Saturday, June 24, 2006

Malaysia Kini

Democracy rank 94/149
Press Freedom Rank 113/147
Corruption Rank 31/139

For the details : http://www.worldaudit.org/democracy.htm

Setelah hampir 10 bulan berada di tanahair, bolehlah disimpulkan bahawa berlaku sedikit anjakan paradigma di dalam suasana politik tanahair. Peluang rakyat untuk bersuara sedikit sebanyak dapat diperolehi walaupun agak sukar untuk parti pembangkang bersuara lantaran tekanan dan sekatan yang bertalu-talu. Malaysia di bawah kepimpinan Pak Lah adalah lebih terbuka daripada berada di bawah kepimpinan Dr. Mahathir. Walaubagaimanapun berdasarkan ranking dan statistik yang diberikan Malaysia masih lagi mempunyai perjalanan yang terlalu jauh untuk mencapai ketelusan Demokrasi.

Ini adalah sedikit perubahan yang rasanya boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia:

1. Kebebasan media mendedah dan membongkarkan sesuatu isu seperti kelemahan PBT,realiti kehidupan masyarakat dan seumpamanya. Antara bentuk program yang boleh dibanggakan adalah:

i. Warta Berita dan Media Massa yang saban hari membongkar kelemahan PBT dan bermulalah suatu drama apabila kerajaan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, PBT berlepas tangan, Menteri menyalahkan kakitangan bawahan dan seumpamanya. Yang pasti kesemuanya dapat diatasi dengan mudah andai kata kedua-dua pihak telus dan amanah.

Walaubagaimanapun tahniah kepada pihak media di atas suatu perubahan positif ini di mana media bukanlah agen melobi kerajaan semata-mata sebaliknya sebagai pengkritik kepada kelemahan sistem pentadbiran kerajaan.

Teringat ketika menontot 'Fenomena Seni' dengan tajuk 'Benarkah Artis Malaysia Tidak Bermoral', seorang surirumah dari Kelantan menegur salah seorang ahli panel yang menyentuh tentang tudung tanpa menyedari bahawa ianya bukanlah suatu fesyen semasa tetapi sesuatu tuntutan Ilahi yang wajib dituruti melainkan jika seseorang itu terpengaruh dengan fahaman Murjiah maka mungkin dia boleh menyatakan dia tidak memakai tudung tapi mempunyai keimanan yang tinggi di dalam hati sanubarinya yang hanya diketahui oleh Allah swt sahaja.

Di United Kingdom, media memberikan seluas-luasnya ruang kepada semua parti yang bertanding untuk membentangkan manifesto mereka secara live di kaca tv dan radio tidak kira parti pemerintah atau parti pembangkang ... Malaysia bila lagi?

ii. Program Bersamamu yang sebenarnya telah menyedarkan kita bahawa terlalu banyak kemiskinan yang wujud di sekeliling kita pada hari ini kerana setelah sekian lama kita disogok dengan kemewahan dan kemajuan Malaysia dengan KLIA, KLCC, Litar Sepang dll. sedangkan segala kemewahan itu hanya boleh dikecapi oleh sesetengah golongan elit semata-mata.

** Pesanan kepada MP dan ADUN, jangan tunggu sehingga Bersamamu membongkarkan kemiskinan di tempat sendiri barulah sibuk memberikan sumbangan ...

2. Keberaniaan ahli politik dalam bersuara menentang arus budaya mengangguk dan mengiyakan pendapat pemimpin yang telah sekian lama menjadi suatu budaya yang sukar dibendung.

Tahniah kepada Shahrir Samad kerana berani dalam melakukan suatu anjakan paradigma di dalam komponen parti pemerintah. Tahniah juga kerana berani bertindak tegas di dalam mempertikaikan seorang Menteri yang rasanya satu-satu menteri yang mampu berkubur lama di dalam sesebuah kementerian.

Akhirnya, di sebalik kesemua yang dituliskan di atas kita mendoakan agar demokrasi di Malaysia dapat dibersihkan daripada segala anasir yang tidak sihat yang pernah mencemari ranking Malaysia sehingga mencecah tangga 94 daripada 149.

Walaubagaimanapun kita sendiri sedar bahawasanya pihak barat sentiasa akan memastikan bahawa demokrasi ini tidak akan menjadi suatu kenyataan melainkan suatu retorik semata-mata kerana kebangkitan Islam adalah merupakan suatu ancaman bagi mereka. Lihatlah apa yang berlaku di Palestin apabila demokrasi menjadi agenda utama ... Islam tetap mendapat tempat di dalam lubuk sanubari manusia yang diciptakan Allah swt.

