Tuesday, June 13, 2006

Satu Nasihat Untuk Dikongsi Bersama

Setelah membaca blog Ustazah Zalina, rasanya tak salah kalau nak berkongsi idea dengan sahabat-sahabat di luar sana.

Sepanjang 6 tahun pengajian di Darul Quran, banyak ilmu dan pengalaman yang ditimba. Walaupun sudah lima tahun dunia ma'had itu ditinggalkan namun sebagaimana yang biasa diungkapkan sejarah itu biasanya berulang kembali cuma perwatakan yang berbeza.

Beberapa kelemahan dan kekurangan dapat disimpulkan:
1. Persekitaran yang tidak jauh berbeza terutamanya bagi golongan yang sudah serasi bersama bermula dari Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Islam (DAR), seterusnya Ma'had Darul Quran dan barangkali sehingga ke Pusat Pengajian Tinggi di Timur Tengah mencetuskan suasana ... jumud (maaf andai terkasar namun itulah realiti) sehingga menyebabkan kekurangan daya kreativiti, keterbatasan pengetahuan, kekurangan pengalaman dan rangkaian (kenalan) sehingga menjadikan kita seumpama katak di bawah tempurung.

2. Kurang kemahiran pendidikan di kalangan tenaga pengajar lantaran mencetuskan permasalahan sistem penyampaian yang tidak berkesan, sistem pengajaran yang tidak menepati silibus yang telah ditetapkan dan keperluan pelajar, komitmen yang minimum dan yang seumpama dengannya.

Sebagai contoh:

2.1 Pada tahap I'dadie 3 sudah diajar dengan permasalahan nikah seperti li'an, dzihar dll, diikuti dengan permasalahan nikah pada tahap tertinggi Thanawi sehingga melupakan keperluan pelajar kepada pemahaman asas mengenai zakat, haji dan umrah.

2.2 Subjek Lughah seperti Imla', Insya', Nahu, Sorof, Balaghah dan Adab yang seharusnya diberikan kepada tenaga pengajar yang berkelayakan serta berkemampuan bertutur Bahasa Arab dengan fasih tetapi yang berlaku tidak sebagaimana yang diharapkan. Seharusnya pengajian mata pelajaran seumpama ini menjadikan Bahasa Arab sebagai pengantar utama dan Bahasa Melayu hanya sebagai pemudah cara sahaja supaya dapat memastikan pelajar didedahkan dengan dialog dan komunikasi di dalam Bahasa Arab.

3. Sumber kewangan yang meruncing. Ini adalah di antara faktor utama terutamanya bagi sekolah agama rakyat seperti ini yang hanya menawarkan imbuhan yang tidak seberapa kepada kakitangan dan tenaga pengajarnya. Natijahnya tenaga pengajar yang mahir memilih untuk berkhidmat di tempat yang menawarkan imbuhan yang lumayan dan yang tiada tempat di luar sana akhirnya menjadikan sekolah agama rakyat sebagai tumpuan mereka. *** hanya segelintir bukan kesemuanya.

4. Stereotype masyarakat terhadap institut pengajian agama dan sekolah agama rakyat. Lantaran itu, masyarakat lebih menumpukan sekolah beraliran sekular untuk mendidik anak-anak mereka dan tinggallah segelintir yang tidak diterima atau bermasalah dihantar kepada SAR sehingga kadang-kadang menjadi barah yang sukar dibendung dan akhirnya menjangkiti kesemua pelajar yang lain. Inilah fenomena yang biasa berlaku di SAR, namun tiada upaya pihak pentadbiran SAR untuk menolak kehadiran golongan ini apabila ibubapa merayu dan menangis demi melihat anak-anak mereka mendapat sistem pendidikan Islam yang sempurna.

Any suggestion or comment can be shared together and warmly welcomed. Falyatafaddhal masybura.

No comments: