Wednesday, December 21, 2005

Kenang-kenangan



Sunday, December 18, 2005

DZA Internet Cafe

Setelah hampir dua bulan berada di tanahair dalam usaha untuk mencari biasiswa ataupun penaja bagi meneruskan pengajian di Universiti of Wales Lampeter, tercetuslah idea yang sememangnya dah lama terperap di dalam benak kepala ini. Bagaimana untuk memulakan suatu perniagaan yang insya Allah suatu hari nanti kalau tak ada rezeki kerja di tempat lain pun at least ada inisiatif sendiri bagaimana nak teruskan kehidupan dan perjuangan ini. Paling kurang pun, kalau buat pinjaman dengan mana-mana individu beranilah sikit ... ada harapan juga nak bayar pada masa akan datang. Kalau tak jangan senang-senanglah nak pinjam meminjam ini. Takut-takut mati tak dan berbayar.

Setelah beberapa kali berbincang dengan zaujah serta family dan mengembara dari Utara ke Selatan dan Barat ke Timur, benak kepala ini masih lagi buntu ... apa yang boleh dimulakan buat masa sekarang ini. Ada kata suruh teruskan balik butik yang dah terkubur, restoran pun ada, hardware, kayu, cybercafe, kedai komputer dan stationary, dan macam-macam lagilah. Tapi kalau jadi pergi balik ke UK siapa yang akan take over? Itulah yang membuatkan diri ini pening tak habis-habis. Tapi bila pula nak pergi? Tiket tak survey lagi, duit yuran tak ada dalam tangan lagi ... Makin bertambahlah kepeningan yang sedia ada itu.

Dalam kepala ini dah set dah lagi tiada apa-apa yang dapat dibuat jangan berani-berani nak pinjam dengan orang biarpun atas alasan belajar. PERSOALANNYA macam mana nak bayar nanti? Bukan tiada tawakal tetapi sebagai suatu langkah ihtiyath takut-takut usia sependek tuannya.

Al kisah, suatu hari itu dengan nekadnya heretlah semua adik-adik lelaki yang ada di rumah. Kita akan round seharian hari ini. Sorang tengok kanan sorang lagi tengok kiri. Cari kedai-kedai kosong untuk disewa. Biarpun musim tengkujuh tapi hari tu panas terik, alhamdulillah jumpa juga kedai kosong untuk disewa walaupun masih ada pro and kontra kat situ sebab ramai yang berminat untuk menduduki kedai itu.

Jadi bermulalah segala perancangan yang telah dirancang sekian lama. Sedikit demi sedikit daripada kedai kosong ... ada kerusi, ada meja, buat wiring sikit, tambah aircond, pasang carpet, masuk komputer, daftar syarikat dan lain-lain lagilah.

Sekarang ini tak tahu lagi bila nak dibuka. Tunggu selesai dua tiga perkara lagi insya Allah bolehlah nak dibuka untuk orang ramai. Apa-apa pun ribuan terima kasih diri ini nak ucapkan terutamanya buat isteri tersayang kerana sokongan dan dorongan yang diberikan, keluarga baik di Tok Randok mahupun di Kg Baru Serada, Uda yang banyak memberikan pandangan, Alang yang kuharapkan dapat take over business ini kalau ditakdirkan Angah ke oversea balik, Shahril, Amirul dan rakan-rakan yang lain yang banyak membantu.

Terima kasih yang tak terhingga buat kalian semua.

Wednesday, August 17, 2005

Sami Yusuf ~ Mu'allim




Dengarlah sedikit alunan nasyid mua'llim dari Sami Yusuf ini. Sebelum tekan dekat butang 'play' tu off kanlah dulu radio IKIM tu barulah tak berterabur jadinya. Dulu ada juga cita-cita nak jadi munsyid macam Sami, Mas'ud tapi tak ikut petua yang diberikan ... jangan makan lada, budu, belacan, cencaluk ... sekarang suara pun dah jadi kasar ... apa nak buat nasi dah jadi bubur.

Berbalik kepada background Sami ini, dia berasal dari Iran. Dulu jumpa dah sekali waktu dia mari melawat ke Highmead sekali dengan group-group penasyid dia. Boleh tahan dengar suara live. Ramai lagi rakan-rakan sekutu dia ... Mas'ud, Jamil emmm hak tu je yang kenal yang lain-lain tu ingat muka je tak ingat nama. Kat Manchester ini ada dua tiga orang.

Friday, August 05, 2005

Di Pembrey Park Carmarthenshire



Antara aktiviti yang dijalankan ketika berjaulah di perlembahan Wales; berkuda, memancing, tobogan, bersantai, solat jemaah di pantai dan lain-lain. Walaupun penat memandu dan mengembara tetapi all what we have spent together are worth our travelling.

