Artikel ini ditulis sebagai suatu penerangan tentang perundangan Islam sebenar setelah isu berkenaan dengan dharurat dan fatwa Dr Mashitah heboh diperkatakan.
Antara tanggungjawab orang yang mempunyai ilmu adalah menyampaikan serta menerangkan kebenaran walaupun kebenaran itu sepahit hempedu. Bahkan setiap orang mempunyai taklif (tanggungjawab) masing-masing. Seorang Islam yang berharta serta cukup nisab wajib menunaikan zakat, seorang Islam yang akil baligh wajib menunaikan solat dan banyak lagi pentaklifan yang telah ditentukan syara’ yang merupakan perkara yang dianggap ma’lum bid dharurah (wajib diketahui oleh setiap muslim) seperti mencuri, makan rasuah serta menerima rasuah, berzina, berjudi, membunuh adalah merupakan perkara-perkara yang diharamkan serta tergolong dari kalangan dosa-dosa besar.
Apabila terpandang artikel di bawah ini, saya merasakan ada beberapa perkara yang perlu untuk kita ketahui. Walaubagaimanapun saya terpaksa menimbulkan beberapa perkara penting yang dapat saya ringkaskan di bawah ini supaya kita dapat mengukur serta mengetahui batas-batasan dharurat serta objektif perundangan Islam yang sebenar.
Islam disyariatkan oleh Allah swt dengan berpaksikan kepada dua faktor utama :
1. tahqieq al maslahah (melaksanakan atau menegakkan kebaikan)
2. dar ul mafasid (menjauhkan perkara-perkara keburukan)
Lantaran itu kita melihat seluruh perundangan Islam memfokuskan pelaksanaannya ke arah menjamin kesejahteraan dan keselamatan seluruh makhluk di alam sejagat ini. Ianya juga bertindak menjauhkan segala bentuk kemudharatan serta menutup segala punca yang membawa ke arah kemudharatan.
Para ulama’ meletakkan bahawa perundangan Islam disyariatkan oleh Allah swt. untuk menjaga 5 keperluan asasi makhluk yang disebut di dalam kitab-kitab fiqh sebagai ad dharuriyaat al khamsah (perkara-perkara darurat yang lima) yang mana ianya diperlukan untuk merealisasikan kesejahteraan hidup manusia bahkan jika sekiranya salah satu keperluan itu cacat atau gugur, maka akan binasalah sistem kehidupan masyarakat itu, huru-hara dan kucar-kacir akan berlaku dan yang paling bahayanya adalah siksaan serta azab yang bakal dirasai di hari pembalasan.
Antara lima perkara yang menjadi fokus perundangan Islam di dalam merealisasikan maqasid at tasyrie’ (objektif perundangan Islam) iaitu melaksanakan atau menegakkan kesejahteraan dan menghindarkan kemudharatan adalah :
Untuk menjaga Agama : lantas disyariatkan Rukun Iman bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia di dalam dua kehidupan dunia mahupun akhirat, disyariatkan solat, zakat, puasa, haji serta hukum hakam yang berkaitan dengan Rukun Islam itu, disyariatkan kewajipan al amru bil ma’ruf wan nahyu annil munkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran), disyariatkan jihad sehingga tertegaknya agama Allah, disyariatkan hukuman ke atas orang yang keluar dari agama (hukum murtad) dll.
Untuk menjaga Ruh (Nyawa) : lantas disyariatkan perkahwinan untuk menjamin kesinambungan keturunan manusia, diharamkan pembunuhan serta disyariatkan hukum hakam bagi mereka yang engkar serta melanggar peraturan ini seperti hukuman qisas¬ (hukum balas balik) bagi orang yang melakukan pembunuhan atau mencederakan orang lain, ta’zier dll.
Untuk menjaga Aqal : lantas disyariatkan pengharaman ke atas setiap perkara yang memabukkan manusia seperti arak, dadah dll. kerana ianya merosakkan akal fikiran serta menjadikan mereka di luar kawalan akal yang menjadi punca kepada segala kemudharatan.
Untuk menjaga Harta Benda : lantas diharuskan jual beli, diwajibkan ke atas setiap insan itu berusaha dan bekerja untuk hidup, diharamkan perbuatan mencuri, merompak, menyamun dan seumpamanya serta disertakan hukuman ke atas golongan yang melakukan jenayah di atas sebagai suatu langkah pencegahan.
