Saturday, June 24, 2006

Sejarah Sebenarnya Berulang

Sejarah sebenarnya berulang tidak kira di pelusuk dunia mana kita berada cuma yang berubahnya adalah individu pemegang watak sahaja.

Sebagai contoh: percubaan Iblis menghasut Adam a.s. menggunakan perantaraan Hawa, perselisihan di antara Qabil dan Habil yang berpunca dari perasaan dengki dan irihati, pengkhianatan dan tentangan keluarga seperti yang berlaku pada isteri Nabi Luth a.s. Nabi Ibrahim a.s dan ayahnya, pertembungan di antara hak dan batil yang dialami oleh para Anbiya' dan Mursalien dan seumpamanya.

Kesemuanya berulang dari masa ke semasa dengan sedikit perubahan sahaja. Setelah meneliti kembali sejarah perpecahan umat Islam selepas kewafatan Rasulullah saw saya merasakan bahawa kumpulan (firqah) yang pernah menimbulkan pelbagai permasalahan dan kontrovesi suatu ketika dahulu seakan-akan masih segar dan berkembang ideologi yang dilaung-laungkan walaupun pada hakikatnya kumpulan itu sudah berkubur rapat di dasar bumi bersama dengan para pelopornya.

Sebagai contoh;
1. Penggunaan falsafah yang banyak berpandukan kepada logik akal di dalam pemikiran Muktazilah sehingga mampu mengatasi Al Quran dan Hadith.


Ideologi Muktazilah ini sebenarnya sudah menular ke dalam pemikiran umat akhir zaman ini contohnya; penggunaan akal di dalam menentukan kebaikan dan keburukan mengatasi Al Quran dan Hadith seperti tiada manfaat menutup aurat jika sekiranya hati tidak ikhlas, perundangan Islam tidak sesuai dipraktikkan di zaman mutakhir ini dan seumpamanya.

2. Fahaman Murjiah yang menyatakan bahawa Iman itu hanya sekadar di dalam hati sahaja bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah yang menyatakan bahawa Iman itu apa yang terbuku di dalam hati, dilafazkan dengan lisan dan diamalkan dengan anggota tubuh badan. Fahaman Murjiah ini adalah cukup merbahaya kerana membawa erti bahawa jika sekiranya seseorang itu beriman maka dianya boleh melakukan sebarang bentuk amalan samada yang mengundang dosa besar atau mendatangkan pahala kerana iman itu tidak akan berganjak.

Antara contoh fahaman Murjiah yang menular dalam masyarakat kita pada hari ini adalah; walaupun seseorang itu mendedahkan aurat, berlaku sumbang, terlibat dengan arak, judi dan seumpamanya tetapi kita tidak boleh menghukum mereka kerana iman itu hanyalah di dalam hati semata-mata ...

Inilah yang banyak berlaku dan melanda golongan artis, ahli politik, pemimpin negara yang sentiasa menggunakan hujah Murjiah ini bagi membela diri mereka yang sentiasa terlibat di dalam gejala maksiat seperti yang disebutkan di atas tadi terutamanya artis wanita yang sentiasa dikaitkan dengan pemakaian yang menjolok mata dan juga ahli politik yang sentiasa terlibat dengan politik wang (pada hakikatnya rasuah), pendedahan aurat, menjadi benteng kepada aktiviti sosial yang melibatkan unsur makisat dan seumpamanya.

Perlu diingatkan bahawa sebagai seorang Islam kita amat teliti di dalam memastikan bahawa Imam solat fardhu yang kita tunaikan adalah merupakan seorang yang alim (pandai di dalam ilmu agama), wara' (menjaga dari dosa kecil apatah lagi dosa besar), faqih, adil dan seumpamanya tetapi di dalam kehidupan seharian kita sanggup memilih pemimpin yang memimpin serta mencorak kehidupan kita dari golongan yang sentiasa mempersendakan hukum Allah, tidak menutup aurat, terlibat dengan rasuah, judi, arak dan seumpamanya.

3. Fahaman Khawarij yang menyatakan orang yang melakukan dosa besar adalah kafir serta berpegang dengan zahir nas sehingga menyatakan bahawa orang yang menuduh lelaki berkahwin berzina tidak dikenakan had qazaf sebagaimana yang dikenakan ke atas mereka yang menuduh wanita muhsanaat berdasarkan zahir ayat An Nuur:23.

Fahaman ini tidaklah begitu menyelewang berbanding firqah yang lain bahkan hadith yang diriwayatkan oleh kumpulan khawarij masih lagi diterima kerana penipuan di sisi mereka boleh menjebakkan diri ke dalam kancah kekafiran tetapi keburukan mereka adalah terlalu drastik dalam menentukan keimanan dan kekufuran seseorang cukup dengan sekadar melakukan satu dosa besar sahaja.

No comments: