Wednesday, January 24, 2007

Jagalah Dirimu Dari Belenggu Riba

Membaca sebuah buku bertajuk موسوعة القضايا الفقهية المعاصرة والإقتصاد الإسلامى (أ. د. على أدحمد السالوس) mendedahkan pelbagai isu berhubung kewangan Islam yang sentiasa mencetuskan prasangka dan tanda tanya di dalam benak fikiran saya. Walaupun buku itu masih belum dihadamkan secara keseluruhannya tetapi saya merasa terpanggil untuk berkongsi beberapa mutiara ilmu yang termaktub di dalamnya.

Penulis buku memulakan perbicaraan dengan uslub yang cukup menarik dan memancing kita untuk menghabiskan pembacaan keseluruhan bukunya itu. Bermula dengan bacaan ayat Al Quran daripada surah Al Baqarah ayat 275- 281 yang menceritakan tentang pengharaman riba seterusnya pengisytiharan perang daripada Allah swt dan juga Rasul-Nya saw terhadap golongan yang beramal dengan amalan riba ini.

Bahkan ayat-ayat Al Quran ini disusuli dengan hadith-hadith Nabi saw yang terbukti kesahihannya antaranya adalah hadith yang diriwayatkan daripada Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan An Nasaei daripada Abu Hurairah ra yang meriwayatkan daripada Nabi saw, sabda-nya:

إجتنبوا السبع الموبقات، قالوا يا رسول الله، وما هن؟ قال : الشرك بالله والسحر وقتل النفس التى حرم الله إلا بالحق وأكل الربا وأكل مال اليتيم والتوالى يوم الزحف وقذف المحصنات الغافلات المؤمنات.

“Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Para sahabat bertanya : Apakah tujuh perkara itu Ya Rasulullah? Jawab Rasulullah saw: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, makan harta Riba, makan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh perempuan baik, terjaga dan beriman.”

Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Jabir Bin Abdillah r. anhuma bersabda Nabi saw:

لعن النبي آكل الربا وموكله وكاتبه وشاهديه وقال: هم سواء.

“Nabi saw melaknat pemakan riba, orang yang memberi makan riba, penulis dan kedua saksinya dan berkata: mereka semua itu serupa”

Imam Ahmad dan At Thabaraani meriwayatkan daripada Abdillah Bin Hanzalah (sahabat yang dimandikan oleh para malaikat) r. anhuma bersabda Nabi saw:

درهم ربا يأكله الرجل وهو يعلم أشد من ست وثلاثين زنية.

“Satu dirham riba yang dimakan oleh seseorang sedangkan dianya mengetahui akan pengharamannya lebih dahsyat daripada berzina sebanyak 36 kali.”

Ibnu Abbas r. anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersadda:

إذا ظهر الزنى والربا في قرية فقد أحلوا بأنفسهم عذاب الله.

“Apabila lahirnya zina dan riba di dalam sesuatu perkampungan, maka mereka telahpun membenarkan terhadap diri mereka azab dan seksaan Allah swt.” Diriwayatkan oleh Al hakim dengan menyatakan bahawa sanadnya sahih.

At Thabaraani meriwayatkan daripada Ibni Mas’ud bahawa Rasulullah saw bersabda:

بين يدي الساعة يظهر الربا والزنى والخمر.

“Ketika hampirnya saat kiamat, maka akan berleluasalah riba, zina dan khamar (arak).”

Keseluruhan ayat dan hadith ini yang merupakan dua sumber utama syariat Islam yang suci murni ini menceritakan tentang betapa besarnya dosa orang yang beramal dengan riba dan azab yang dijanjikan oleh Allah swt dan juga Rasul-Nya saw terhadap golongan yang terlibat dalam amalan riba ini sedangkan kehidupan kita di zaman mutakhir ini dipenuhi dengan fitnah seumpama ini.

Adakah tidak mencukupi dengan kedua-dua sumber yang suci murni ini untuk meyakinkan kita supaya kembali kepada syariat Islam yang seringkali disifatkan sebagai syumul (comprehensive), murunah (fleksibel), ‘alamiah (global) dan pelbagai sifat kesempurnaan yang lain. Nabi saw bukan sahaja diturunkan ke dunia ini sebagai utusan Allah swt kepada bangsa Arab sebaliknya merangkumi sekalian umat manusia.

Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah swt kerana di dalam tanahair kita masyarakat sudah menyedari akan kepentingan wujudnya institusi perbankan Islam demi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat Islam.

Walaubagaimanapun adakah ianya mencukupi dengan mewujudkan sistem perbankan Islam sedangkan di suatu sudut yang lain kita masih beramal dengan sistem perbankan konventional yang semestinya bertentangan dengan konsep dan maqasied perbankan Islam itu sendiri. Bukankah nas-nas yang dibacakan sebentar tadi menekankan agar amalan riba itu dibersihkan daripada kehidupan seharian kita. Tidakkah kita menyedari dengan adanya amalan riba di dalam masyarakat kita, kita mendedahkan diri terhadap kemurkaan Allah swt dan sekaligus mengundang bala bencana daripada-Nya.

Adakah Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw itu masih tidak sempurna sehingga kita sanggup mencari suatu inisiatif baru di dalam menangani isu-isu terkini ataupun Islam Hadhari yang dilaung-laungkan mempunyai manhaj yang tersendiri dalam menangani permasalahan ini.

Kita seharusnya meluahkan kebimbangan kita dengan kewujudan dua sistem perbankan yang satunya suci murni sedangkan di satu pihak yang lain hanyalah merupakan suatu ideologi cetusan manusia biasa. Bayangkan saudara-saudari sekalian, apabila saudara/ri hendak menunaikan solat di dalam keadaan tubuh yang sudah suci bersih baik daripada hadas kecil mahupun besar, berwudhu’, berpakaian yang menutup aurat dan suci daripada segala bentuk najis, tiba-tiba terkena setitik air najis apatah lagi kalau najis itu adalah najis daripada binatang seperti anjing ataupun khinzir ... adakah saudara/ri akan meneruskan niat untuk menunaikan solat atau sebaliknya membersihkan diri terlebih dahulu. Maka begitu jugalah dengan kehidupan kita seharian.

Bahkan kita juga menyatakan kekhuatiran kita apabila sistem perbankan Islam itu diterajui oleh golongan yang mempunyai kepentingan duniawi tersendiri sehingga sanggup menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal sehingga semua yang memberikan kepercayaan sepenuhnya terhadap sistem yang dinamakan perbankan Islam itu tercalit walaupun sedikit dengan najis-najis riba yang kita sentiasa berdoa agar terhindar daripadanya.

Saya sendiri seringkali dibelenggu oleh perasaan takut dan syak wasangka dengan sistem perbankan Islam yang diwar-warkan kerana dikhuatiri segala janji yang diwar-warkan itu hanyalah sebagai suatu retorik demi menarik minat umat Islam terhadap konsep perbankan yang ditawarkan.

Antaranya sistem pembelian secara: Bai’ Bithaman Ajil (Jualan Pembayaran Tertunda), Ijarah Thumma Al Bai’ (Sewa Beli), Bai’ al-Inah (Persetujuan Jual dan Beli Balik) yang dibimbangi sekadar terminologi yang diguna pakai demi mengaburi pandangan mata kasar umat Islam. Antara contohnya lagi adalah sistem Takaful yang saya sendiri membuat pelaburan secara bulanan setelah diperkenalkan oleh wakil syarikat. Namun apa yang membimbangi saya adalah apabila beberapa kajian dilakukan oleh beberapa pihak yang mempunyai kepakaran di dalam bidang ini menyatakan keseluruhan sistem takaful yang dilaksanakan adalah sah dan benar-benar mengikut kehendak Islam tetapi masih mempunyai kelemahan yang menyebabkan segala sistem yang diperkenalkan itu tercemar apabila ianya di re-insurance kembali kepada syarikat insuran yang tidak Islam.

Fikirkanlah saudara-saudari, bilakah saatnya kita dapat mengecapi nikmat sistem kewangan Islam yang sebenar selagi mana kita masih lagi berenang dan menyelam di dalam lautan yang bercampur di antara air yang suci bersih dan najis yang menjijikkan.



Saturday, September 30, 2006

Hadith Fadhilat Ramadhan

Sebaik sahaja tirai Ramadhan berlabuh, setiap umat Islam akan sentiasa berpesan di antara satu sama lain akan kelebihan bulan yang penuh keberkatan ini. Namun perlulah diingatkan akan hadith serta amaran Rasulullah saw ketika mana Baginda bersabda:

Barangsiapa yang mendustakan aku, maka nantikanlah tempatnya di dalam neraka jahannam

Riwayat Imam Ahmad

Antara hadith-hadith sahih yang menceritakan kelebihan bulan ini adalah:

Barangsiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.

Riwayat Bukhari dan Muslim

Apabila tibanya Ramadhan, terbukalah segenap pintu syurga, tertutup rapatlah segala pintu neraka dan syaitan dibelenggu kesemuanya.”

Riwayat Bukhari dan Muslim

Solat fardhu lima waktu, Jumaat ke Jumaat berikutnya dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah merupakan penghapus dosa bagi dosa yang berada di antara keduanya selagimana seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar.”

Riwayat Muslim

Manakala hadith-hadith yang menceritakan fadhilat dan kelebihan sunat terawih secara terperinci daripada malam pertama sehinggalah malam terakhir dan fadhilat-fadhilat yang lain yang tidak diketahui kesahihannya adalah dikhuatiri bukan merupakan mutiara kata yang keluar dari bibir Nabi Muhammad saw yang kita kasihi selama ini bahkan ianya termasuk di dalam hadith Dhaif dan Maudhu’.

Maka sayugianya disarankan agar kita tidak memanjangkan hadith-hadith yang seumpama ini kerana ianya adalah suatu perbuatan fitnah ke atas junjungan besar nabi Muhammad saw. Tidak dinafikan bahawa di dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini terdapat pelbagai kelebihan ... namun berpadalah dengan fadhilat dan kelebihan yang hanya telah dijanjikan oleh Allah swt dan Nabi Muhammad saw sahaja tanpa perlu kita mengada-adakan, mereka-reka mahupun memanjangkan hadith yang mempunyai anasir penipuan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad saw yang kita kasihi.

Sepanjang penelitian penulis, hadith kelebihan sunat Terawih yang dikatakan diambil daripada Saidina Ali Bin Abi Talib daripada Rasulullah saw ini tidak pernah termaktub di dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim yang merupakan kitab Hadith yang paling sahih selepas Al Quran, begitu juga ianya tidak termaktub di dalam Kutubus Sittah (kitab hadis yang enam): Bukhari, Muslim, At Tirmidzi, Abu Daud, An Nasa'ie dan Sunan Ibn Majah.

 

Begitu juga dengan perbalahan dan perselisihan yang berlaku dalam menentukan rakaat sunat Terawih sehinggalah mencetuskan fitnah yang tidak seharusnya berlaku hanya kerana amalan sunat ini semata-mata sedangkan perpaduan dan kesatuan itu adalah merupakan kewajipan yang tiada khilafnya lagi. Barangsiapa yang berpendapat sunat Terawih itu 8 rakaat maka dia mengikuti sunnah yang telah diwariskan oleh Baginda saw sendiri sedangkan yang menyatakan 20 adalah berpandukan kepada amalan Saidina Umar Al Khattab salah seorang sahabat Baginda saw yang dijanjikan Syurga oleh Allah swt dan yang pastinya kedua-dua amalan ini adalah benar dan tepat di dalam ajaran Islam.

Tidakkah kita hairan, mengapa perlu bertelingkah di dalam permasalahan ini sedangkan sunat Rawatib (sunat yang mengiringi solat fardhu) itu adalah berkali ganda lebih afdal daripada sunat Terawih. Sedangkan apa yang berlaku adalah kita berebut-rebut untuk mengerjakan sunat Terawih tetapi meninggalkan sunat Rawatib yang kelebihannya adalah lebih banyak daripada sunat Terawih.

Monday, August 07, 2006

Keliru

Kadang-kadang kita merasa keliru dan tersenyum sendiri apabila melitah telatah manusia yang pelbagai. Semalam di TV9 tepat pukul 9.00 malam membicarakan tentang permasalahan aurat di dalam siri agamanya Halaqah... satu topik yang sudah pastinya tidak mampu dikupas dalam secubit masa yang dianugerahkan itu.

