Membaca sebuah buku bertajuk موسوعة القضايا الفقهية المعاصرة والإقتصاد الإسلامى (أ. د. على أدحمد السالوس) mendedahkan pelbagai isu berhubung kewangan Islam yang sentiasa mencetuskan prasangka dan tanda tanya di dalam benak fikiran saya. Walaupun buku itu masih belum dihadamkan secara keseluruhannya tetapi saya merasa terpanggil untuk berkongsi beberapa mutiara ilmu yang termaktub di dalamnya.
Penulis buku memulakan perbicaraan dengan uslub yang cukup menarik dan memancing kita untuk menghabiskan pembacaan keseluruhan bukunya itu. Bermula dengan bacaan ayat Al Quran daripada surah Al Baqarah ayat 275- 281 yang menceritakan tentang pengharaman riba seterusnya pengisytiharan perang daripada Allah swt dan juga Rasul-Nya saw terhadap golongan yang beramal dengan amalan riba ini.
Bahkan ayat-ayat Al Quran ini disusuli dengan hadith-hadith Nabi saw yang terbukti kesahihannya antaranya adalah hadith yang diriwayatkan daripada Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan An Nasaei daripada Abu Hurairah ra yang meriwayatkan daripada Nabi saw, sabda-nya:
إجتنبوا السبع الموبقات، قالوا يا رسول الله، وما هن؟ قال : الشرك بالله والسحر وقتل النفس التى حرم الله إلا بالحق وأكل الربا وأكل مال اليتيم والتوالى يوم الزحف وقذف المحصنات الغافلات المؤمنات.
“Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Para sahabat bertanya : Apakah tujuh perkara itu Ya Rasulullah? Jawab Rasulullah saw: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, makan harta Riba, makan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh perempuan baik, terjaga dan beriman.”
Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Jabir Bin Abdillah r. anhuma bersabda Nabi saw:
لعن النبي آكل الربا وموكله وكاتبه وشاهديه وقال: هم سواء.
“Nabi saw melaknat pemakan riba, orang yang memberi makan riba, penulis dan kedua saksinya dan berkata: mereka semua itu serupa”
Imam Ahmad dan At Thabaraani meriwayatkan daripada Abdillah Bin Hanzalah (sahabat yang dimandikan oleh para malaikat) r. anhuma bersabda Nabi saw:
درهم ربا يأكله الرجل وهو يعلم أشد من ست وثلاثين زنية.
“Satu dirham riba yang dimakan oleh seseorang sedangkan dianya mengetahui akan pengharamannya lebih dahsyat daripada berzina sebanyak 36 kali.”
Ibnu Abbas r. anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersadda:
إذا ظهر الزنى والربا في قرية فقد أحلوا بأنفسهم عذاب الله.
“Apabila lahirnya zina dan riba di dalam sesuatu perkampungan, maka mereka telahpun membenarkan terhadap diri mereka azab dan seksaan Allah swt.” Diriwayatkan oleh Al hakim dengan menyatakan bahawa sanadnya sahih.
At Thabaraani meriwayatkan daripada Ibni Mas’ud bahawa Rasulullah saw bersabda:
بين يدي الساعة يظهر الربا والزنى والخمر.
“Ketika hampirnya saat kiamat, maka akan berleluasalah riba, zina dan khamar (arak).”
Keseluruhan ayat dan hadith ini yang merupakan dua sumber utama syariat Islam yang suci murni ini menceritakan tentang betapa besarnya dosa orang yang beramal dengan riba dan azab yang dijanjikan oleh Allah swt dan juga Rasul-Nya saw terhadap golongan yang terlibat dalam amalan riba ini sedangkan kehidupan kita di zaman mutakhir ini dipenuhi dengan fitnah seumpama ini.
Adakah tidak mencukupi dengan kedua-dua sumber yang suci murni ini untuk meyakinkan kita supaya kembali kepada syariat Islam yang seringkali disifatkan sebagai syumul (comprehensive), murunah (fleksibel), ‘alamiah (global) dan pelbagai sifat kesempurnaan yang lain. Nabi saw bukan sahaja diturunkan ke dunia ini sebagai utusan Allah swt kepada bangsa Arab sebaliknya merangkumi sekalian umat manusia.
Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah swt kerana di dalam tanahair kita masyarakat sudah menyedari akan kepentingan wujudnya institusi perbankan Islam demi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat Islam.
Walaubagaimanapun adakah ianya mencukupi dengan mewujudkan sistem perbankan Islam sedangkan di suatu sudut yang lain kita masih beramal dengan sistem perbankan konventional yang semestinya bertentangan dengan konsep dan maqasied perbankan Islam itu sendiri. Bukankah nas-nas yang dibacakan sebentar tadi menekankan agar amalan riba itu dibersihkan daripada kehidupan seharian kita. Tidakkah kita menyedari dengan adanya amalan riba di dalam masyarakat kita, kita mendedahkan diri terhadap kemurkaan Allah swt dan sekaligus mengundang bala bencana daripada-Nya.
Adakah Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw itu masih tidak sempurna sehingga kita sanggup mencari suatu inisiatif baru di dalam menangani isu-isu terkini ataupun Islam Hadhari yang dilaung-laungkan mempunyai manhaj yang tersendiri dalam menangani permasalahan ini.
Kita seharusnya meluahkan kebimbangan kita dengan kewujudan dua sistem perbankan yang satunya suci murni sedangkan di satu pihak yang lain hanyalah merupakan suatu ideologi cetusan manusia biasa. Bayangkan saudara-saudari sekalian, apabila saudara/ri hendak menunaikan solat di dalam keadaan tubuh yang sudah suci bersih baik daripada hadas kecil mahupun besar, berwudhu’, berpakaian yang menutup aurat dan suci daripada segala bentuk najis, tiba-tiba terkena setitik air najis apatah lagi kalau najis itu adalah najis daripada binatang seperti anjing ataupun khinzir ... adakah saudara/ri akan meneruskan niat untuk menunaikan solat atau sebaliknya membersihkan diri terlebih dahulu. Maka begitu jugalah dengan kehidupan kita seharian.
Bahkan kita juga menyatakan kekhuatiran kita apabila sistem perbankan Islam itu diterajui oleh golongan yang mempunyai kepentingan duniawi tersendiri sehingga sanggup menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal sehingga semua yang memberikan kepercayaan sepenuhnya terhadap sistem yang dinamakan perbankan Islam itu tercalit walaupun sedikit dengan najis-najis riba yang kita sentiasa berdoa agar terhindar daripadanya.
Saya sendiri seringkali dibelenggu oleh perasaan takut dan syak wasangka dengan sistem perbankan Islam yang diwar-warkan kerana dikhuatiri segala janji yang diwar-warkan itu hanyalah sebagai suatu retorik demi menarik minat umat Islam terhadap konsep perbankan yang ditawarkan.
Antaranya sistem pembelian secara: Bai’ Bithaman Ajil (Jualan Pembayaran Tertunda), Ijarah Thumma Al Bai’ (Sewa Beli), Bai’ al-Inah (Persetujuan Jual dan Beli Balik) yang dibimbangi sekadar terminologi yang diguna pakai demi mengaburi pandangan mata kasar umat Islam. Antara contohnya lagi adalah sistem Takaful yang saya sendiri membuat pelaburan secara bulanan setelah diperkenalkan oleh wakil syarikat. Namun apa yang membimbangi saya adalah apabila beberapa kajian dilakukan oleh beberapa pihak yang mempunyai kepakaran di dalam bidang ini menyatakan keseluruhan sistem takaful yang dilaksanakan adalah sah dan benar-benar mengikut kehendak Islam tetapi masih mempunyai kelemahan yang menyebabkan segala sistem yang diperkenalkan itu tercemar apabila ianya di re-insurance kembali kepada syarikat insuran yang tidak Islam.
Fikirkanlah saudara-saudari, bilakah saatnya kita dapat mengecapi nikmat sistem kewangan Islam yang sebenar selagi mana kita masih lagi berenang dan menyelam di dalam lautan yang bercampur di antara air yang suci bersih dan najis yang menjijikkan.
No comments:
Post a Comment