Sejarah Sebenarnya Berulang

Sejarah sebenarnya berulang tidak kira di pelusuk dunia mana kita berada cuma yang berubahnya adalah individu pemegang watak sahaja.

Sebagai contoh: percubaan Iblis menghasut Adam a.s. menggunakan perantaraan Hawa, perselisihan di antara Qabil dan Habil yang berpunca dari perasaan dengki dan irihati, pengkhianatan dan tentangan keluarga seperti yang berlaku pada isteri Nabi Luth a.s. Nabi Ibrahim a.s dan ayahnya, pertembungan di antara hak dan batil yang dialami oleh para Anbiya' dan Mursalien dan seumpamanya.

Kesemuanya berulang dari masa ke semasa dengan sedikit perubahan sahaja. Setelah meneliti kembali sejarah perpecahan umat Islam selepas kewafatan Rasulullah saw saya merasakan bahawa kumpulan (firqah) yang pernah menimbulkan pelbagai permasalahan dan kontrovesi suatu ketika dahulu seakan-akan masih segar dan berkembang ideologi yang dilaung-laungkan walaupun pada hakikatnya kumpulan itu sudah berkubur rapat di dasar bumi bersama dengan para pelopornya.

Sebagai contoh;
1. Penggunaan falsafah yang banyak berpandukan kepada logik akal di dalam pemikiran Muktazilah sehingga mampu mengatasi Al Quran dan Hadith.


Ideologi Muktazilah ini sebenarnya sudah menular ke dalam pemikiran umat akhir zaman ini contohnya; penggunaan akal di dalam menentukan kebaikan dan keburukan mengatasi Al Quran dan Hadith seperti tiada manfaat menutup aurat jika sekiranya hati tidak ikhlas, perundangan Islam tidak sesuai dipraktikkan di zaman mutakhir ini dan seumpamanya.

2. Fahaman Murjiah yang menyatakan bahawa Iman itu hanya sekadar di dalam hati sahaja bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah yang menyatakan bahawa Iman itu apa yang terbuku di dalam hati, dilafazkan dengan lisan dan diamalkan dengan anggota tubuh badan. Fahaman Murjiah ini adalah cukup merbahaya kerana membawa erti bahawa jika sekiranya seseorang itu beriman maka dianya boleh melakukan sebarang bentuk amalan samada yang mengundang dosa besar atau mendatangkan pahala kerana iman itu tidak akan berganjak.

Antara contoh fahaman Murjiah yang menular dalam masyarakat kita pada hari ini adalah; walaupun seseorang itu mendedahkan aurat, berlaku sumbang, terlibat dengan arak, judi dan seumpamanya tetapi kita tidak boleh menghukum mereka kerana iman itu hanyalah di dalam hati semata-mata ...

Inilah yang banyak berlaku dan melanda golongan artis, ahli politik, pemimpin negara yang sentiasa menggunakan hujah Murjiah ini bagi membela diri mereka yang sentiasa terlibat di dalam gejala maksiat seperti yang disebutkan di atas tadi terutamanya artis wanita yang sentiasa dikaitkan dengan pemakaian yang menjolok mata dan juga ahli politik yang sentiasa terlibat dengan politik wang (pada hakikatnya rasuah), pendedahan aurat, menjadi benteng kepada aktiviti sosial yang melibatkan unsur makisat dan seumpamanya.

Perlu diingatkan bahawa sebagai seorang Islam kita amat teliti di dalam memastikan bahawa Imam solat fardhu yang kita tunaikan adalah merupakan seorang yang alim (pandai di dalam ilmu agama), wara' (menjaga dari dosa kecil apatah lagi dosa besar), faqih, adil dan seumpamanya tetapi di dalam kehidupan seharian kita sanggup memilih pemimpin yang memimpin serta mencorak kehidupan kita dari golongan yang sentiasa mempersendakan hukum Allah, tidak menutup aurat, terlibat dengan rasuah, judi, arak dan seumpamanya.

3. Fahaman Khawarij yang menyatakan orang yang melakukan dosa besar adalah kafir serta berpegang dengan zahir nas sehingga menyatakan bahawa orang yang menuduh lelaki berkahwin berzina tidak dikenakan had qazaf sebagaimana yang dikenakan ke atas mereka yang menuduh wanita muhsanaat berdasarkan zahir ayat An Nuur:23.

Fahaman ini tidaklah begitu menyelewang berbanding firqah yang lain bahkan hadith yang diriwayatkan oleh kumpulan khawarij masih lagi diterima kerana penipuan di sisi mereka boleh menjebakkan diri ke dalam kancah kekafiran tetapi keburukan mereka adalah terlalu drastik dalam menentukan keimanan dan kekufuran seseorang cukup dengan sekadar melakukan satu dosa besar sahaja.

Tuesday, June 13, 2006

Satu Nasihat Untuk Dikongsi Bersama

Setelah membaca blog Ustazah Zalina, rasanya tak salah kalau nak berkongsi idea dengan sahabat-sahabat di luar sana.

Sepanjang 6 tahun pengajian di Darul Quran, banyak ilmu dan pengalaman yang ditimba. Walaupun sudah lima tahun dunia ma'had itu ditinggalkan namun sebagaimana yang biasa diungkapkan sejarah itu biasanya berulang kembali cuma perwatakan yang berbeza.

Beberapa kelemahan dan kekurangan dapat disimpulkan:
1. Persekitaran yang tidak jauh berbeza terutamanya bagi golongan yang sudah serasi bersama bermula dari Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Islam (DAR), seterusnya Ma'had Darul Quran dan barangkali sehingga ke Pusat Pengajian Tinggi di Timur Tengah mencetuskan suasana ... jumud (maaf andai terkasar namun itulah realiti) sehingga menyebabkan kekurangan daya kreativiti, keterbatasan pengetahuan, kekurangan pengalaman dan rangkaian (kenalan) sehingga menjadikan kita seumpama katak di bawah tempurung.

2. Kurang kemahiran pendidikan di kalangan tenaga pengajar lantaran mencetuskan permasalahan sistem penyampaian yang tidak berkesan, sistem pengajaran yang tidak menepati silibus yang telah ditetapkan dan keperluan pelajar, komitmen yang minimum dan yang seumpama dengannya.

Sebagai contoh:

2.1 Pada tahap I'dadie 3 sudah diajar dengan permasalahan nikah seperti li'an, dzihar dll, diikuti dengan permasalahan nikah pada tahap tertinggi Thanawi sehingga melupakan keperluan pelajar kepada pemahaman asas mengenai zakat, haji dan umrah.

2.2 Subjek Lughah seperti Imla', Insya', Nahu, Sorof, Balaghah dan Adab yang seharusnya diberikan kepada tenaga pengajar yang berkelayakan serta berkemampuan bertutur Bahasa Arab dengan fasih tetapi yang berlaku tidak sebagaimana yang diharapkan. Seharusnya pengajian mata pelajaran seumpama ini menjadikan Bahasa Arab sebagai pengantar utama dan Bahasa Melayu hanya sebagai pemudah cara sahaja supaya dapat memastikan pelajar didedahkan dengan dialog dan komunikasi di dalam Bahasa Arab.

3. Sumber kewangan yang meruncing. Ini adalah di antara faktor utama terutamanya bagi sekolah agama rakyat seperti ini yang hanya menawarkan imbuhan yang tidak seberapa kepada kakitangan dan tenaga pengajarnya. Natijahnya tenaga pengajar yang mahir memilih untuk berkhidmat di tempat yang menawarkan imbuhan yang lumayan dan yang tiada tempat di luar sana akhirnya menjadikan sekolah agama rakyat sebagai tumpuan mereka. *** hanya segelintir bukan kesemuanya.

4. Stereotype masyarakat terhadap institut pengajian agama dan sekolah agama rakyat. Lantaran itu, masyarakat lebih menumpukan sekolah beraliran sekular untuk mendidik anak-anak mereka dan tinggallah segelintir yang tidak diterima atau bermasalah dihantar kepada SAR sehingga kadang-kadang menjadi barah yang sukar dibendung dan akhirnya menjangkiti kesemua pelajar yang lain. Inilah fenomena yang biasa berlaku di SAR, namun tiada upaya pihak pentadbiran SAR untuk menolak kehadiran golongan ini apabila ibubapa merayu dan menangis demi melihat anak-anak mereka mendapat sistem pendidikan Islam yang sempurna.

Any suggestion or comment can be shared together and warmly welcomed. Falyatafaddhal masybura.

Monday, June 12, 2006

Si Kecil Yang Setia















Wafa' Si Kecil yang sentiasa setia. Walaupun jelas kepenatan yang terpampang namun begitulah sebenarnya pentas perjuangan ini.











































Dari kanan; Zaujati, Baba, Adik Wafa', Mama and emm siapa ini agaknya ... tak ingat dah ... tapi yang pasti sahabat mama yang sekian lama terpisah hampir 15 tahun rasanya setelah berhijrah dari Sarawak Bumi Kenyalang. Muktamar menjadi medan pertemuan sahabat-sahabat seperjuangan ... tak perlu masuk jejak kasih ...

Suasana Muktamar
















Bersama bentara muktamar. Kenal tak siapa ini? Teka sendirilah. Alakullihal tahniah kepada warga KIDU yang telah menjayakan muktamar dengan sempurna. Moga penat letih kalian diberikan ganjaran yang setimpal.

Dalam penat lelah bertugas selama hampir seminggu menyiapkan dewan muktamar, memastikan para perwakilan dan sekalian yang hadir selesa dengan dewan persidangan, memastikan segala perancangan berjalan lancar dan akhirnya membersihkan kembali dewan persidangan tanpa diberi satu sen pun upah atau imbuhan, namun masih lagi bersemangat tinggi menyahut seruan Pengerusi Tetap dengan menyampaikan sumbangan peribadi para petugas bentara KIDU sebanyak RM57.00. Walaupun jumlah tidak sebegitu besar namun keikhlasan kalian hanya Allah yang tahu. Teruskan perjuangan kalian agar bakal dinobatkan sebagai pejuang dan ulama' di dalam perjuangan Islam ini.
















Para perwakilan dan pemerhati yang membanjiri dewan persidangan. Tidak termasuk lagi pemerhati yang mendengar di luar dan suasana di malam ceramah yang dipenuhi dengan para pendokong perjuangan Islam yang datang berbondong-bondong bagi menyahut seruan Jihad perjuangan ini.















Perwakilan Hulu Terengganu. Haji Muhyidin, Ustaz Hamazah, Ustaz Abidin dan dua orang yang di belakang tu ayahanda dan bonda tercinta.

Cuti-cuti Muktamar












































Saat insan-insan lain memanfaatkan musim cuti ini untuk jalan-jalan makan angin, agak sukar untuk mencuri sedikit waktu di dalam diari si dia yang tidak pernah mengenali erti cuti apatah lagi di dalam perjuangan Islam ini. Semoga setiap perjalanan yang diharungi, pengorbanan yang dicurahkan digandakan pahalanya di sisi Allah azza wa jalla.

Kesempatan yang boleh diambil adalah seumpama ini, program rehlah, program outdoor atau apa-apa program yang seumpama dengannya. Itupun masa seringkali mencemburui kekosongan yang dianugerahkan Ilahi.

D'Muktamar
















Orang pergi nak dengar perbahasan muktamar, kita pula pergi macam orang nak main bola ... mentang-mentanglah musim piala dunia ...















Perwakilan Hulu Terengganu > seorang dari Johor dan seorang lagi dari Kedah ... punya la jauh tercampak ... kalau dekat Kuala Terengganu tu boleh tahan lagi ... ini kat Hulu Terengganu ... Di mana bumi dipijak di situ Islam dijunjung.

Bersama Pengantin Baru






























Kemaafan dipohonkan sebab tak berkesempatan untuk hadir ke majlis di Kemaman. Alakullihal semoga dikurniakan kebahagiaan sehingga ke akhir hayat. Baarakallahu lakuma wa baaraka alaikuma wa jama'a bainakuma fil khair. Amien Ya Rabb.

Monday, March 27, 2006

27.03.2006

Dengan kegawatan ekonomi dan kenaikan minyak yang melanda tanahair, sudah pastilah kehidupan yang dilalui terasa sedikit sebanyak kesulitannya. Baik bagi mereka yang berpendapatan rendah mahupun yang berpendapatan tinggi. Masing-masing dengan kerenah tersendiri. Kalau ditanya pada orang pasar ... manusia yang lalu lalang cukup ramai tambahan pula di musim cuti sekolah tapi cuma sekadar memegang serta membelek barangan jualan dengan keinginan hati yang mendalam untuk membeli tetapi terpaksa dipendamkan sahaja niat dan hasrat itu lantaran kegawatan yang melanda. Biasalah dengar cerita-cerita macam ini sambil-sambil temankan Mak Mertua nak ke Pasar Payang atau on the way balik dari pasar.

Bagi mereka yang meninfaqkan diri di dalam kerja-kerja jamaah, saat-saat seumpama ini jugalah yang menduga keimanan dan kesabaran masing-masing. Terngiang-ngiang ayat surah Al Baqarah ayat 155 di dalam benak kepala masing-masing. Begitulah juga dengan mereka yang berkhidmat di bawah jamaah yang hanya menerima upah yang tidak seberapa. Guru-guru yang mengajar di sekolah DAR, baik di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah, pensyarah-pensyarah yang mengajar di Kuliah dan yang seumpama dengannya. Sudahlah imbuhan yang diterima tidak seberapa, tanggungjawab sosial yang banyak untuk dilaksanakan yang mana menuntut pengorbanan bukan sahaja jiwa dan tenaga bahkan juga material.

Namun Alhamdulillah walaupun betapa susah kehidupan yang dilalui, rezeki Allah tidak pernah putus-putus melimpah samada yang turun daripada langit mahupun yang keluar daripada bumi atau dari mana-mana sumber yang Allah jadikan ianya sebab pemberi rezeki.

Sebagai contoh apabila penulis membaca blog Al Fadhil Ustaz Nasaruddin, perasaan kagum diiringi dengan linangan air mata melihatkan perjuangan, pengorbanan serta keikhlasan yang ditaburkan demi perjuangan Islam. Bukan sekadar dia seorang sahaja bahkan ramai lagi mereka yang sejiwa dan senada dengan beliau.

Al Fadhil Tuan Guru Haji Hadi dan Al Fadhil Tuan Guru Haji Harun Taib yang telah sekian lama bersama dengan perjuangan Islam secara sepenuh masa. Kisah mereka juga hampir sama dengan kisah Ustaz Nasaruddin Tantawi bahkan mereka lebih lagi merasai kepahitan dan kemanisan perjuangan ini.

Teringat juga penulis dengan ayahanda yang telah pun sekian lama resign dari Kementerian Pendidikan semata-mata untuk bersama-sama dengan perjuangan Islam ini. Kisah yang hampir sama cuma watak, masa dan ketika sahaja yang berbeza. Sanggup meninggalkan jawatan yang menjanjikan habuan lumayan yang pastinya dapat memenuhi kehendak dan keperluan keluarga dengan secukupnya berbanding berkhidmat dan bersama dengan perjuangan Islam yang tidak menjanjikan sebarang habuan duniawi. 'Baba' dalam bahasa manjanya pernah ditawarkan untuk berkhidmat di luar negara namun tawaran itu ditolak kerana memilih bersama perjuangan Islam.

Saban hari bertemu dengan 'Amilien' di dalam gerakan Islam ini, semakin bertambah rasa taajub dan kagum dengan kehadiran mereka yang sanggup berkorban segala apa demi perjuangan Islam. Yang kaya menghulurkan hartanya, yang berilmu mencurahkan bakti menabur ilmu, yang punya kemahiran berusaha memantapkan perjuangan ini dengan setiap pengalaman yang ada biarpun tawaran di luar sana sedia dan seringkali memanggil-manggil.

Yang menyedihkan hanyalah apabila kritikan yang diutarakan terhadap golongan yang bergelar Ustaz mahupun Ustazah yang dipersoalkan ke manakah menghilangnya mereka. Memang benar tiada bangunan yang dibina, tiada wang yang ditaburkan, tiada segalanya tiada ... tetapi merekalah yang telah berkhidmat dari bawah demi mendokong perjuangan Islam menyedarkan masyarakat serta mengajak masyarakat supaya kembali kepada Islam yang sebenar. Namun bilakah kesan serta hasilnya boleh kelihatan ??? Hanya Allah sahajalah yang boleh mendedahkannya.

Baru-baru ini penulis mendengar desas-desus yang seakan-akan merisik diri ini supaya berkhidmat sepenuh masa di Pejabat Perhubungan Negeri, namun sampai ke saat ini masih tiada lagi lamaran yang diterima. Andainya benar ... sanggupkah lamaran itu diterima dengan segulung ijazah di tangan tetapi tawaran yang datang tidak seberapa. Moga-moga Allah memperkuatkan keimanan dan kesabaran diri ini ... Amien

Sunday, March 26, 2006

Imtihan

Sabda Rasulullah saw: Sungguh ajaib orang yang beriman, setiap sesuatu yang berlaku ke atasnya adalah baik baginya. Jika sekiranya dikurniakan kebahagiaan dianya bersyukur, maka ianya adalah suatu kebaikan baginya dan jika jika sekiranya ditimpa mala pelataka dianya bersabar, maka ianya adalah suatu kebaikan baginya. Riwayat Muslim

Hadith ini memberi pengertian yang sungguh bermakna buat diri ini. Bersabar di saat kemurungan atau kedurjanaan dan bersyukur di saat kebahagiaan. Bila diimbau kehidupan kita kembali, sudah terlalu banyak kesenangan dan kemewahan yang Allah taala anugerahkan kepada kita tetapi kadang-kadang cuma sekelumit lafaz Alhamdulillah sahaja yang diungkapkan ... itupun hanyalah sekadar lafaz yang diluahkan bersama dengan bacaan Al Fatihah atau surah-surah yang lain atau di dalam muqaddimah doa semata-mata tanpa menusuk ke dalam jiwa dan sanubari ini. Bukan itu sahaja, kehidupan seharian yang berlalu sunyi dan sepi dari zikrullah bahkan kadang-kadang melangkah lebih jauh dengan mengingkari arahan dan larangan-Nya azza wa jalla. Sesekali timbul persoalan layakkah diri ini mengutip janji-janji Tuhan yang disemadikan samada dengan perantaraan Al Quran mahupun Sunnah Baginda saw tentang keindahan syurga dan kenikmatan di dalamnya.

Sudah tentulah kita merasa cukup kerdil dan hina untuk menerima anugerah yang sebegitu besar. Benar kita mengharapkan syurga Ilahi, mengimpikan agar dihindarkan dari azab seksa-Nya, tetapi dengan kesibukan kehidupan di dunia dan kealpaan yang lahir telah menghilangkan ketakutan kita terhadap janji-janji Rabbul Izzati ini.

Ya Allah Ya Tuhanku, kalau suatu ketika dulu ada di kalangan para sahabat yang mengeluh kerana bimbangkan tentang ketulusan iman mereka ... bahkan mereka takut dan bimbang andai kata keimanan mereka tercela dengan sifat-sifat munafik lantaran sedikit kealpaan yang lahir lantaran daripada kesibukan dunia. Apatah lagi hambamu ini yang sudah jauh berada di zaman yang boleh disifatkan sebagai zaman mutakhir. Kenapa tidak ada sedikitpun perasaan gentar dan takut di dalam diri ini. Kalau ada pun ianya hanyalah seketika cuma ...

Ya Allah Ya Tuhanku, diri ini sedar bahawa diri ini masih lagi belum bersyukur pada-Mu Ya Allah. Kesyukuran itu lahir hanyalah seketika dan di lidah semata-mata Ya Allah. Campakkanlah secebis ketakutan di dalam diri ini Ya Allah.


Monday, January 16, 2006

Panorama


Hafizil Adha, 7 hari ... Untuk tatapan Pok Su dan Ayah Teh yang tak berkesempatan nak balik ke Kg Baru, Serada.


D Grand City Hotel, Brunei Darussalam


D Kedah Darul Aman lah pulak ... Seorang lagi miss, Long kat Mesir. Balik cepat2 sikit duduk apa lama2 kat sana.

Panorama


Penternak muda, nampak je kecil macam tu tapi berapa ekor arnab dah yang jadi mangsa korban, tak kurang yang orang ambil buat baka/beli.


Akmal, Azam, Uda, Angah & Syuaib ... nampak macam graf menurun ... tak gitu ... sorrylah Syuaib tak bermaksud yang kanan tu terendah sekali.


D Kemaman, hantar Kak Long ke Darul Falah. Tengok siapa sedih lagi Ceq ke Kak Ros... Hai jadi orang Kemamanlah lepas ini.

Hero, heroin dan Serada's new born


Keluarga2 D' Serada




D' airport & D' Serada


Di Johor

Di Kedah



16.01.2006

BID'AH

Baru-baru ini ada sembang-sembang bab Bid'ah. Ada ke istilah Bid'ah Hasanah dan Bid'ah Sayyiah ini? Ringkasnya, bid'ah ini cukup bahaya dan penggertiannya juga kadang-kadang mengelirukan kita. Samada pendirian yang hendak diambil itu bersifat jitu, pertengahan atau sebagainya bolehlah difikirkan bersama.

Bid'ah adalah suatu perkara yang baru yang diada-adakan di dalam ugama samada di dalam masalah Aqidah ataupun Syariah yang mana tidak mempunyai nas samada daripada Al Quran mahupun Sunnah.

Bid'ah boleh merosakkan aqidah sebagaimana yang dinyatakan Sheikh Yusuf Qardhawi di dalam sebuah bukunya yang memfokuskan masalah ini. Bukannya buku besar pun setengah jam baca insya Allah habis. Antara bahaya yang dinyatakan adalah:

1. Pencetus sesuatu amalan bid'ah ini terdedah kepada bahaya kerosakan aqidah lantaran tindakannya itu merupakan tohmahan kepada Islam yang dianggap tidak sempurna dan amalan itu adalah sebagai suatu proses penyempurnaan syariat Islam ini.

2. Penggubal serta pencipta Syariat Islam ini adalah Allah swt dan amalan bid'ah ini seolah-olah meletakkan martamat pencetusnya atau pengamalnya setaraf dengan martabat Tuhan yang sememangnya tidak layak bagi mereka untuk bersekutu dengan Allah swt dalam menentukan perundangan Islam ini.

3. Ianya juga suatu tohmahan kepada Baginda saw kerana amalan itu secara tidak langsung mempertikaikan Baginda saw kerana tidak menyempurnakan amanah kenabian yang telah dianugerahkan oleh Allah swt dan lalai dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai utusan Allah.

4. Menyebabkan umat Islam lalai dan fahaman mereka kabur terhadap ajaran Islam yang sebenar lantaran kebanyakan amalan Bid'ah bersifat taqarrub kepada Allah swt.

5. Menambahkan kesulitan di dalam mempraktikkan Islam sedangkan Islam itu mudah dan senang untuk diamalkan.

RENUNG SEJENAK ...
Adakah ada anasir-anasir bid'ah dalam kehidupan kita seharian? Jika ada, renungilah bahaya-bahaya yang tercatat di atas.



Saturday, January 14, 2006

14.01.2006

Hari ini dah masuk 14hb dah dan diri ini masih lagi berada di tanahair dengan pelbagai tanggungjawab yang masih belum dapat disempurnakan. Pengajian yang masih entah tak tahu di mana permulaan serta penghujungnya, perniagaan yang alhamduliLlah bertambah maju tapi timbul pula suatu masalah yang memang dah diduga ... siapakah yang boleh diamanahkan untuk 'take over' buat sementara waktu, hutang-hutang yang perlu dilangsaikan sebelum nyawa sampai ke halkum dan pelbagai tanggungjawab lain samada sebagai seorang anak, suami, saudara dll.

Sepatutnya 1hb yang lepas bersempena dengan hari pertama dalam tahun baru pengajian MA di Lampeter bermula tapi almaklumlah bukannya semua mimpi dan cita-cita itu mampu menjadi sebuah realiti. InsyaaLlah tiada aral melintang tak di sana di sini pun ada peluang untuk menyambung pengajian.

Setelah sekian lama menyepi dari dunia pengajian, terasa juga rindu dengan suasana serta kenangan-kenangan suatu ketika dahulu semasa bergelar seorang pelajar. Namun begitulah putaran hidup manusia, ketika saat itu datang ianya dipersiakan begitu sahaja dan tidak dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Akhirnya bila saat itu berlalu barulah menyesal dan mengharapkan saat itu kembali. Bukankah Tuhan telahpun banyak mengungkapkan cerita golongan-golongan yang menyesal di hari kebangkitan ... As Sajdah 13, An Naba' 40

Cukup dulu kot untuk malam ini ada lagi nak tulis tapi masa tak mengizinkan ...

Ilal Liqaa' ...

Sunday, January 08, 2006

Roda-roda kehidupan

Alhamdulillah, puji dan syukur hanyalah layak buat-Nya semata-mata kerana mengizinkan kita untuk bermukim di permukiman sementara ini demi meneruskan kehidupan yang telah diamanahkan. Selawat dan salam buat junjungan Baginda saw yang telah meninggalkan cahaya serta petunjuk buat umatnya ini.

Setelah hari demi hari berlalu dan tahun baru baru sahaja berlalu. Walaupun ianya bukanlah tahun baru di dalam kalendar umat Islam tapi apalah salahnya kalau hari-hari yang berlalu itu kita jadikan sebaik kayu ukur kehidupan kita. Bermulanya tahun baru bererti bertambahlah usia kita dan semakin hampirlah kita dengan kematian yang entah bila tidak diketahui kehadirannya.

Kelmarin, sebuah email datang mengusik kenangan silam di dalam memori ini. Walaupun ianya datang dari seorang kawan perempuan yang sudah sekian lama tidak bertemu bahkan mungkin tidak mampu untuk dicam raut mukanya jika bertemu tetapi sebuah email itu cukup untuk mengimbau kisah silam. Kenangan ketika di Sek Keb Simpang Taiping Perak ...

Kedatangan email itu dengan membawa berita perjumpaan dengan sahabat-sahabat lama suatu ketika dulu cukup memberikan ketenangan bagi diri ini. Bila sahaja nama-nama itu disebut, ianya kembali segar di dalam ingatan walaupun pada hakikatnya ia semakin hilang dimamah usia. Faizal, Syed, Iqbal antara nama yang disebut ... Mungkin wajah-wajah mereka suatu ketika dahulu boleh diimbau kembali tetapi bagaimana pula rupa paras mereka sekarang ini. Setelah hampir lebih satu dekad, masing-masing dengan haluan masing-masing yang pastinya mengejar kecemerlangan dalam kehidupan demi mencorak masa depan. Mana perginya Nordin Syafei dan seorang lagi ... aaahhh macamana boleh diri ini melupai nama-nama itu.

Tak dinafikan antara rakan-rakan yang boleh diri ini kategorikan sebagai rakan karib di dalam kehidupan ini adalah rakan-rakan di Simpang Taiping. Walaupun masa yang dilalui bersama hanyalah 3 tahun tapi di situlah dapat diriku rasai kemanisan persahabatan yang tidak dapat dirasai di tempat-tempat yang lain. Mungkin taqdir yang telah menentukan diri ini hidup berpindah randah adalah untuk mengajarkan kepada diriku ragam serta kerenah manusia yang berbilang citarasa.

Terasa juga RINDU di dalam diri ini untuk bertemu dengan kalian semua tetapi apakan daya, persempadanan geografi ini terlalu luas dan masing-masing sibuk dengan kehidupan masing-masing. Walaubagaimanapun andaikata kalian terbaca coretan ini, ingatkanlah daku di dalam doa kalian semua. Moga kita dipertemukan jua jika tidak di dunia ini di akhirat kelak.

Teringat kembali kisah ketika sama-sama menjadi pengawas dahulu, kenangan ketika belajar bersama-sama, pengalaman berbasikal bersama-sama, pengalaman setahun tak bermain bola lantaran kejahilan diri ini tentang permainan itu ... apa tidaknya kali pertama main bola ketika darjah 2 tak tahu nak buat macamana bila dapat bola ... sepak ke penjaga gol, dia pulak buat tak tahu pulak ... apa lagi terus bola masuk dalam gawang. Terus kawan-kawan marah dan diri ini hanya memerhatikan daripada tepi padang sahaja selepas daripada itu selama setahun untuk mendalami permainan bola sepak yang baru dikenali itu. Di Kuching dulu boleh main bola keranjang sahaja sebab padang bola sekolah tak ada. Adanya yang itu sahaja.

Tidak dinafikan zaman kanak-kanak adalah merupakan zaman yang paling indah di dalam kehidupan. Suatu marhalah yang bebas daripada taklif serta bebanan dosa dan pahala jika dibandingkan dengan kehidupan di zaman dewasa ini yang dipenuhi dengan godaan dan cubaan yang mampu menjadikan diri ini malu untuk berhadapan dengan Rabbul Izzati. Terasa sebentar sahaja kehidupan ini berlalu. Entahlah bersediakah atau tidak diri ini berdepan dengan kematian. Yang pastinya kalaulah dengan amalan-amalan yang sedia ada ini, rasanya jauh sangatlah diri ini dengan Jannatul Firdaus yang dijanjikan ... hanya mengharapkan Rahmat dan limpah kurnia dari Rabbul Izzati semata-mata.

Ya Allah, pertemukanlah kami kembali jika tidak di dunia ini di akhirat kelak di kalangan hamba-hamba yang taat setia kepada-Mu ... Amien. Moga kalian semua masih lagi rakan-rakan yang kukenali suatu ketika dulu. Insya Allah ...