Alhamdulillah ahli panel yang dijemput pada malam itu tidak tersipu-sipu menyatakan kebenaran yang sebenar dengan menjelaskan sejelas-jelasnya batasan aurat di dalam Islam. Permasalahan yang seringkali ditimbulkan seperti menutup aurat atau bertudung tapi masih melakukan maksiat atau ditimpa mala petaka seperti dirogol, dicabul dan seumpamanya, menutup aurat tetapi tidak ikhlas juga diketengahkan bahkan ahli panel menegaskan bahawa permasalahan aurat ada perintah Allah swt yang telah disepakati ulama akan kewajipan memeliharanya dan tidak harus seseorang yang bergelar muslim mempertikaikan permasalahan ini. Islam itu merupakan suatu syariat Allah yang sempurna diturunkan demi menjaga kemaslahatan umat manusia sejagat tetapi yang menjadi permasalahannya apabila syariat itu tidak diamalkan dengan sebaiknya dalam erti kata yang lain, separuhnya diamalkan sedangkan sebahagian yang lain diabaikan.

Ustaz Wan Sohor Bani Leman selaku pengerusi forum membawa sebuah buku ensiklopedia fiqh islam karangan Dr. Abdul Karim Zaidan, al mufassal fi ahkam al mar'ah ... lalu membentangkan 5 syarat utama dalam berpakaian selagi mana seseorang itu mengaku muslim tidak kira kerjaya apa sekalipun yang disandang:

1. pakaian mestilah meliputi seluruh tubuh wanita kecuali tangan dan muka sahaja di samping beberapa pendapat yang memberikan kelonggaran terhadap tapak kaki disebabkan 'illah-'illah tertentu.
2. pakaian mestilah longgar (tidak menampakkan susuk tubuh)
3. pakaian tidak nipis dan jarang
4. pakaian tidak bermotifkan kemegahan
5. pakaian tidak menyerupai kaum lelaki dan begitulah sebaliknya.

Pada waktu yang sama saluran TV1 memaparkan Siaran Langsung Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa kali ke 48 di PWTC sedangkan di saluran TV3 sedang rancak dengan persembahan Konsert Karnival Jom Heboh di Kuantan yang sudah pastinya artis yang terlibat di dalam persembahan itu akan tampil dengan salah satu ciri pakaian yang dihuraikan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan di atas yang ditegah oleh Islam itu sendiri.

Media pada ketika ini sedang cuba bergerak maju setapak ke hadapan dengan memperbanyakkan program secara on-line terutamanya yang berbentuk forum, diskusi atau yang seumpama dengannya yang sekaligus memberi ruang kepada rakyat meluahkan suara hati mereka.

Dalam beberapa bulan yang lepas, seorang artis bernama **** kelu di hadapan ribuan penonton rancangan 'Fenomena Seni' apabila seorang pemanggil membidas bahawa pemakaian tudung dan aurat adalah arahan Allah dan tidak layak untuk seseorang muslim mempertikaikan kewajipan itu.

Bacalah luahan hati artis ini apabila menyatakan:

**** sebagai pelakon bukan kerana bakatnya semata-mata, sebaliknya sokongan fizikal badannya yang seksi. Pun begitu, **** tidak ambil pusing kerana yang penting dia hanya mencari rezeki yang halal. Pandang boleh tetapi jangan pegang, kata **** .

**** suka bergaya, **** suka ikut trend. Sebagai manusia biasa, **** nak merasa. Mungkin apabila tiba masanya nanti, rasa nak bertudung, **** pakai tudung. Nanti kalau **** dah tua kerepot, baru nak pakai seksi, dah tak ada makna. Pun begitu, penampilan **** , agak seksi, bukanlah seksi sangat sehingga terkeluar ‘benda-benda’ yang tak sepatutnya.

Tak salah kalau kita nak pakai seksi asal saja kita buat perkara yang baik.
Maknanya, tak guna kalau kita mengenakan imej bertutup kepala, tapi kerjanya bohsia, pelacur!

