Sebaik sahaja tirai Ramadhan berlabuh, setiap umat Islam akan sentiasa berpesan di antara satu sama lain akan kelebihan bulan yang penuh keberkatan ini. Namun perlulah diingatkan akan hadith serta amaran Rasulullah saw ketika mana Baginda bersabda:
“Barangsiapa yang mendustakan aku, maka nantikanlah tempatnya di dalam neraka jahannam”
Riwayat Imam Ahmad
Antara hadith-hadith sahih yang menceritakan kelebihan bulan ini adalah:
“Barangsiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.”
Riwayat Bukhari dan Muslim
“Apabila tibanya Ramadhan, terbukalah segenap pintu syurga, tertutup rapatlah segala pintu neraka dan syaitan dibelenggu kesemuanya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim
“Solat fardhu lima waktu, Jumaat ke Jumaat berikutnya dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah merupakan penghapus dosa bagi dosa yang berada di antara keduanya selagimana seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar.”
Riwayat Muslim
Manakala hadith-hadith yang menceritakan fadhilat dan kelebihan sunat terawih secara terperinci daripada malam pertama sehinggalah malam terakhir dan fadhilat-fadhilat yang lain yang tidak diketahui kesahihannya adalah dikhuatiri bukan merupakan mutiara kata yang keluar dari bibir Nabi Muhammad saw yang kita kasihi selama ini bahkan ianya termasuk di dalam hadith Dhaif dan Maudhu’.
Maka sayugianya disarankan agar kita tidak memanjangkan hadith-hadith yang seumpama ini kerana ianya adalah suatu perbuatan fitnah ke atas junjungan besar nabi Muhammad saw. Tidak dinafikan bahawa di dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini terdapat pelbagai kelebihan ... namun berpadalah dengan fadhilat dan kelebihan yang hanya telah dijanjikan oleh Allah swt dan Nabi Muhammad saw sahaja tanpa perlu kita mengada-adakan, mereka-reka mahupun memanjangkan hadith yang mempunyai anasir penipuan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad saw yang kita kasihi.
Sepanjang penelitian penulis, hadith kelebihan sunat Terawih yang dikatakan diambil daripada Saidina Ali Bin Abi Talib daripada Rasulullah saw ini tidak pernah termaktub di dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim yang merupakan kitab Hadith yang paling sahih selepas Al Quran, begitu juga ianya tidak termaktub di dalam Kutubus Sittah (kitab hadis yang enam): Bukhari, Muslim, At Tirmidzi, Abu Daud, An Nasa'ie dan Sunan Ibn Majah.
Begitu juga dengan perbalahan dan perselisihan yang berlaku dalam menentukan rakaat sunat Terawih sehinggalah mencetuskan fitnah yang tidak seharusnya berlaku hanya kerana amalan sunat ini semata-mata sedangkan perpaduan dan kesatuan itu adalah merupakan kewajipan yang tiada khilafnya lagi. Barangsiapa yang berpendapat sunat Terawih itu 8 rakaat maka dia mengikuti sunnah yang telah diwariskan oleh Baginda saw sendiri sedangkan yang menyatakan 20 adalah berpandukan kepada amalan Saidina Umar Al Khattab salah seorang sahabat Baginda saw yang dijanjikan Syurga oleh Allah swt dan yang pastinya kedua-dua amalan ini adalah benar dan tepat di dalam ajaran Islam.
Tidakkah kita hairan, mengapa perlu bertelingkah di dalam permasalahan ini sedangkan sunat Rawatib (sunat yang mengiringi solat fardhu) itu adalah berkali ganda lebih afdal daripada sunat Terawih. Sedangkan apa yang berlaku adalah kita berebut-rebut untuk mengerjakan sunat Terawih tetapi meninggalkan sunat Rawatib yang kelebihannya adalah lebih banyak daripada sunat Terawih.
No comments:
Post a Comment