Thursday, April 12, 2007

Janganlah Al Quran itu menjadi beban bagi dirimu kelak

Perhatikan fitnah yang berlaku di dalam realiti kehidupan umat Islam pada hari ini. Umat Islam di zaman mutakhir ini semakin keliru di antara ajaran Islam yang tulen dan palsu. Buktinya jelas terpapar di dalam gambar di atas di mana Al Quran itu dibaca dalam keadaan yang cukup mengaibkan. Apatah lagi dengan lahirnya fahaman, ideologi dan Islam yang cuba direbrandingkan kembali mengikut kehendak hati dan naluri mahkluk yang bernama manusia.

Islam Hadhari, Islam Liberal dan bermacam-macam lagi yang cuba ditimbulkan oleh pelbagai lapisan manusia dalam usaha menyepadankan Islam itu dengan kehendak hati dan naluri mereka.

Suatu ketika dahulu di dalam lembaran sejarah umat Islam, kita didedahkan dengan sebuah mazhab yang berpandangan : Iman itu tidak akan terjejas dengan dosa-dosa yang dilakukan bahkan kita tidak boleh menjatuhkan hukuman terhadap seseorang kerana Iman itu hanyalah boleh dinilai oleh Tuhan Pemilik Langit dan Bumi semata-mata.

Benar Iman itu hanyalah boleh dinilai oleh Allah swt sahaja namun dari segi logiknya adakah seseorang itu dianggap kasih dan sayang terhadap kedua ibubapanya jika sekiranya dianya mempersenda-sendakan permintaan keduanya, melanggar perintah dan larangan keduanya dan banyak lagi perbuatan yang dilakukan menggambarkan penderhakaan yang teramat nyata. Adakah ini dinamakan kasih sayang dan ketaatan?

Fikirkan sejenak adakah fahaman ini masih menular di dalam masyarakat umat Islam pada zaman mutakhir ini.

YANG PASTINYA, perbuatan di atas jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang tulen bahkan merupakan suatu penghinaan dan persendaan terhadap Al-Quran apabila kita mengatakan kita mengagungkannya tetapi menolak isi kandungannya yang ternyata bukanlah kata-kata makhluk yang bersifat dengan segala kenaifan dan kelemahan.