Sunday, March 26, 2006

Imtihan

Sabda Rasulullah saw: Sungguh ajaib orang yang beriman, setiap sesuatu yang berlaku ke atasnya adalah baik baginya. Jika sekiranya dikurniakan kebahagiaan dianya bersyukur, maka ianya adalah suatu kebaikan baginya dan jika jika sekiranya ditimpa mala pelataka dianya bersabar, maka ianya adalah suatu kebaikan baginya. Riwayat Muslim

Hadith ini memberi pengertian yang sungguh bermakna buat diri ini. Bersabar di saat kemurungan atau kedurjanaan dan bersyukur di saat kebahagiaan. Bila diimbau kehidupan kita kembali, sudah terlalu banyak kesenangan dan kemewahan yang Allah taala anugerahkan kepada kita tetapi kadang-kadang cuma sekelumit lafaz Alhamdulillah sahaja yang diungkapkan ... itupun hanyalah sekadar lafaz yang diluahkan bersama dengan bacaan Al Fatihah atau surah-surah yang lain atau di dalam muqaddimah doa semata-mata tanpa menusuk ke dalam jiwa dan sanubari ini. Bukan itu sahaja, kehidupan seharian yang berlalu sunyi dan sepi dari zikrullah bahkan kadang-kadang melangkah lebih jauh dengan mengingkari arahan dan larangan-Nya azza wa jalla. Sesekali timbul persoalan layakkah diri ini mengutip janji-janji Tuhan yang disemadikan samada dengan perantaraan Al Quran mahupun Sunnah Baginda saw tentang keindahan syurga dan kenikmatan di dalamnya.

Sudah tentulah kita merasa cukup kerdil dan hina untuk menerima anugerah yang sebegitu besar. Benar kita mengharapkan syurga Ilahi, mengimpikan agar dihindarkan dari azab seksa-Nya, tetapi dengan kesibukan kehidupan di dunia dan kealpaan yang lahir telah menghilangkan ketakutan kita terhadap janji-janji Rabbul Izzati ini.

Ya Allah Ya Tuhanku, kalau suatu ketika dulu ada di kalangan para sahabat yang mengeluh kerana bimbangkan tentang ketulusan iman mereka ... bahkan mereka takut dan bimbang andai kata keimanan mereka tercela dengan sifat-sifat munafik lantaran sedikit kealpaan yang lahir lantaran daripada kesibukan dunia. Apatah lagi hambamu ini yang sudah jauh berada di zaman yang boleh disifatkan sebagai zaman mutakhir. Kenapa tidak ada sedikitpun perasaan gentar dan takut di dalam diri ini. Kalau ada pun ianya hanyalah seketika cuma ...

Ya Allah Ya Tuhanku, diri ini sedar bahawa diri ini masih lagi belum bersyukur pada-Mu Ya Allah. Kesyukuran itu lahir hanyalah seketika dan di lidah semata-mata Ya Allah. Campakkanlah secebis ketakutan di dalam diri ini Ya Allah.


No comments: