Monday, January 16, 2006

Panorama


Hafizil Adha, 7 hari ... Untuk tatapan Pok Su dan Ayah Teh yang tak berkesempatan nak balik ke Kg Baru, Serada.


D Grand City Hotel, Brunei Darussalam


D Kedah Darul Aman lah pulak ... Seorang lagi miss, Long kat Mesir. Balik cepat2 sikit duduk apa lama2 kat sana.

Panorama


Penternak muda, nampak je kecil macam tu tapi berapa ekor arnab dah yang jadi mangsa korban, tak kurang yang orang ambil buat baka/beli.


Akmal, Azam, Uda, Angah & Syuaib ... nampak macam graf menurun ... tak gitu ... sorrylah Syuaib tak bermaksud yang kanan tu terendah sekali.


D Kemaman, hantar Kak Long ke Darul Falah. Tengok siapa sedih lagi Ceq ke Kak Ros... Hai jadi orang Kemamanlah lepas ini.

Hero, heroin dan Serada's new born


Keluarga2 D' Serada




D' airport & D' Serada


Di Johor

Di Kedah



16.01.2006

BID'AH

Baru-baru ini ada sembang-sembang bab Bid'ah. Ada ke istilah Bid'ah Hasanah dan Bid'ah Sayyiah ini? Ringkasnya, bid'ah ini cukup bahaya dan penggertiannya juga kadang-kadang mengelirukan kita. Samada pendirian yang hendak diambil itu bersifat jitu, pertengahan atau sebagainya bolehlah difikirkan bersama.

Bid'ah adalah suatu perkara yang baru yang diada-adakan di dalam ugama samada di dalam masalah Aqidah ataupun Syariah yang mana tidak mempunyai nas samada daripada Al Quran mahupun Sunnah.

Bid'ah boleh merosakkan aqidah sebagaimana yang dinyatakan Sheikh Yusuf Qardhawi di dalam sebuah bukunya yang memfokuskan masalah ini. Bukannya buku besar pun setengah jam baca insya Allah habis. Antara bahaya yang dinyatakan adalah:

1. Pencetus sesuatu amalan bid'ah ini terdedah kepada bahaya kerosakan aqidah lantaran tindakannya itu merupakan tohmahan kepada Islam yang dianggap tidak sempurna dan amalan itu adalah sebagai suatu proses penyempurnaan syariat Islam ini.

2. Penggubal serta pencipta Syariat Islam ini adalah Allah swt dan amalan bid'ah ini seolah-olah meletakkan martamat pencetusnya atau pengamalnya setaraf dengan martabat Tuhan yang sememangnya tidak layak bagi mereka untuk bersekutu dengan Allah swt dalam menentukan perundangan Islam ini.

3. Ianya juga suatu tohmahan kepada Baginda saw kerana amalan itu secara tidak langsung mempertikaikan Baginda saw kerana tidak menyempurnakan amanah kenabian yang telah dianugerahkan oleh Allah swt dan lalai dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai utusan Allah.

4. Menyebabkan umat Islam lalai dan fahaman mereka kabur terhadap ajaran Islam yang sebenar lantaran kebanyakan amalan Bid'ah bersifat taqarrub kepada Allah swt.

5. Menambahkan kesulitan di dalam mempraktikkan Islam sedangkan Islam itu mudah dan senang untuk diamalkan.

RENUNG SEJENAK ...
Adakah ada anasir-anasir bid'ah dalam kehidupan kita seharian? Jika ada, renungilah bahaya-bahaya yang tercatat di atas.



Saturday, January 14, 2006

14.01.2006

Hari ini dah masuk 14hb dah dan diri ini masih lagi berada di tanahair dengan pelbagai tanggungjawab yang masih belum dapat disempurnakan. Pengajian yang masih entah tak tahu di mana permulaan serta penghujungnya, perniagaan yang alhamduliLlah bertambah maju tapi timbul pula suatu masalah yang memang dah diduga ... siapakah yang boleh diamanahkan untuk 'take over' buat sementara waktu, hutang-hutang yang perlu dilangsaikan sebelum nyawa sampai ke halkum dan pelbagai tanggungjawab lain samada sebagai seorang anak, suami, saudara dll.

Sepatutnya 1hb yang lepas bersempena dengan hari pertama dalam tahun baru pengajian MA di Lampeter bermula tapi almaklumlah bukannya semua mimpi dan cita-cita itu mampu menjadi sebuah realiti. InsyaaLlah tiada aral melintang tak di sana di sini pun ada peluang untuk menyambung pengajian.

Setelah sekian lama menyepi dari dunia pengajian, terasa juga rindu dengan suasana serta kenangan-kenangan suatu ketika dahulu semasa bergelar seorang pelajar. Namun begitulah putaran hidup manusia, ketika saat itu datang ianya dipersiakan begitu sahaja dan tidak dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Akhirnya bila saat itu berlalu barulah menyesal dan mengharapkan saat itu kembali. Bukankah Tuhan telahpun banyak mengungkapkan cerita golongan-golongan yang menyesal di hari kebangkitan ... As Sajdah 13, An Naba' 40

Cukup dulu kot untuk malam ini ada lagi nak tulis tapi masa tak mengizinkan ...

