Monday, July 16, 2007

Maqasid Shariah Dalam Perbankan Islam


Sejarah Perbankan Islam di Malaysia bermula pada tahun 1983 dengan tertubuhnya Bank Islam Malaysia Berhad pada 1 Julai 1983. Bermula daripada tarikh itu, Perbankan Islam mula bertapak, menampakkan kematangan dan kestabilannya di persada tanahair. Alhamdulillah dengan adanya institusi seperti ini, tanggungjawab untuk mewujudkan sebuah Institusi Perbankan Islam sudah pun terlaksana. Apa yang tinggal adalah tanggunjawab kita sebagai seorang Muslim untuk menyokong dan memastikan kestabilan institusi ini agar ianya dapat berkembang pesat bahkan menyaingi institusi perbankan konvensional yang ada di Malaysia ini.

Saya tertarik dengan apa yang dikatakan Y.B. Tan Sri Nor Mohamed Bin Yakcop, Menteri Kewangan II yang menyatakan dalam sebuah bukunya yang menyentuh tentang Kewangan Islam bahawa yang membezakan sistem Kewangan Islam dengan sistem konvensional yang ada bukanlah hanya pada unsur pengharaman riba, gharar dan zalim semata-mata bahkan ianya lebih bersifat komprehensif dengan adanya tanggungjawab sosial, keadilan, perniagaan yang telus serta memenuhi maqasid at tasyrie’ yang terkandung dalam ad dharuraat al khamsah.

Apa yang menarik perhatian saya adalah sistem pelaksanaan Perbankan Islam di Malaysia yang menggunakan kaedah Bai Bithaman Ajil yang mana sistem ini ditolak secara terang-terangan oleh kebanyakan alim ulama’ di Timur Tengah bahkan ianya tidak dipraktikkan sama sekali oleh mana-mana bank di sana.

Apabila saya melihat kepada aqad jual beli sepertimana yang biasa diterangkan oleh mana-mana individu sebelum ini, ianya kelihatan seperti tidak mempunyai sebarang permasalahan mahupun sebarang kecacatan. Bank membeli sesuatu produk daripada pihak pembeli dan kemudiannya menjual kembali produk itu kepada pembeli dengan harga tertunggak berdasarkan kepada kadar faedah yang dipersetujui.

Apa yang menimbulkan kemusykilan adalah apabila ianya tiba pada peringkat pelaksanaan, masih ramai di kalangan pegawai bank mahupun agen jualan masih lagi tidak memahami bagaimanakah sesuatu kontrak itu dilaksanakan sehingga timbul beberapa kekeliruan kerana aqad itu tidak difahami dengan sebaiknya. Kebiasaan yang berlaku adalah kebanyakan pegawai bank mahupun agen jualan tidak menitik beratkan soal berapakah harga jualan. Apa yang dititik beratkan hanyalah pada bayaran deposit dan bulanan semata-mata sehingga mendatangkan keraguan pada pihak pembeli tentang harga jualan yang disepakati.

Ini adalah kesimpulan yang dapat saya berikan berdasarkan soal selidik saya dengan beberapa individu yang menggunakan sistem Perbankan Islam dan apabila berurusan sendiri dengan pihak bank. Satu-satunya bank yang saya dapati melampirkan di dalam perjanjian jual belinya satu lampiran yang menyatakan pihak bank membeli produk ini dari penjual dengan harga sekian dan menjual kembali produk ini kepada pembeli dengan harga sekian adalah Bank Muamalat sekaligus menghilangkan segala keraguan yang bakal timbul pada kemudian hari. Adapun bank-bank yang lain, saya yakin ramai pembeli menyangka mereka membeli sesuatu produk dengan harga asalnya tanpa dimasukkan keuntungan yang diperolehi oleh pihak bank lantaran kekeliruan yang dicetuskan pada peringkat akar umbinya lagi.

Bukan itu sahaja, apabila terlibat dalam proses perundangan melibatkan kes-kes tunggakan pinjaman samada dalalam konteks BBA (Bai Bithaman Ajil), Qardhul Hasan dan lain-lain saya dapati banyak maslahah adalah menyebelehi pihak bank semata-mata. Saya banyak membaca artikel yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman yang menceritakan tentang Maqasid At Tashrie terutamanya dalam isu Perbankan Islam namun ianya seakan-akan pada pendapat peribadi saya menitik beratkan maslahah pada sebelah pihak sedangkan pihak yang satu lagi menanggung bebanan yang tidak diterima akal.

Bagaimana mungkin seseorang membeli sebuah rumah misalnya yang harga semasanya adalah RM100,000 tetapi seakan-akan menanggung suatu bebanan yang berharga RM250,000. Ini adalah realiti yang berlaku dalam sistem kewangan Islam pada hari ini. Pengguna terpaksa menanggung suatu jumlah yang tidak dapat digambar oleh akal manusia sedangkan nilai semasanya adalah terlalu jauh. Apa akan terjadi jika sekiranya pengguna hendak menjual rumah ataupun tanah tersebut. Adakah dianya boleh menjual hartanya dengan nilaian RM250,000 sepertimana harga belian yang disepakati. Sudah tentu tidak kerana ianya bukanlah harga semasa sebaliknya suatu andaian yang dibuat berdasarkan perhitungan yang disandarkan kepada falsafah riba.

Kita membaca hadith ‘Al Kharaj Bid Dhaman’ tetapi dalam konteks ini di manakah Dhaman ataupun risiko yang ditanggung oleh pihak bank.

Saya bagi suatu contoh; seseorang membeli suatu aset yang berharga RM250,000 daripada pihak bank dengan harga jualan yang disepakati sebanyak RM650,000. Setelah 10 tahun dia berjaya membayar RM250,000 dan mengalami sidikit masalah kewangan sehingga menyebabkannya tidak mampu membayar ansuran bulanan. Apa yang berlaku kebiasaannya, kes ini akan di bawa ke mahkamah dan sehinggalah sampai tahap akhir perbicaraan dan defendan tidak mampu membayar ansuran bulanan maka aset itu akan dilelong. Yang pastinya lelongan tidak menjanjikan harga tinggi. Katakanlah ianya terjual dengan harga RM300,000 iaitu harga semasa pada ketika itu, maka pihak defendan perlulah melunaskan baki pinjaman pada pihak bank yang berjumlah RM100,000. Bukan sekadar aset yang dimilikinya tergadai bahkan dalam masa yang sama dia kerugian sebanyak RM350,000 disebabkan aset itu dijual dengan harga yang terlalu tidak munasabah dengan harga semasa.

Jika sekiranya dia tidak mampu untuk melangsaikan hutang berbaki sebanyak RM100,000 itu, maka Notis Kebankrapan akan dikeluarkan sekaligus akan menyebabkan dianya diisytihar sebagai MUFLIS.

Fikirkanlah sejenak …

Di manakah objektif sebenar perundangan ekonomi Islam itu ?