Monday, October 13, 2008



Wednesday, October 08, 2008

Nabielatul Husna (Sebelum Bercukur)



Nabielatul Husna (Sebelum Bercukur)




Di Hari Perkahwinan Pok Di (Majlis Menyambut Menantu)


Keluarga Hijau. Ahmad yang pakai merah tu sebab dia jaga bahagian keselamatan kat luar ... Unit Amal lah katakan. Tahniah Pok Di dan Cek Da atas ikatan yang telah dimeteraikan. Semoga mendapatkan keberkatan Ilahi. Aiman tu tak habis2 dengan fire Ultraman dia...

Nabielatul Husna Binti Abdul Hadi



Nabielah bergambar dengan sepupu-sepupu. Dari kiri: Izzati, Najihah, Kak Angah and Alia

Nabielatul Husna Binti Abdul Hadi

Nabielatul Husna Binti Abdul Hadi ... ketika berusia 4 hari. Alhamdulillah, baby selamat dilahirkan pada tarikh kemenangan umat Islam iaitu pada tanggal 1hb Syawal 1429/ 1hb Oktober 2008, hari Rabu, pukul 5.00 petang. Nampaknya anak dan ayah tak jauh berbeza. Abie lahir 2 Syawal, Nabielah pula lahir awal sikit dari Abie iaitu pada 1 Syawal.

Gambar hari pertama tak boleh dirakam sebab si comel masih ditahan di dalam wad lagi. Kesian anak Abie. Alhamdulillah, Ibu dan baby semuanya selamat. Gambar hari ke 2 insya Allah akan menyusul kemudian sebab ada dalam digi cam Uda.

Nabielatul Husna membawa erti kecerdikan terpuji. Alakullihal nama panggilan dia buat masa-masa mendatang adalah Nabielah sahaja. Pada asalnya ada beberapa cadangan nama lagi yang hendak diberikan antaranya adalah Hannan. Setelah dilihat di dalam Kitab Lisan Al-Arabi, Hannan itu adalah merupakan salah satu dari nama Tuhan dan agak kurang manis jika sekiranya diletakkan nama tersebut tanpa sebarang sandaran sama seperti nama Abie (Abdul Hadi). Akhirnya, Abie dan Ibu kembali ke nama cadangan yang sudah sekian lama difikirkan bersama iaitu Nabielatul Husna. Tok Ba dan Tok Ma suruh letak nama Nabielah sahaja. Abie juga berkenan dengan nama tu. Ibu dan Tok pula minta panjangkan sedikit nama memandangkan semua sepupu-sepupu dia mempunyai 2 rangkap nama. Abie setuju as long as nama yang diberi mempunyai makna yang indah. Semoga si comel ini akan mewarisi kecerdikan sebagaimana yang tersirat di sebalik namanya itu. Amien

Wednesday, February 27, 2008

Friday, September 28, 2007

Alhamdulilah Sem I Hampir Tamat

Dua hari menjelang Aidil Fitri menandakan Sem I di UM ini sudah sampai ke penghujungnya. Tapi ini tidak bermakna sudah masanya untuk bersukaria. Bulan November, tiga subjek menunggu untuk dihadamkan dalam dewan peperiksaan. Sebelum itu, semua assigment hendaklah sampai ke tangan para pensyarah. Alhamdulillah sebahagian daripadanya sudah siap dihantar cuma berbaki sebahagian sahaja lagi. Moga-moga rahmat Tuhan melimpah ke atas hamba-Nya ini dengan diberikan kejayaan yang cemerlang.

Banyak perkara baru yang dipelajari baik sepanjang berada di dalam kuliah mahupun di kampus itu sendiri. Dalam kuliah Pengajian Shariah bersama Prof. Dato' Dr. Mahmud Zuhdi seringkali berdepan dengan pelbagai ideologi-ideologi manusia samada yang berfikiran tradisionalis, modernis, reformis, liberal dan pelbagai lagi istilah-istilah yang digunakan. Hairan melihat pelbagai gelagat manusia apabila terlampau memikirkan sangat sesuatu sehingga mampu melonjak diri mereka ke suatu marhalah yang seakan-akan penggubal undang-undang Ilahi ini. Walau bagaimanapun pelbagai ilmu baru dipelajari terutamanya tentang Liberalisme di Indonesia dan gaya pemikiran mereka. Begitu juga gelagat para alim ulama', ada yang mengambil pendirian sebagaimana Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Taimiyyah dan ramai lagi yang tidak akur dengan kebathilan dan baki alim ulama yang sezaman dengan mereka tenggelam namanya di telan zaman lantaran kebisuan mereka tatkala berhadapan dengan pelbagai fitnah.

Dalam kuliah Transaksi Ekonomi Islam di Malaysia, pelbagai maklumat baru telah diterokai walaubagaimanapun ianya ternyata jauh berbeza dengan dunia di luar sana. Antara teori dan praktikal, antara ideal dan realiti. Apa pun yang berlaku Sistem Perbankan Islam masih lagi baru bertapak dan memerlukan lebih ramai sarjana yang mendalami lautan dalam ini untuk berdepan dengan segala mehnah dan tohmahan sekaligus membina kembali empayar ekonomi dan perbankan Islam itu sendiri.

Akhirnya, semoga rahmat Tuhan bersama-sama dengan kita semua. Ramadhan Kariem.

Monday, July 16, 2007

Maqasid Shariah Dalam Perbankan Islam


Sejarah Perbankan Islam di Malaysia bermula pada tahun 1983 dengan tertubuhnya Bank Islam Malaysia Berhad pada 1 Julai 1983. Bermula daripada tarikh itu, Perbankan Islam mula bertapak, menampakkan kematangan dan kestabilannya di persada tanahair. Alhamdulillah dengan adanya institusi seperti ini, tanggungjawab untuk mewujudkan sebuah Institusi Perbankan Islam sudah pun terlaksana. Apa yang tinggal adalah tanggunjawab kita sebagai seorang Muslim untuk menyokong dan memastikan kestabilan institusi ini agar ianya dapat berkembang pesat bahkan menyaingi institusi perbankan konvensional yang ada di Malaysia ini.

Saya tertarik dengan apa yang dikatakan Y.B. Tan Sri Nor Mohamed Bin Yakcop, Menteri Kewangan II yang menyatakan dalam sebuah bukunya yang menyentuh tentang Kewangan Islam bahawa yang membezakan sistem Kewangan Islam dengan sistem konvensional yang ada bukanlah hanya pada unsur pengharaman riba, gharar dan zalim semata-mata bahkan ianya lebih bersifat komprehensif dengan adanya tanggungjawab sosial, keadilan, perniagaan yang telus serta memenuhi maqasid at tasyrie’ yang terkandung dalam ad dharuraat al khamsah.

Apa yang menarik perhatian saya adalah sistem pelaksanaan Perbankan Islam di Malaysia yang menggunakan kaedah Bai Bithaman Ajil yang mana sistem ini ditolak secara terang-terangan oleh kebanyakan alim ulama’ di Timur Tengah bahkan ianya tidak dipraktikkan sama sekali oleh mana-mana bank di sana.

Apabila saya melihat kepada aqad jual beli sepertimana yang biasa diterangkan oleh mana-mana individu sebelum ini, ianya kelihatan seperti tidak mempunyai sebarang permasalahan mahupun sebarang kecacatan. Bank membeli sesuatu produk daripada pihak pembeli dan kemudiannya menjual kembali produk itu kepada pembeli dengan harga tertunggak berdasarkan kepada kadar faedah yang dipersetujui.

Apa yang menimbulkan kemusykilan adalah apabila ianya tiba pada peringkat pelaksanaan, masih ramai di kalangan pegawai bank mahupun agen jualan masih lagi tidak memahami bagaimanakah sesuatu kontrak itu dilaksanakan sehingga timbul beberapa kekeliruan kerana aqad itu tidak difahami dengan sebaiknya. Kebiasaan yang berlaku adalah kebanyakan pegawai bank mahupun agen jualan tidak menitik beratkan soal berapakah harga jualan. Apa yang dititik beratkan hanyalah pada bayaran deposit dan bulanan semata-mata sehingga mendatangkan keraguan pada pihak pembeli tentang harga jualan yang disepakati.

Ini adalah kesimpulan yang dapat saya berikan berdasarkan soal selidik saya dengan beberapa individu yang menggunakan sistem Perbankan Islam dan apabila berurusan sendiri dengan pihak bank. Satu-satunya bank yang saya dapati melampirkan di dalam perjanjian jual belinya satu lampiran yang menyatakan pihak bank membeli produk ini dari penjual dengan harga sekian dan menjual kembali produk ini kepada pembeli dengan harga sekian adalah Bank Muamalat sekaligus menghilangkan segala keraguan yang bakal timbul pada kemudian hari. Adapun bank-bank yang lain, saya yakin ramai pembeli menyangka mereka membeli sesuatu produk dengan harga asalnya tanpa dimasukkan keuntungan yang diperolehi oleh pihak bank lantaran kekeliruan yang dicetuskan pada peringkat akar umbinya lagi.

Bukan itu sahaja, apabila terlibat dalam proses perundangan melibatkan kes-kes tunggakan pinjaman samada dalalam konteks BBA (Bai Bithaman Ajil), Qardhul Hasan dan lain-lain saya dapati banyak maslahah adalah menyebelehi pihak bank semata-mata. Saya banyak membaca artikel yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman yang menceritakan tentang Maqasid At Tashrie terutamanya dalam isu Perbankan Islam namun ianya seakan-akan pada pendapat peribadi saya menitik beratkan maslahah pada sebelah pihak sedangkan pihak yang satu lagi menanggung bebanan yang tidak diterima akal.

Bagaimana mungkin seseorang membeli sebuah rumah misalnya yang harga semasanya adalah RM100,000 tetapi seakan-akan menanggung suatu bebanan yang berharga RM250,000. Ini adalah realiti yang berlaku dalam sistem kewangan Islam pada hari ini. Pengguna terpaksa menanggung suatu jumlah yang tidak dapat digambar oleh akal manusia sedangkan nilai semasanya adalah terlalu jauh. Apa akan terjadi jika sekiranya pengguna hendak menjual rumah ataupun tanah tersebut. Adakah dianya boleh menjual hartanya dengan nilaian RM250,000 sepertimana harga belian yang disepakati. Sudah tentu tidak kerana ianya bukanlah harga semasa sebaliknya suatu andaian yang dibuat berdasarkan perhitungan yang disandarkan kepada falsafah riba.

Kita membaca hadith ‘Al Kharaj Bid Dhaman’ tetapi dalam konteks ini di manakah Dhaman ataupun risiko yang ditanggung oleh pihak bank.

Saya bagi suatu contoh; seseorang membeli suatu aset yang berharga RM250,000 daripada pihak bank dengan harga jualan yang disepakati sebanyak RM650,000. Setelah 10 tahun dia berjaya membayar RM250,000 dan mengalami sidikit masalah kewangan sehingga menyebabkannya tidak mampu membayar ansuran bulanan. Apa yang berlaku kebiasaannya, kes ini akan di bawa ke mahkamah dan sehinggalah sampai tahap akhir perbicaraan dan defendan tidak mampu membayar ansuran bulanan maka aset itu akan dilelong. Yang pastinya lelongan tidak menjanjikan harga tinggi. Katakanlah ianya terjual dengan harga RM300,000 iaitu harga semasa pada ketika itu, maka pihak defendan perlulah melunaskan baki pinjaman pada pihak bank yang berjumlah RM100,000. Bukan sekadar aset yang dimilikinya tergadai bahkan dalam masa yang sama dia kerugian sebanyak RM350,000 disebabkan aset itu dijual dengan harga yang terlalu tidak munasabah dengan harga semasa.

Jika sekiranya dia tidak mampu untuk melangsaikan hutang berbaki sebanyak RM100,000 itu, maka Notis Kebankrapan akan dikeluarkan sekaligus akan menyebabkan dianya diisytihar sebagai MUFLIS.

Fikirkanlah sejenak …

Di manakah objektif sebenar perundangan ekonomi Islam itu ?