He ... he .. he .. akhirnya dapat juga naik atas kuda hitam ini. Taklah besar atau kecil sangat, sederhana tapi warna hitam tu yang buat hati ini berkenan nak naik. Kuda yang lain tu banyak lagi tapi second classlah sikit.

Tuesday, August 02, 2005

Sedikit artikel menjawab fatwa Dr Mashitah

Artikel ini ditulis sebagai suatu penerangan tentang perundangan Islam sebenar setelah isu berkenaan dengan dharurat dan fatwa Dr Mashitah heboh diperkatakan.

Antara tanggungjawab orang yang mempunyai ilmu adalah menyampaikan serta menerangkan kebenaran walaupun kebenaran itu sepahit hempedu. Bahkan setiap orang mempunyai taklif (tanggungjawab) masing-masing. Seorang Islam yang berharta serta cukup nisab wajib menunaikan zakat, seorang Islam yang akil baligh wajib menunaikan solat dan banyak lagi pentaklifan yang telah ditentukan syara’ yang merupakan perkara yang dianggap ma’lum bid dharurah (wajib diketahui oleh setiap muslim) seperti mencuri, makan rasuah serta menerima rasuah, berzina, berjudi, membunuh adalah merupakan perkara-perkara yang diharamkan serta tergolong dari kalangan dosa-dosa besar.

Apabila terpandang artikel di bawah ini, saya merasakan ada beberapa perkara yang perlu untuk kita ketahui. Walaubagaimanapun saya terpaksa menimbulkan beberapa perkara penting yang dapat saya ringkaskan di bawah ini supaya kita dapat mengukur serta mengetahui batas-batasan dharurat serta objektif perundangan Islam yang sebenar.

Islam disyariatkan oleh Allah swt dengan berpaksikan kepada dua faktor utama :
1. tahqieq al maslahah (melaksanakan atau menegakkan kebaikan)
2. dar ul mafasid (menjauhkan perkara-perkara keburukan)

Lantaran itu kita melihat seluruh perundangan Islam memfokuskan pelaksanaannya ke arah menjamin kesejahteraan dan keselamatan seluruh makhluk di alam sejagat ini. Ianya juga bertindak menjauhkan segala bentuk kemudharatan serta menutup segala punca yang membawa ke arah kemudharatan.

Para ulama’ meletakkan bahawa perundangan Islam disyariatkan oleh Allah swt. untuk menjaga 5 keperluan asasi makhluk yang disebut di dalam kitab-kitab fiqh sebagai ad dharuriyaat al khamsah (perkara-perkara darurat yang lima) yang mana ianya diperlukan untuk merealisasikan kesejahteraan hidup manusia bahkan jika sekiranya salah satu keperluan itu cacat atau gugur, maka akan binasalah sistem kehidupan masyarakat itu, huru-hara dan kucar-kacir akan berlaku dan yang paling bahayanya adalah siksaan serta azab yang bakal dirasai di hari pembalasan.

Antara lima perkara yang menjadi fokus perundangan Islam di dalam merealisasikan maqasid at tasyrie’ (objektif perundangan Islam) iaitu melaksanakan atau menegakkan kesejahteraan dan menghindarkan kemudharatan adalah :

Untuk menjaga Agama : lantas disyariatkan Rukun Iman bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia di dalam dua kehidupan dunia mahupun akhirat, disyariatkan solat, zakat, puasa, haji serta hukum hakam yang berkaitan dengan Rukun Islam itu, disyariatkan kewajipan al amru bil ma’ruf wan nahyu annil munkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran), disyariatkan jihad sehingga tertegaknya agama Allah, disyariatkan hukuman ke atas orang yang keluar dari agama (hukum murtad) dll.

Untuk menjaga Ruh (Nyawa) : lantas disyariatkan perkahwinan untuk menjamin kesinambungan keturunan manusia, diharamkan pembunuhan serta disyariatkan hukum hakam bagi mereka yang engkar serta melanggar peraturan ini seperti hukuman qisas¬ (hukum balas balik) bagi orang yang melakukan pembunuhan atau mencederakan orang lain, ta’zier dll.

Untuk menjaga Aqal : lantas disyariatkan pengharaman ke atas setiap perkara yang memabukkan manusia seperti arak, dadah dll. kerana ianya merosakkan akal fikiran serta menjadikan mereka di luar kawalan akal yang menjadi punca kepada segala kemudharatan.

Untuk menjaga Harta Benda : lantas diharuskan jual beli, diwajibkan ke atas setiap insan itu berusaha dan bekerja untuk hidup, diharamkan perbuatan mencuri, merompak, menyamun dan seumpamanya serta disertakan hukuman ke atas golongan yang melakukan jenayah di atas sebagai suatu langkah pencegahan.

Untuk menjaga Keturunan ataupun Maruah : lantas disyariatkan pengharaman zina, hukuman qazaf (perbuatan menuduh orang berzina), serta pengsyariatan hukuman hudud bagi mereka yang mengengkari pengsyariatan ini.

Maka untuk menjaga kesejahteraan dan keamanan hidup sekalian makhluk di atas alam sejagat ini, segala perundangan Islam itu hendaklah dilaksanakan dengan sepenuhnya. Bilamana manusia hidup dengan tidak berlandaskan kepada manhaj yang telah ditentukan oleh Rabbul Alamien, maka akan terjadilah huru-hara, tiadanya keamanan, kemudharatan berleluasa dan sebagainya.

Disebabkan manusia tidak mengikut kepada ajaran Islam secara sempurna, maka timbullah gejala ibu tunggal yang terpaksa melacurkan dirinya demi untuk membiayai kehidupan keluarga, timbullah gejala buang anak, anak luar nikah, rogol, liwat, fitnah, pembunuhan dan sebagainya.

Jika sekiranya ajaran Islam dipraktikkan secara sempurna nescaya seorang ibu tunggal tidak akan menjebakkan dirinya ke kancah pelacuran kerana Islam telah menetapkan di dalam masalah perceraian hak-hak yang masih wajib ditunaikan oleh bekas suami. Bahkan jika sekiranya suami menghilangkan diri atau tidak memberikan nafkah sekalipun, perkara seumpama ini tidak harus terjadi kerana Islam telahpun menetapkan bahawa salah satu daripada golongan yang layak menerima zakat adalah orang-orang fakir dan miskin.

Di dalam Mazhab Syafei menetapkan kadar bayaran zakat yang perlu diberikan kepada seseorang penerima itu adalah sehingga dia mampu untuk berdikari tanpa menerima apa-apa bantuan zakat selepas dari pemberian zakat yang pertama. Maka bayangkanlah jika sekiranya setiap penerima zakat menerima hanya sekali di dalam hidupnya tanpa perlu meminta-minta selepas daripada itu nescaya setelah beberapa dekad kita akan lihat tiada lagi peminta kepada harta-harta zakat ini sebagaimana yang berlaku di zaman Khalifah Umar Abdul Aziz.

Syariat Islam diturunkan oleh Allah swt sepertimana yang dibincangkan di atas adalah untuk menjaga kesejahteraan dan keharmonian manusia serta menghindarkan segala bentuk kemudharatan yang boleh merosakkan kehidupan manusia samada di dunia yang fana ini atau di akhirat yang abadi kelak.

Jika sekiranya kemiskinan adalah punca kepada gejala pelacuran, kecurian, pembunuhan dan sebagainya, maka Islam telahpun membina suatu perundangan yang membantu umat Islam menjana ekonomi serta memakmurkan kehidupan mereka dengan diwujudkan sistem ataupun undang-undang zakat, sadaqah, waqaf, qardhul hasan (pinjaman tanpa faedah), takaful dll. yang mampu untuk menutup segala punca yang membawa kepada kemudharatan atau kerosakan.

Dengan itu, seorang ibu tunggal tidak akan merasakan kesempitan hidup sehingga terpaksa mengambil jalan mudah dengan meletakkan dirinya ke dalam kancah pelacuran yang ternyata semua ulama menyatakan bahawa ianya adalah merupakan perkara yang haram lagi terkutuk.

Gejala-gejala seumpama ini timbul disebabkan ajaran Islam itu tidak dipraktikkan secara menyeluruh. Bilamana suasana hidup masyarakat tidak disemai dengan nilai-nilai Islam, maka akan lahirlah fitnah-fitnah yang seumpama ini.

Tidakkah kita pernah mendengar sejarah Islam suatu ketika dahulu di zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz ketika mana pegawai kerajaan meronda ke seluruh pelusuk negeri untuk mencari siapakah yang layak menerima zakat tetapi tiada seorangpun daripada rakyat jelata yang tampil memohon harta zakat kerana kesemuanya hidup di dalam keadaan senang, aman dan sejahtera. Sehinggalah Khalifah membuat keputusan agar harta-harta zakat ini dibahagikan kepada golongan-golongan muda yang ingin mendirikan rumahtangga tetapi tidak mempunyai bekalan yang mencukupi. Inilah yang berlaku bilamana Islam dipraktikkan secara menyeluruh.

Dharurat hanyalah boleh dijadikan alasan jika sekiranya dia sudah tidak mempunyai alternatif yang lain selain daripada itu. Mustahil untuk kita katakan bahawa pelacuran adalah merupakan satu-satunya jalan untuk mencari rezeki sedangkan bumi ini terbentang luas dihamparkan oleh Allah swt dengan seribu satu kemudahan.

Dharurat sebenarnya mempunyai batasan yang tersendiri bukanlah sekadar ditentukan oleh hawa nafsu kita semata-mata. Seseorang yang dipaksa untuk membunuh seorang yang lain tidak diberikan kelonggaran untuk melakukan pembunuhan itu kerana ianya membabitkan nyawa seorang insan yang lain. Begitu juga seorang yang dipaksa berzina tidak diberikan kelonggaran untuk melakukan perzinaan itu kerana ianya membabitkan maruah dan keturunan insan yang lain jika sekiranya berlaku kehamilan.

Maka begitu juga dengan kisah ibu tunggal ini, tiada lagi tercatat di dalam kitab fiqh yang memberikan keizinan untuk si ibu tunggal ini berzina kerana terlalu banyak alternatif lain yang boleh dilakukan selain dari melacurkan dirinya. Sepanjang pembacaan saya terhadap kitab-kitab fiqh tidak pernah terjumpa lagi pendapat sebagaimana yang tertera di bawah walaupun di dalam kes darurat.

Satu lagi yang saya suka bangkitkan di sini adalah bilamana berlaku sesuatu permasalahan, biasanya yang dipersalahkan adalah ibubapa ataupun masyarakat. Anak dirogol, anak luar nikah, buang bayi, bunuh diri dan sebagainya berlaku dari hari ke hari bahkan dada akhbar sudah semakin padat dengan berita seumpama ini. Lalu kesimpulan yang diberikan adalah ibubapa kurang kasih sayang dan prihatin terhadap anak-anak sedangkan ibubapa ini siang malam memikirkan bagaimana hendak mengawal serta mendidik anak-anak mereka. Anak dihantar untuk belajar al Quran tiba-tiba hilang dan dijumpai diperkosa dan dibunuh, apa lagi yang ibubapa boleh buat sedangkan di luar sana manusia sudah umpama binatang bahkan lebih teruk dari binatang.

Kesimpulannya adalah institusi keluarga perlulah diserapkan lagi dengan nilai-nilai Islam, masyarakat perlulah meneladani ajaran-ajaran Islam dan akhirnya sebagai kemuncak sesebuah kerajaan ataupun khalifah hendaklah meletakkan Islam sebagai ad deen wad daulah tanpa ada sebarang persempadanan di antara keduanya. Islam tanpa pemerintah tidak akan dapat dilaksanakan dan pemerintahan tanpa Islam hanyalah akan mencetuskan kemudharatan.

Saya rasa cukuplah penjelasan ini untuk menghuraikan permasalahan dharurat yang telah ditimbulkan di dalam artikel di bawah ini. Ianya tidak akan timbul bilamana Islam itu memerintah dan tidak diperintah. Rasulullah saw pernah bersabda : Aslim taslam (Islamlah kamu nescaya kamu akan selamat).

--- In mc-ch@yahoogroups.com, Mohd H Misnan wrote:>

Saya sering membaca kisah wanita (terutama ibu tunggal) yang terpaksa menjual diri untuk membesarkan anak.Punca pendapatan ini secara terang adalah haram. Persoalannya, adakah kehidupan dan pendidikan anak yang membesar dengan wang begini akan mendapat keberkatan Allah?

Adakah anak yang mengetahui pekerjaan ibunya tetapi masih menggunakan wang itu akan turut berdosa? Dan bagaimana pula hukumnya jika wang itu digunakan untuk membayar zakat fitrah?

RAZINKuala Lumpur

JAWAPAN

HUKUM di dalam Islam berbeza mengikut keadaan seseorang. Mengikut istilah yang dipakai di sini, iaitu ‘terpaksa’, membayangkan wanita berkenaan terdesak melakukan perbuatan dilarang dan bukan dengan kehendak hatinya. Dia terdesak berbuat demikian demi menyelamatkan anak dan memberi makan. Perkara dilakukan dalam suasana darurat terlepas daripada hukuman biasa. Dalam keadaan biasa, memang melacur itu haram, tetapi jika terdesak dan darurat ia dimaafkan.

Di sinilah timbulnya tanggungjawab masyarakat untuk membantu. Orang terdesak dan darurat tidak mungkin mampu membayar zakat fitrah, bahkan dia tergolong layak terima fitrah. Jika sampai ada lebihan, bererti dia sudah tidak darurat.

Monday, August 01, 2005

Hukum Mewarnakan Rambut

Baru-baru ini dalam usrah adalah anak buah usrah tanya; apakah hukumnya kita mewarnakan rambut? Tanpa banyak berfikir panjang, jawaplah secara sepintas lalu bahwa ianya haram kecuali untuk berjihad dan seumpamanya.

Malam tadi pula sambil-sambil makan dekat pizza co bincanglah dengan sheikh shafizi detail tentang masalah ini. Untung juga orang tanya at least kita akan rewind balik apa yang kita pelajari selama ini. Dari situlah timbul pro and kontra adakah ianya haram mutlak atau sebaliknya, apakah sebab sebenar pengharamannya jika sekiranya ia haram, adakah ianya merupakan ijma ulama atau masih tergolong di dalam ikhtilaf lagi dan sebagainya.

Balik dari rumah nak tengok kitab, malangnya kitab ada berapa kerat je di rumah. Cuba surf dalam internet dan alhamdulillah jumpa banyak juga artikel yang memperbahaskan tentang masalah ini. Kesimpulannya adalah seperti di bawah:
Hukum Mewarnakan Rambut

Sebelum kita menyelam jauh ke dalam dasar perbincangan masalah ini, sukalah dinyatakan bahawa di peringkat permulaan Islam Rasulullah saw pernah bersabda: "Sesungguhnya orang-orang Yahudi tidak mahu mewarnakan rambut, oleh itu berbezalah kamu dengan mereka.” Riwayat Bukhari.

Motif sebenar hadith ini adalah untuk memastikan umat Islam mempunyai identiti, keperibadian dan akhlak yang tersendiri dan bukanlah hanya sekadar menjadi pengikut suatu ajaran yang lain terutamanya Yahudi dan Nasrani. Pada ketika itu, orang-orang Yahudi dan Nasrani enggan mewarna rambut dan mengubahnya dengan beranggapan berhias dan memperelokkan diri itu dapat menghindarkan erti pengibadatan dan menjejaskan nilai agama sebagaimana yang dilakukan oleh para rahib dan ahli-ahli zuhud yang bersikap berlebih-lebihan. Anggapan ini dikira suatu keterlaluan dalam agama yang tidak sesuai dengan ajaran Islam yang bersifat sederhana dan meraikan kehendak fitrah manusia.

Walau bagaimanapun hadith ini tidaklah bermaksud bahawa arahan Rasulullah saw itu merupakan suatu perkara yang wajib dilakukan sebaliknya ianya hanyalah arahan sunat sahaja. Saidina Abu Bakar mewarnakan rambut dan janggutnya dengan inai dan katm (celupan yang bewarna merah kehitaman), Umar, Ibnu Umar, Mughirah, Abu Hurairah, Hassan dan Husin r. anhum adalah tergolong di kalangan para sahabat yang pernah mewarnakan rambut mereka.

Sementara sahabat yang tidak mewarna uban mereka secara umumnya bukanlah menafikan keharusan mewarna rambut tetapi rata-rata mereka menganggap diri mereka tidak layak lagi untuk mengubah warna uban lalu membiarkan saja uban putih memenuhi rambut mereka antaranya adalah Saidina Ali, Ubai bin Ka’ab dan Anas.

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Abu Hurairah di dalam sebuah hadith marfu’ yang menyebut bahawa Rasulullah saw bersabda : “Sesiapa yang menyimpan rambut hendaklah ia mengemaskannya.” Pentakrifan kemas ini juga mendapat huraian yang lanjut daripada para ulama yang rasanya tidak perlulah dihuraikan di dalam halaman ini.
Sebab Keharusan Mewarnakan Rambut

Antara sebab keharusan mewarnakan rambut adalah:

Pertama: sebagaimana yang tertulis di atas iaitu untuk membezakan diri dari menyerupai golongan Yahudi dan Nasrani

Kedua: di dalam keadaan perang untuk menakutkan musuh. Diriwayatkan ketika Abu Bakar membawa bapanya Abu Qufahah ke hadapan Nabi saw pada hari penaklukan Mekah, Nabi melihat rambutnya seperti pokok Thughamah yang terlalu putih buah dan bunganya lalu bersabda: “Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam.” Riwayat Muslim

Ketiga: Mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami semata-mata dan bukannya untuk menjadi tayangan di khalayak ramai. Bolehlah disimpulkan hukum mewarna rambut ini kepada beberapa hukum:

Sunat mewarnakan rambut kerana uban dengan apa-apa warna selain dari warna hitam.
Harus mewarna rambut dengan warna hitam untuk tujuan jihad dan bagi isteri yang mahu menghiaskan diri untuk suami dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami sahaja.
Makruh mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh dan memutihkan rambut dengan apa juga bahan bagi tujuan untuk kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat, atau diterima percakapannya.
Haram mewarna rambut dengan warna hitam kecuali sebagaimana yang dinyatakan dalam bab harus dan mewarna rambut sehingga menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang bukan Islam.

Di dalam kitab Al Majmu’ 1/360-362 ada menyatakan bahwa mewarnai rambut dan janggut yang beruban adalah sunat. Manakala warna yang dibenarkan ialah kekuningan atau kemerahan dan ianya merupakan pendapat yang disepakati oleh para ashhab. Para fuqaha’ pula sepakat mencela perbuatan mewarna rambut dengan warna hitam. Adapun pendapat yang shahih mengatakan bahawa ianya haram digunakan melainkan ke atas orang-orang yang berjihad.
Mewarna Rambut Yang Diharamkan

Sebahagian ulama melarang perbuatan mewarnakan rambut secara mutlak, seolah-olah warna rambut tidak boleh diubah daripada warna asalnya, namun sejauh yang diperhatikan, dalil-dalil yang dikemukakan bagi pengharaman itu tidak lengkap, atau larangan itu hanya kepada lelaki sahaja, sedangkan wanita dikecualikan, atau larangan dikhaskan kepada wanita tua yang mewarnakan rambutnya, supaya kelihatan muda dan bergaya, lalu diminati lelaki yang tertipu dengan rambut kepala yang kononnya masih hitam.

Abd. Rahman ibn al-Jawzi (114-1201 M.) berpendapat, lelaki juga harus mewarnakan rambut ubannya dengan apa jua warna, termasuk hitam. Beliau menjawab hadis-hadis yang melarang mewarna rambut itu sebagai khusus kepada mereka yang bermotif untuk memelihara nafsu mudanya, sekalipun usianya sudah cukup tua, sehingga tiada tanda-tanda ingin insaf atau semangat kembali kepada cara hidup yang mengutamakan hari akhirat.

Pandangan Ibn al-Jawzi di atas adalah sedikit sebanyak ada benarnya, iaitu setiap orang harus mengenali dirinya sendiri. Jika mewarnakan rambut itu bertujuan memungkinkan dirinya bersama-sama orang muda dalam gelanggang maksiat dan memuja nafsu, pada hal usianya sudah tiba untuk kembali bertaubat dan sentiasa ke masjid, sebenarnya orang ini masih belum sedarkan diri. Uban pada hakikatnya adalah penanda bahawa usia sudah tua, perjalanan hidupnya mungkin lebih separuh usia telah berlalu.

Sebahagian ulama termasuk Imam Syafi'i sebagaimana yang tercatat di dalam al Majmu’ berpendapat haram menghitamkan rambut uban, kecuali bagi tentera ketika perang. Tujuannya supaya musuh berasa takut dan keliru dengan usia tentera muslimin yang masih muda perkasa. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Zarr al-Ghifari r.a. katanya: Sabda nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sebaik-baik pewarna bagi warnakan uban kamu ialah inai dan katam”. (Tirmizi: 1753. Abu Dawud: 4205). Hadis ini menurut Imam Syafei bermaksud warna inai hendaklah menjadi pilihan mereka yang ingin mewarnakan rambutnya.

Melihat kenyataan yang ada dalam masyarakat Islam hari ini, kalangan muda mudi Islam ada yang mewarnakan rambut mereka dengan warna perang, kerana meniru atau terpengaruh dengan orang Barat yang perang warna rambutnya. Sebahagiannya pula mewarna-warnikan rambut, kerana mengamalkan budaya punk kononnya. Fenomena ini tidak wujud pada zaman awal Islam, terutama ketika orang Barat belum dianggap sebagai bangsa yang maju di dunia.

Dalam hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud; “Sesiapa yang menyerupai satu kaum maka ia tergolong dalam kumpulan mereka.”

Hukum Islam jelas dalam hal ini, iaitu melarang umatnya meniru dan menyerupai budaya dan cara hidup orang kafir. Tidak syak lagi, meniru budaya asing secara membuta tuli, tanpa memikirkan faedahnya, adalah suatu amalan yang salah dan membuktikan pendewaannya kepada bangsa yang dicontohinya.

Manakala hukum mewarna rambut pula tidak mempunyai kaitan dengan hukum mandi hadas dan wuduk kerana hukum mandi hadas dan wuduk ialah wajib meratakan air pada anggota badan yang wajib dibasuh. Jika bahan yang diguna bagi mewarnakan rambut itu menghalang sampainya air kepada anggota yang dibasuh maka hendaklah dibuang terlebih dahulu bahan itu, terutama sebelum wuduk dan mandi hadas.

Ini bermakna bukan semua pewarna menghalang sampai air. Bahan-bahan seperti kunyit tidak menghalang, tetapi bahan seperti cat dan cecair getah tentunya melekat dan menghalang. Seseorang yang ingin mandi hadas atau berwuduk, hendaklah mempastikan diri atau anggota wuduknya bersih daripada bahan-bahan seperti cat dan getah terlebih dahulu. Jika ia berfungsi seperti inai atau za'faran atau kunyit, maka tidak mengapa. Jika ia sebagaimana minyak, cat dsbnya, sudah tentu ia menghalang air.