Untuk menjaga Keturunan ataupun Maruah : lantas disyariatkan pengharaman zina, hukuman qazaf (perbuatan menuduh orang berzina), serta pengsyariatan hukuman hudud bagi mereka yang mengengkari pengsyariatan ini.
Maka untuk menjaga kesejahteraan dan keamanan hidup sekalian makhluk di atas alam sejagat ini, segala perundangan Islam itu hendaklah dilaksanakan dengan sepenuhnya. Bilamana manusia hidup dengan tidak berlandaskan kepada manhaj yang telah ditentukan oleh Rabbul Alamien, maka akan terjadilah huru-hara, tiadanya keamanan, kemudharatan berleluasa dan sebagainya.
Disebabkan manusia tidak mengikut kepada ajaran Islam secara sempurna, maka timbullah gejala ibu tunggal yang terpaksa melacurkan dirinya demi untuk membiayai kehidupan keluarga, timbullah gejala buang anak, anak luar nikah, rogol, liwat, fitnah, pembunuhan dan sebagainya.
Jika sekiranya ajaran Islam dipraktikkan secara sempurna nescaya seorang ibu tunggal tidak akan menjebakkan dirinya ke kancah pelacuran kerana Islam telah menetapkan di dalam masalah perceraian hak-hak yang masih wajib ditunaikan oleh bekas suami. Bahkan jika sekiranya suami menghilangkan diri atau tidak memberikan nafkah sekalipun, perkara seumpama ini tidak harus terjadi kerana Islam telahpun menetapkan bahawa salah satu daripada golongan yang layak menerima zakat adalah orang-orang fakir dan miskin.
Di dalam Mazhab Syafei menetapkan kadar bayaran zakat yang perlu diberikan kepada seseorang penerima itu adalah sehingga dia mampu untuk berdikari tanpa menerima apa-apa bantuan zakat selepas dari pemberian zakat yang pertama. Maka bayangkanlah jika sekiranya setiap penerima zakat menerima hanya sekali di dalam hidupnya tanpa perlu meminta-minta selepas daripada itu nescaya setelah beberapa dekad kita akan lihat tiada lagi peminta kepada harta-harta zakat ini sebagaimana yang berlaku di zaman Khalifah Umar Abdul Aziz.
Syariat Islam diturunkan oleh Allah swt sepertimana yang dibincangkan di atas adalah untuk menjaga kesejahteraan dan keharmonian manusia serta menghindarkan segala bentuk kemudharatan yang boleh merosakkan kehidupan manusia samada di dunia yang fana ini atau di akhirat yang abadi kelak.
Jika sekiranya kemiskinan adalah punca kepada gejala pelacuran, kecurian, pembunuhan dan sebagainya, maka Islam telahpun membina suatu perundangan yang membantu umat Islam menjana ekonomi serta memakmurkan kehidupan mereka dengan diwujudkan sistem ataupun undang-undang zakat, sadaqah, waqaf, qardhul hasan (pinjaman tanpa faedah), takaful dll. yang mampu untuk menutup segala punca yang membawa kepada kemudharatan atau kerosakan.
Dengan itu, seorang ibu tunggal tidak akan merasakan kesempitan hidup sehingga terpaksa mengambil jalan mudah dengan meletakkan dirinya ke dalam kancah pelacuran yang ternyata semua ulama menyatakan bahawa ianya adalah merupakan perkara yang haram lagi terkutuk.
Gejala-gejala seumpama ini timbul disebabkan ajaran Islam itu tidak dipraktikkan secara menyeluruh. Bilamana suasana hidup masyarakat tidak disemai dengan nilai-nilai Islam, maka akan lahirlah fitnah-fitnah yang seumpama ini.
Tidakkah kita pernah mendengar sejarah Islam suatu ketika dahulu di zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz ketika mana pegawai kerajaan meronda ke seluruh pelusuk negeri untuk mencari siapakah yang layak menerima zakat tetapi tiada seorangpun daripada rakyat jelata yang tampil memohon harta zakat kerana kesemuanya hidup di dalam keadaan senang, aman dan sejahtera. Sehinggalah Khalifah membuat keputusan agar harta-harta zakat ini dibahagikan kepada golongan-golongan muda yang ingin mendirikan rumahtangga tetapi tidak mempunyai bekalan yang mencukupi. Inilah yang berlaku bilamana Islam dipraktikkan secara menyeluruh.
Dharurat hanyalah boleh dijadikan alasan jika sekiranya dia sudah tidak mempunyai alternatif yang lain selain daripada itu. Mustahil untuk kita katakan bahawa pelacuran adalah merupakan satu-satunya jalan untuk mencari rezeki sedangkan bumi ini terbentang luas dihamparkan oleh Allah swt dengan seribu satu kemudahan.
Dharurat sebenarnya mempunyai batasan yang tersendiri bukanlah sekadar ditentukan oleh hawa nafsu kita semata-mata. Seseorang yang dipaksa untuk membunuh seorang yang lain tidak diberikan kelonggaran untuk melakukan pembunuhan itu kerana ianya membabitkan nyawa seorang insan yang lain. Begitu juga seorang yang dipaksa berzina tidak diberikan kelonggaran untuk melakukan perzinaan itu kerana ianya membabitkan maruah dan keturunan insan yang lain jika sekiranya berlaku kehamilan.
Maka begitu juga dengan kisah ibu tunggal ini, tiada lagi tercatat di dalam kitab fiqh yang memberikan keizinan untuk si ibu tunggal ini berzina kerana terlalu banyak alternatif lain yang boleh dilakukan selain dari melacurkan dirinya. Sepanjang pembacaan saya terhadap kitab-kitab fiqh tidak pernah terjumpa lagi pendapat sebagaimana yang tertera di bawah walaupun di dalam kes darurat.
Satu lagi yang saya suka bangkitkan di sini adalah bilamana berlaku sesuatu permasalahan, biasanya yang dipersalahkan adalah ibubapa ataupun masyarakat. Anak dirogol, anak luar nikah, buang bayi, bunuh diri dan sebagainya berlaku dari hari ke hari bahkan dada akhbar sudah semakin padat dengan berita seumpama ini. Lalu kesimpulan yang diberikan adalah ibubapa kurang kasih sayang dan prihatin terhadap anak-anak sedangkan ibubapa ini siang malam memikirkan bagaimana hendak mengawal serta mendidik anak-anak mereka. Anak dihantar untuk belajar al Quran tiba-tiba hilang dan dijumpai diperkosa dan dibunuh, apa lagi yang ibubapa boleh buat sedangkan di luar sana manusia sudah umpama binatang bahkan lebih teruk dari binatang.
Kesimpulannya adalah institusi keluarga perlulah diserapkan lagi dengan nilai-nilai Islam, masyarakat perlulah meneladani ajaran-ajaran Islam dan akhirnya sebagai kemuncak sesebuah kerajaan ataupun khalifah hendaklah meletakkan Islam sebagai ad deen wad daulah tanpa ada sebarang persempadanan di antara keduanya. Islam tanpa pemerintah tidak akan dapat dilaksanakan dan pemerintahan tanpa Islam hanyalah akan mencetuskan kemudharatan.
Saya rasa cukuplah penjelasan ini untuk menghuraikan permasalahan dharurat yang telah ditimbulkan di dalam artikel di bawah ini. Ianya tidak akan timbul bilamana Islam itu memerintah dan tidak diperintah. Rasulullah saw pernah bersabda : Aslim taslam (Islamlah kamu nescaya kamu akan selamat).
--- In mc-ch@yahoogroups.com, Mohd H Misnan wrote:>
Saya sering membaca kisah wanita (terutama ibu tunggal) yang terpaksa menjual diri untuk membesarkan anak.Punca pendapatan ini secara terang adalah haram. Persoalannya, adakah kehidupan dan pendidikan anak yang membesar dengan wang begini akan mendapat keberkatan Allah?
Adakah anak yang mengetahui pekerjaan ibunya tetapi masih menggunakan wang itu akan turut berdosa? Dan bagaimana pula hukumnya jika wang itu digunakan untuk membayar zakat fitrah?
RAZINKuala Lumpur
JAWAPAN
HUKUM di dalam Islam berbeza mengikut keadaan seseorang. Mengikut istilah yang dipakai di sini, iaitu ‘terpaksa’, membayangkan wanita berkenaan terdesak melakukan perbuatan dilarang dan bukan dengan kehendak hatinya. Dia terdesak berbuat demikian demi menyelamatkan anak dan memberi makan. Perkara dilakukan dalam suasana darurat terlepas daripada hukuman biasa. Dalam keadaan biasa, memang melacur itu haram, tetapi jika terdesak dan darurat ia dimaafkan.
Di sinilah timbulnya tanggungjawab masyarakat untuk membantu. Orang terdesak dan darurat tidak mungkin mampu membayar zakat fitrah, bahkan dia tergolong layak terima fitrah. Jika sampai ada lebihan, bererti dia sudah tidak darurat.