Ilal Liqaa' ...

Sunday, January 08, 2006

Roda-roda kehidupan

Alhamdulillah, puji dan syukur hanyalah layak buat-Nya semata-mata kerana mengizinkan kita untuk bermukim di permukiman sementara ini demi meneruskan kehidupan yang telah diamanahkan. Selawat dan salam buat junjungan Baginda saw yang telah meninggalkan cahaya serta petunjuk buat umatnya ini.

Setelah hari demi hari berlalu dan tahun baru baru sahaja berlalu. Walaupun ianya bukanlah tahun baru di dalam kalendar umat Islam tapi apalah salahnya kalau hari-hari yang berlalu itu kita jadikan sebaik kayu ukur kehidupan kita. Bermulanya tahun baru bererti bertambahlah usia kita dan semakin hampirlah kita dengan kematian yang entah bila tidak diketahui kehadirannya.

Kelmarin, sebuah email datang mengusik kenangan silam di dalam memori ini. Walaupun ianya datang dari seorang kawan perempuan yang sudah sekian lama tidak bertemu bahkan mungkin tidak mampu untuk dicam raut mukanya jika bertemu tetapi sebuah email itu cukup untuk mengimbau kisah silam. Kenangan ketika di Sek Keb Simpang Taiping Perak ...

Kedatangan email itu dengan membawa berita perjumpaan dengan sahabat-sahabat lama suatu ketika dulu cukup memberikan ketenangan bagi diri ini. Bila sahaja nama-nama itu disebut, ianya kembali segar di dalam ingatan walaupun pada hakikatnya ia semakin hilang dimamah usia. Faizal, Syed, Iqbal antara nama yang disebut ... Mungkin wajah-wajah mereka suatu ketika dahulu boleh diimbau kembali tetapi bagaimana pula rupa paras mereka sekarang ini. Setelah hampir lebih satu dekad, masing-masing dengan haluan masing-masing yang pastinya mengejar kecemerlangan dalam kehidupan demi mencorak masa depan. Mana perginya Nordin Syafei dan seorang lagi ... aaahhh macamana boleh diri ini melupai nama-nama itu.

Tak dinafikan antara rakan-rakan yang boleh diri ini kategorikan sebagai rakan karib di dalam kehidupan ini adalah rakan-rakan di Simpang Taiping. Walaupun masa yang dilalui bersama hanyalah 3 tahun tapi di situlah dapat diriku rasai kemanisan persahabatan yang tidak dapat dirasai di tempat-tempat yang lain. Mungkin taqdir yang telah menentukan diri ini hidup berpindah randah adalah untuk mengajarkan kepada diriku ragam serta kerenah manusia yang berbilang citarasa.

Terasa juga RINDU di dalam diri ini untuk bertemu dengan kalian semua tetapi apakan daya, persempadanan geografi ini terlalu luas dan masing-masing sibuk dengan kehidupan masing-masing. Walaubagaimanapun andaikata kalian terbaca coretan ini, ingatkanlah daku di dalam doa kalian semua. Moga kita dipertemukan jua jika tidak di dunia ini di akhirat kelak.

Teringat kembali kisah ketika sama-sama menjadi pengawas dahulu, kenangan ketika belajar bersama-sama, pengalaman berbasikal bersama-sama, pengalaman setahun tak bermain bola lantaran kejahilan diri ini tentang permainan itu ... apa tidaknya kali pertama main bola ketika darjah 2 tak tahu nak buat macamana bila dapat bola ... sepak ke penjaga gol, dia pulak buat tak tahu pulak ... apa lagi terus bola masuk dalam gawang. Terus kawan-kawan marah dan diri ini hanya memerhatikan daripada tepi padang sahaja selepas daripada itu selama setahun untuk mendalami permainan bola sepak yang baru dikenali itu. Di Kuching dulu boleh main bola keranjang sahaja sebab padang bola sekolah tak ada. Adanya yang itu sahaja.

Tidak dinafikan zaman kanak-kanak adalah merupakan zaman yang paling indah di dalam kehidupan. Suatu marhalah yang bebas daripada taklif serta bebanan dosa dan pahala jika dibandingkan dengan kehidupan di zaman dewasa ini yang dipenuhi dengan godaan dan cubaan yang mampu menjadikan diri ini malu untuk berhadapan dengan Rabbul Izzati. Terasa sebentar sahaja kehidupan ini berlalu. Entahlah bersediakah atau tidak diri ini berdepan dengan kematian. Yang pastinya kalaulah dengan amalan-amalan yang sedia ada ini, rasanya jauh sangatlah diri ini dengan Jannatul Firdaus yang dijanjikan ... hanya mengharapkan Rahmat dan limpah kurnia dari Rabbul Izzati semata-mata.

Ya Allah, pertemukanlah kami kembali jika tidak di dunia ini di akhirat kelak di kalangan hamba-hamba yang taat setia kepada-Mu ... Amien. Moga kalian semua masih lagi rakan-rakan yang kukenali suatu ketika dulu. Insya Allah ...