Di dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar mengatakan: "Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam." (HR Tarmizi dan Ashaabus Sunan). Katam adalah satu pokok yang tumbuh di Yaman yang mengeluarkan pewarna berwarna hitam kemerah-merahan manakala Inai berwarna merah.

Sementara hadis daripada Ibnu ‘Abbas r.a katanya : Maksudnya : “ Rasulullah S.A.W bersabda : “Di akhir zaman akan terdapat ramai kaum yang mewarnai rambut dengan warna hitam seperti dada burung merpati, mereka tidak dapat menikmati harumnya bau syurga.” Riwayat Abu Daud.

Masalah ini juga telah dibincangkan di dalam (Al-halal Wal haram Fil Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi, hal.89-09).

Sunday, July 31, 2005

Imbau Kembali 01.07.2005




Teringat kembali saat-saat indah ketika semua sahabat seperjuangan turun ke majlis konvokesyen di Universiti of Wales, Lampeter. Walaupun ianya hanyalah suatu majlis yang kecil dan tidak semeriah mana tapi bukannya itu yang menjadi ukuran. Yang penting adalah separuh tanggungjawab dan perjuangan kita sudah selesai dan setapak melangkah ke hadapan bererti medan perjuangan kita adalah lebih hebat dan mehnah, tribulasi serta ujiannya pastilah akan lebih gempak lagi.

Masih terngiang-ngiang lagi beberapa 'brainwash' yang telah diberikan oleh Abg Shifu tentang beberapa peranan dan ujian yang bakal kita hadapi pada masa akan datang. Di harap sahabat sekalian tidak akan melupakan sekali-kali akan pesanan yang amat bernilai itu. Bukan sekadar satu ceramah yang hanya menyentuh tentang teori dan dasar ilmu dakwah dan perjuangan semata-mata tetapi meresap sehingga ke dasar perjuangan, praktikal serta mehnah tribulasi yang bakal dihadapi.

Sebagai seorang graduan pengajian Islam yang telah menerokai Islam ini dari pelbagai sudut pandangan masyarakat, bangsa dan agama seharusnya kita lebih peka dan memahami akan matlamat perundangan Islam. Kalau dahulu kita sekadar belajar tentang Ilmu Fiqh, Usul Fiqh, Mantieq, Usul Da'wah dan sebagainya maka inilah saatnya untuk kita membuktikan segala apa yang telah kita perolehi selama ini.

Sekarang ini adalah masanya untuk kita menerangkan kepada masyarakat tentang kesyumulan Islam, fleksibiltinya (al murunah) serta kaedah-kaedah fiqhiyyah yang telah dipelajari selama ini. Timbul dan hangat diperbincangkan di dalam masyarakat pada ketika ini tentang had serta pengertian dharurat yang sebenar ketikamana timbul beberapa kalangan yang bergelar cendiakawan Islam mempermudahkan kaedah dharurat mengharuskan perkara yang diharamkan. Ianya sebenarnya sudah lama dijadikan hujah untuk golongan ini cuma panas diperbincangkan di akhir-akhir ini kerana membabitkan masalah agama yang cukup sensitif iatu pengharusan zina di kala dharurat. Masalah riba atau interest, faedah dan seumpamanya cukup berleluasa di Malaysia. Hujah pengharusannya adalah kerana dharurat dan keterpaksaan untuk kita beramal dengan amalan riba dengan sistem konvensional yang telah sedia ada di dalam negara umat Islam yang telah merdeka sejak 48 tahun bebas dari cengkaman penjajah.

Antaranya lagi adalah setiap amalan itu adalah bergantung kepada niat individu, di mana ramai di kalangan para artis yang menyatakan bahawa tujuan mereka menyanyi, menari, berjoget dan sebagainya itu hanyalah sekadar untuk mencari rezeki buat menampung kehidupan mereka.

Kita telah mempelajari di dalam Islam terdapat golongan yang bersifat ortodok, ekstrimis dan yang bersikap sederhana. Cubalah terapkan nilai-nilai dan fahaman kesederhanaan ini di dalam masyarakat supaya masyarakat tidak menganggap Islam itu sebagai suatu agama yang complicated dan sukar untuk dipraktikkan.

Umpamanya tentang konsep pemakaian hijab dan konsep aurat wanita Islam. Dewan Muslimat cuba mengorak langkah setapak di hadapan dengan memperkenalkan kepada masyarakat tentang konsep hijab dan aurat yang sebenar di dalam Islam ini. Suatu langkah yang boleh disifatkan sebagai suatu approach untuk menarik masyarakat supaya lebih mengenali Islam dan ajarannya.

Adakah hanya dengan bertudung labuh dan berjubah sahaja barulah dianggap pakaian Islam. Bagaimana dengan staff-staff kerajaan atau swasta yang hidup mereka sentiasa di dalam kesibukan mundar mandir ke hulu ke hilir contohnya. Mereka juga memerlukan suatu penampilan yang menarik dan menepati ciri-ciri penutupan aurat di dalam Islam. Agar tidak lahir di dalam masyarakat kita pada masa akan datang pandangan wanita Islam hendaklah berpurdah serta menutup seluruh tubuhnya melainkan sepasang mata sahaja, wanita tidak boleh memakai pakaian yang berwarna-warni dan pelbagai lagi sebagaimana masyarakat dunia melihat Islam hanya dengan melihat masyarakat Islam di Timur Tengah dan Asia tengah umpamanya di Arab Saudi, Pakistan, Afghanistan dan lain-lain.

Walaubagaimanapun sepertimana yang kita pelajari selama ini, bukanlah mudah untuk menjadi golongan yang pertengahan ini kerana sudah pasti adanya suatu sayap yang lain yang akan bersikap ortodok dengan berpegang dengan zahir masadirut tasyrie' yang empat semata-mata dan sudah tentunya akan lahir suatu golongan yang akan mempermudah-mudahkan Islam sehingga sanggup menggadaikan ciri-ciri Islam itu sendiri.

Di dalam pilihanraya yang lalu pada tahun 2004, kita mendapati antara jurang dan lembah yang membawa kekalahan teruk parti Islam adalah pengabaian para pejuang Islam terhadap kehendak muda mudi yang masih berada di alam murahaqah ini. Kita sendiri sebagai seorang pejuang Islam yang sudah sekian lama bergaul serta bercampur aduk hanya dengan golongan sefikrah semata-mata merasa kekok serta kaku untuk berhadapan dengan muda-mudi yang terpengaruh dengan anasir-anasir luar ini.

Dewan Pemuda mengambil langkah berani untuk menghampiri golongan ini setelah menyedari bahwa program ceramah umum, ceramah agama dan seumpamanya tidak akan mendapat sambutan golongan-golongan remaja ini dengan turun ke padang menyusuri golongan-golongan yang mempunyai potensi besar terhadap Islam ini dan menerangkan serta mengedar risalah tentang apakah itu Islam yang sebenar. Syabas diucapkan buat Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Sesungguhnya Islam tidak akan rugi jika sekiranya kita tidak menghulurkan bantuan dalam usaha untuk menyebarkan cahaya Islam ini bahkan yang bakal menghadapi kerugian dan menyesal nanti adalah diri kita yang tidak berani untuk bersama di dalam medan perjuangan.

01.07.2005




Sedar tak sedar dah setahun lebih dah berada dalam period 'out of study', konon-kononnya nak kumpul duit sikit untuk sambung Master. Entahlah boleh ke tak nak sambung Master kat sini. Hajat di hati setinggi langit tapi bila cermin ke diri ... emmm ... tapi doakanlah agar semua urusan dipermudahkan Ilahi. Ada juga percubaan untuk memohon sumbangan dana dari beberapa badan dan individu tapi buat masa ini tak dapat lagi hitam putih. Ala kullihal hidup mesti diteruskan dengan penuh keazaman.

1hb Julai yang lalu, alhamdulillah segala pertanyaan yang timbul selama ini akhirnya terjawab juga. Di dalam hati penuh rasa lega dan syukur melihat hasil penantian selama ini. Tapi masih tertanya-tanya bagaimanakah nasib adik-adik yang menyusul selepas daripada ini. Buat adik-adik, perjuangan mestilah diteruskan insya-Allah peluang pada masa akan datang hanya Tuhan yang tahu.

Kalau dulu, ada usaha untuk menyekat pelajar SAR untuk menyambung pengajian ke Timur Tengah tapi alhamdulillah Tuhan buka jalan untuk cahaya Islam ini tersebar sehinggalah tercampaknya sekelompok manusia di bumi Eropah dan Barat ini. Walaupun pelbagai ujian mendatang tapi akhirnya tiada siapa dapat menentang takdir Rabbul Izzati. At least terpampang juga di dalam harakahdaily... Pelajar SAR (sekolah agama rakyat) boleh buktikan kejayaan.Insya-Allah kalau tiada aral melintang, bulan September ini ada kursus persediaan pengajian Master selama sebulan di University of Wales, Lampeter dan bulan Oktober insya-Allah akan balik ke Malaysia samada for good atau sementara semua itu hanya Allah yang tahu. Kalau ada rezeki bulan December akan datang balik ke UK dan bulan Januari pengajian akan bermula.

Buat sahabat semua, doakanlah untuk diri ini sebanyak yang mungkin manalah tahu kalau-kalau ada Uwais al Qarni di kalangan sahabat-sahabat sekalian.