Sunday, July 31, 2005

Imbau Kembali 01.07.2005




Teringat kembali saat-saat indah ketika semua sahabat seperjuangan turun ke majlis konvokesyen di Universiti of Wales, Lampeter. Walaupun ianya hanyalah suatu majlis yang kecil dan tidak semeriah mana tapi bukannya itu yang menjadi ukuran. Yang penting adalah separuh tanggungjawab dan perjuangan kita sudah selesai dan setapak melangkah ke hadapan bererti medan perjuangan kita adalah lebih hebat dan mehnah, tribulasi serta ujiannya pastilah akan lebih gempak lagi.

Masih terngiang-ngiang lagi beberapa 'brainwash' yang telah diberikan oleh Abg Shifu tentang beberapa peranan dan ujian yang bakal kita hadapi pada masa akan datang. Di harap sahabat sekalian tidak akan melupakan sekali-kali akan pesanan yang amat bernilai itu. Bukan sekadar satu ceramah yang hanya menyentuh tentang teori dan dasar ilmu dakwah dan perjuangan semata-mata tetapi meresap sehingga ke dasar perjuangan, praktikal serta mehnah tribulasi yang bakal dihadapi.

Sebagai seorang graduan pengajian Islam yang telah menerokai Islam ini dari pelbagai sudut pandangan masyarakat, bangsa dan agama seharusnya kita lebih peka dan memahami akan matlamat perundangan Islam. Kalau dahulu kita sekadar belajar tentang Ilmu Fiqh, Usul Fiqh, Mantieq, Usul Da'wah dan sebagainya maka inilah saatnya untuk kita membuktikan segala apa yang telah kita perolehi selama ini.

Sekarang ini adalah masanya untuk kita menerangkan kepada masyarakat tentang kesyumulan Islam, fleksibiltinya (al murunah) serta kaedah-kaedah fiqhiyyah yang telah dipelajari selama ini. Timbul dan hangat diperbincangkan di dalam masyarakat pada ketika ini tentang had serta pengertian dharurat yang sebenar ketikamana timbul beberapa kalangan yang bergelar cendiakawan Islam mempermudahkan kaedah dharurat mengharuskan perkara yang diharamkan. Ianya sebenarnya sudah lama dijadikan hujah untuk golongan ini cuma panas diperbincangkan di akhir-akhir ini kerana membabitkan masalah agama yang cukup sensitif iatu pengharusan zina di kala dharurat. Masalah riba atau interest, faedah dan seumpamanya cukup berleluasa di Malaysia. Hujah pengharusannya adalah kerana dharurat dan keterpaksaan untuk kita beramal dengan amalan riba dengan sistem konvensional yang telah sedia ada di dalam negara umat Islam yang telah merdeka sejak 48 tahun bebas dari cengkaman penjajah.

Antaranya lagi adalah setiap amalan itu adalah bergantung kepada niat individu, di mana ramai di kalangan para artis yang menyatakan bahawa tujuan mereka menyanyi, menari, berjoget dan sebagainya itu hanyalah sekadar untuk mencari rezeki buat menampung kehidupan mereka.

Kita telah mempelajari di dalam Islam terdapat golongan yang bersifat ortodok, ekstrimis dan yang bersikap sederhana. Cubalah terapkan nilai-nilai dan fahaman kesederhanaan ini di dalam masyarakat supaya masyarakat tidak menganggap Islam itu sebagai suatu agama yang complicated dan sukar untuk dipraktikkan.

Umpamanya tentang konsep pemakaian hijab dan konsep aurat wanita Islam. Dewan Muslimat cuba mengorak langkah setapak di hadapan dengan memperkenalkan kepada masyarakat tentang konsep hijab dan aurat yang sebenar di dalam Islam ini. Suatu langkah yang boleh disifatkan sebagai suatu approach untuk menarik masyarakat supaya lebih mengenali Islam dan ajarannya.

Adakah hanya dengan bertudung labuh dan berjubah sahaja barulah dianggap pakaian Islam. Bagaimana dengan staff-staff kerajaan atau swasta yang hidup mereka sentiasa di dalam kesibukan mundar mandir ke hulu ke hilir contohnya. Mereka juga memerlukan suatu penampilan yang menarik dan menepati ciri-ciri penutupan aurat di dalam Islam. Agar tidak lahir di dalam masyarakat kita pada masa akan datang pandangan wanita Islam hendaklah berpurdah serta menutup seluruh tubuhnya melainkan sepasang mata sahaja, wanita tidak boleh memakai pakaian yang berwarna-warni dan pelbagai lagi sebagaimana masyarakat dunia melihat Islam hanya dengan melihat masyarakat Islam di Timur Tengah dan Asia tengah umpamanya di Arab Saudi, Pakistan, Afghanistan dan lain-lain.

Walaubagaimanapun sepertimana yang kita pelajari selama ini, bukanlah mudah untuk menjadi golongan yang pertengahan ini kerana sudah pasti adanya suatu sayap yang lain yang akan bersikap ortodok dengan berpegang dengan zahir masadirut tasyrie' yang empat semata-mata dan sudah tentunya akan lahir suatu golongan yang akan mempermudah-mudahkan Islam sehingga sanggup menggadaikan ciri-ciri Islam itu sendiri.

Di dalam pilihanraya yang lalu pada tahun 2004, kita mendapati antara jurang dan lembah yang membawa kekalahan teruk parti Islam adalah pengabaian para pejuang Islam terhadap kehendak muda mudi yang masih berada di alam murahaqah ini. Kita sendiri sebagai seorang pejuang Islam yang sudah sekian lama bergaul serta bercampur aduk hanya dengan golongan sefikrah semata-mata merasa kekok serta kaku untuk berhadapan dengan muda-mudi yang terpengaruh dengan anasir-anasir luar ini.

Dewan Pemuda mengambil langkah berani untuk menghampiri golongan ini setelah menyedari bahwa program ceramah umum, ceramah agama dan seumpamanya tidak akan mendapat sambutan golongan-golongan remaja ini dengan turun ke padang menyusuri golongan-golongan yang mempunyai potensi besar terhadap Islam ini dan menerangkan serta mengedar risalah tentang apakah itu Islam yang sebenar. Syabas diucapkan buat Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Sesungguhnya Islam tidak akan rugi jika sekiranya kita tidak menghulurkan bantuan dalam usaha untuk menyebarkan cahaya Islam ini bahkan yang bakal menghadapi kerugian dan menyesal nanti adalah diri kita yang tidak berani untuk bersama di dalam medan perjuangan.

No comments: