Friday, September 28, 2007

Alhamdulilah Sem I Hampir Tamat

Dua hari menjelang Aidil Fitri menandakan Sem I di UM ini sudah sampai ke penghujungnya. Tapi ini tidak bermakna sudah masanya untuk bersukaria. Bulan November, tiga subjek menunggu untuk dihadamkan dalam dewan peperiksaan. Sebelum itu, semua assigment hendaklah sampai ke tangan para pensyarah. Alhamdulillah sebahagian daripadanya sudah siap dihantar cuma berbaki sebahagian sahaja lagi. Moga-moga rahmat Tuhan melimpah ke atas hamba-Nya ini dengan diberikan kejayaan yang cemerlang.

Banyak perkara baru yang dipelajari baik sepanjang berada di dalam kuliah mahupun di kampus itu sendiri. Dalam kuliah Pengajian Shariah bersama Prof. Dato' Dr. Mahmud Zuhdi seringkali berdepan dengan pelbagai ideologi-ideologi manusia samada yang berfikiran tradisionalis, modernis, reformis, liberal dan pelbagai lagi istilah-istilah yang digunakan. Hairan melihat pelbagai gelagat manusia apabila terlampau memikirkan sangat sesuatu sehingga mampu melonjak diri mereka ke suatu marhalah yang seakan-akan penggubal undang-undang Ilahi ini. Walau bagaimanapun pelbagai ilmu baru dipelajari terutamanya tentang Liberalisme di Indonesia dan gaya pemikiran mereka. Begitu juga gelagat para alim ulama', ada yang mengambil pendirian sebagaimana Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Taimiyyah dan ramai lagi yang tidak akur dengan kebathilan dan baki alim ulama yang sezaman dengan mereka tenggelam namanya di telan zaman lantaran kebisuan mereka tatkala berhadapan dengan pelbagai fitnah.

Dalam kuliah Transaksi Ekonomi Islam di Malaysia, pelbagai maklumat baru telah diterokai walaubagaimanapun ianya ternyata jauh berbeza dengan dunia di luar sana. Antara teori dan praktikal, antara ideal dan realiti. Apa pun yang berlaku Sistem Perbankan Islam masih lagi baru bertapak dan memerlukan lebih ramai sarjana yang mendalami lautan dalam ini untuk berdepan dengan segala mehnah dan tohmahan sekaligus membina kembali empayar ekonomi dan perbankan Islam itu sendiri.

Akhirnya, semoga rahmat Tuhan bersama-sama dengan kita semua. Ramadhan Kariem.

No comments: