Sunday, July 02, 2006

ISLAM HADHARI

Antara prinsip-prinsip Islam Hadhari yang paling utama adalah Keimanan & ketaqwaan kepada Allah swt.

Apakah Iman dan apakah Taqwa yang sebenarnya. Marilah sama-sama kita renunginya buat seketika.

Iman di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah adalah membenarkan dengan hati, mengiqrarkan dengan lisan dan mengamalkan dengan anggota badan. Pendapat ini juga disokong oleh para sahabat seperti Ali Bin Abi Talib, Aishah r. anhum, Imam Syafei, Imam Ghazali
rahimahumullah.

Tanpa tiga anasir ini, maka kesempurnaan Iman itu tidak akan dapat dicapai.
Sepertimana yang telah sekian lama diperbincangkan oleh para ulama' tauhid yang mengklasifikasikan tauhid kepada 3 kategori iaitu:
1. Uluhiyyah
2. Rububiyyah
3. Al Asma was Sifaat

Golongan yang beriman dengan ketiga-tiga kategori tauhid ini sahajalah yang boleh disifatkan sebagai mukmin yang sebenar. Bertitik tolak dari pentafsiran Iman ini jugalah yang telah menyebabkan golongan Murjiah telah melencong jauh dari aqidah yang sebenar apabila mendefinisikan Iman itu hanya kepada 2 unsur sahaja iaitu
membenarkan dengan hati dan mengiqrarkan dengan lisan yang mana telah merebak dan meresap ke dalam kebanyakan fahaman orang Islam di zaman mutakhir ini.


Antara contoh ketara yang perlu diketengahkan supaya disedari bahawa fahaman yang seumpama ini boleh merosakkan aqidah seperti pendedahan aurat, pengabaian solat fardhu, perlakuan sumbang, penglibatan seseorang di dalam kancah dosa besar seperti judi, arak, zina, rasuah adalah isu peribadi dan tidak melambangkan keimanan yang sebenar atau seumpamanya.

Ramai manusia di zaman mutakhir ini baik ahli politik, pemimpin negara, ahli perniagaan, golongan pendidik, masyarakat, ibubapa, remaja dan seumpamanya mengambil ringan masalah dosa baik dosa kecil mahupun dosa besar bahkan memandang rendah permasalahan ini serta menganggap ianya sebagai suatu fahaman yang mengheret manusia kembali ke zaman primitif atau seumpama dengannya.

Lantaran itu lahirlah masyarakat yang dikaitkan dengan keruntuhan akhlak, gejala sosial, isu rogol, cabul, sumbang mahram, khalwat, zina, makan rasuah, penyelewengan dan seumpamanya yang bakal merosakkan generasi pelapis pada masa akan datang.

Kesemuanya menyumbang ke arah kerosakan generasi manusia bilamana pemakanan mereka datang dari sumber yang haram sekaligus menghilangkan keberkatan kehidupan, keturunan dan zuriat yang telah ternoda, kehidupan seharian yang sedikit sebanyak akan tercemar dengan dosa dan noda, keimanan yang luntur dimamah maksiat dan seumpamanya.

Tidakkah kita pernah mendengar kata-kata salafus soleh yang menyatakan bahawa maksiat itu merupakan perantaraan kufur dan kufur itu merupakan perantaraan neraka ... wal iyazabillah

Berkata lagi para salafus soleh:
Usahlah dilihat pada kecil atau besarnya dosa yang dilakukan ...
Sebaliknya lihatlah kepada siapa dosa itu dilakukan ... tidak lain tidak bukan kepada Allah swt yang merupakan Tuhan Pentadbir Alam, Tuhan Yang Maha Pemberi Nikmat, Tuhan Yang Maha Seksa Azab-Nya.
dan bukannya seperti majikan kita atau ibubapa atau raja yang kita geruni dan takuti di atas dunia ini.

Sebagai akhirnya, hayatilah definisi Taqwa ini:
At Taqwa huwa al imtithal bi awamirilLah wal ijtinab binawahieh
Taqwa itu adalah dengan menurut segala titah perintah Allah swt dan menjauhi segala larangannya.

Dalam erti kata yang lain, golongan yang masih lagi melakukan apa yang ditegah oleh Allah dan meninggalkan apa yang diperintahkan-Nya tidak akan dapat mencapai tahap Taqwa yang sebenar biarpun mereka masih lagi mendabik dada menyatakan keimanan dan keislaman mereka sebaliknya tahap mereka bolehlah dikategorikan sebagai Fasiqien iaitu golongan yang sentiasa kekal di dalam melakukan dosa kepada Allah azza wa jalla.

Marilah sama-sama kita memperkukuhkan Iman dan Taqwa kita kepada Allah azza wajalla dengan mengikuti segala arahannya dan menjauhi segala larangannya.

Tunaikanlah solat lima waktu dengan sebaiknya,
Tunaikanlah zakat kepada yang berhak,
Tunaikanlah puasa dengan sempurna,
Tunaikanlah haji apabila dianugerahkan Allah kesenangan dan kemewahan dunia,
Tutuplah aurat dengan sempurna,
Pastikan apa yang dihalalkan oleh Allah itu halal dan apa yang diharamkan oleh Allah itu dibuang sejauh-jauhnya,
Perbanyakkanlah sedekah dan infaq untuk perjuangan menegakkan ugama Allah azza wa jalla,
Serulah kepada jalan kebaikan dan tegahlah jalan kemungkaran.

Moga-moga kalian mendapat rahmat dan keampunan dari Rabbul 'Alamien

No comments: