha memantapkan perjuangan ini dengan setiap pengalaman yang ada biarpun tawaran di luar sana sedia dan seringkali memanggil-manggil.

Yang menyedihkan hanyalah apabila kritikan yang diutarakan terhadap golongan yang bergelar Ustaz mahupun Ustazah yang dipersoalkan ke manakah menghilangnya mereka. Memang benar tiada bangunan yang dibina, tiada wang yang ditaburkan, tiada segalanya tiada ... tetapi merekalah yang telah berkhidmat dari bawah demi mendokong perjuangan Islam menyedarkan masyarakat serta mengajak masyarakat supaya kembali kepada Islam yang sebenar. Namun bilakah kesan serta hasilnya boleh kelihatan ??? Hanya Allah sahajalah yang boleh mendedahkannya.

Baru-baru ini penulis mendengar desas-desus yang seakan-akan merisik diri ini supaya berkhidmat sepenuh masa di Pejabat Perhubungan Negeri, namun sampai ke saat ini masih tiada lagi lamaran yang diterima. Andainya benar ... sanggupkah lamaran itu diterima dengan segulung ijazah di tangan tetapi tawaran yang datang tidak seberapa. Moga-moga Allah memperkuatkan keimanan dan kesabaran diri ini ... Amien

Sunday, March 26, 2006

Imtihan

Sabda Rasulullah saw: Sungguh ajaib orang yang beriman, setiap sesuatu yang berlaku ke atasnya adalah baik baginya. Jika sekiranya dikurniakan kebahagiaan dianya bersyukur, maka ianya adalah suatu kebaikan baginya dan jika jika sekiranya ditimpa mala pelataka dianya bersabar, maka ianya adalah suatu kebaikan baginya. Riwayat Muslim

Hadith ini memberi pengertian yang sungguh bermakna buat diri ini. Bersabar di saat kemurungan atau kedurjanaan dan bersyukur di saat kebahagiaan. Bila diimbau kehidupan kita kembali, sudah terlalu banyak kesenangan dan kemewahan yang Allah taala anugerahkan kepada kita tetapi kadang-kadang cuma sekelumit lafaz Alhamdulillah sahaja yang diungkapkan ... itupun hanyalah sekadar lafaz yang diluahkan bersama dengan bacaan Al Fatihah atau surah-surah yang lain atau di dalam muqaddimah doa semata-mata tanpa menusuk ke dalam jiwa dan sanubari ini. Bukan itu sahaja, kehidupan seharian yang berlalu sunyi dan sepi dari zikrullah bahkan kadang-kadang melangkah lebih jauh dengan mengingkari arahan dan larangan-Nya azza wa jalla. Sesekali timbul persoalan layakkah diri ini mengutip janji-janji Tuhan yang disemadikan samada dengan perantaraan Al Quran mahupun Sunnah Baginda saw tentang keindahan syurga dan kenikmatan di dalamnya.

Sudah tentulah kita merasa cukup kerdil dan hina untuk menerima anugerah yang sebegitu besar. Benar kita mengharapkan syurga Ilahi, mengimpikan agar dihindarkan dari azab seksa-Nya, tetapi dengan kesibukan kehidupan di dunia dan kealpaan yang lahir telah menghilangkan ketakutan kita terhadap janji-janji Rabbul Izzati ini.

Ya Allah Ya Tuhanku, kalau suatu ketika dulu ada di kalangan para sahabat yang mengeluh kerana bimbangkan tentang ketulusan iman mereka ... bahkan mereka takut dan bimbang andai kata keimanan mereka tercela dengan sifat-sifat munafik lantaran sedikit kealpaan yang lahir lantaran daripada kesibukan dunia. Apatah lagi hambamu ini yang sudah jauh berada di zaman yang boleh disifatkan sebagai zaman mutakhir. Kenapa tidak ada sedikitpun perasaan gentar dan takut di dalam diri ini. Kalau ada pun ianya hanyalah seketika cuma ...

Ya Allah Ya Tuhanku, diri ini sedar bahawa diri ini masih lagi belum bersyukur pada-Mu Ya Allah. Kesyukuran itu lahir hanyalah seketika dan di lidah semata-mata Ya Allah. Campakkanlah secebis ketakutan di dalam diri ini Ya Allah.