Kita boleh pakai seksi, tapi jangan terkejut, orang yang pakai seksi itu, rupa-rupanya tak pernah tinggal sembahyang!

klik di sini utk kenyataan di beritaharian


Hari ini pulak di dalam WHI saluran TV3, bercerita tentang kemerdekaan wanita yang antara ahli panelnya adalah pegawai perundangan SIS. Dalam kesibukan mereka bercakap tentang hak-hak wanita Islam tetapi Masha Allah rambut ahli panel pegawai perundangan Sisters In Islam terlupa nak ditutup dengan secebis kain.

Antara permasalahan yang dibangkitkan adalah kejahilan wanita tentang hak-hak yang dianugerahkan kepada mereka. Entahlah apa perasaan manusia ini bila berjuang menegakkan benang basah ... tapi alhamduliLlah sebab ada juga pemanggil yang mengkritik bahawa bukannya salah masyarakat baik lelaki mahupun wanita sahaja yang jahil, tetapi semua krisis dan permasalahan yang melanda disebabkan perundangan Islam itu tidak dijalankan dengan sepenuhnya. Barulah perasan yang ahli panel dari SIS itu tersenyum simpul macam kerang busuk depan kamera tv.

Bacalah artikel di bawah ini dan renungilah dengan iman yang mendalam ...

http://www.sistersinislam.org.my/lte/10112005.htm

Wassalam

Sunday, July 02, 2006

ISLAM HADHARI

Antara prinsip-prinsip Islam Hadhari yang paling utama adalah Keimanan & ketaqwaan kepada Allah swt.

Apakah Iman dan apakah Taqwa yang sebenarnya. Marilah sama-sama kita renunginya buat seketika.

Iman di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah adalah membenarkan dengan hati, mengiqrarkan dengan lisan dan mengamalkan dengan anggota badan. Pendapat ini juga disokong oleh para sahabat seperti Ali Bin Abi Talib, Aishah r. anhum, Imam Syafei, Imam Ghazali
rahimahumullah.

Tanpa tiga anasir ini, maka kesempurnaan Iman itu tidak akan dapat dicapai.
Sepertimana yang telah sekian lama diperbincangkan oleh para ulama' tauhid yang mengklasifikasikan tauhid kepada 3 kategori iaitu:
1. Uluhiyyah
2. Rububiyyah
3. Al Asma was Sifaat

Golongan yang beriman dengan ketiga-tiga kategori tauhid ini sahajalah yang boleh disifatkan sebagai mukmin yang sebenar. Bertitik tolak dari pentafsiran Iman ini jugalah yang telah menyebabkan golongan Murjiah telah melencong jauh dari aqidah yang sebenar apabila mendefinisikan Iman itu hanya kepada 2 unsur sahaja iaitu
membenarkan dengan hati dan mengiqrarkan dengan lisan yang mana telah merebak dan meresap ke dalam kebanyakan fahaman orang Islam di zaman mutakhir ini.


Antara contoh ketara yang perlu diketengahkan supaya disedari bahawa fahaman yang seumpama ini boleh merosakkan aqidah seperti pendedahan aurat, pengabaian solat fardhu, perlakuan sumbang, penglibatan seseorang di dalam kancah dosa besar seperti judi, arak, zina, rasuah adalah isu peribadi dan tidak melambangkan keimanan yang sebenar atau seumpamanya.

Ramai manusia di zaman mutakhir ini baik ahli politik, pemimpin negara, ahli perniagaan, golongan pendidik, masyarakat, ibubapa, remaja dan seumpamanya mengambil ringan masalah dosa baik dosa kecil mahupun dosa besar bahkan memandang rendah permasalahan ini serta menganggap ianya sebagai suatu fahaman yang mengheret manusia kembali ke zaman primitif atau seumpama dengannya.

Lantaran itu lahirlah masyarakat yang dikaitkan dengan keruntuhan akhlak, gejala sosial, isu rogol, cabul, sumbang mahram, khalwat, zina, makan rasuah, penyelewengan dan seumpamanya yang bakal merosakkan generasi pelapis pada masa akan datang.

Kesemuanya menyumbang ke arah kerosakan generasi manusia bilamana pemakanan mereka datang dari sumber yang haram sekaligus menghilangkan keberkatan kehidupan, keturunan dan zuriat yang telah ternoda, kehidupan seharian yang sedikit sebanyak akan tercemar dengan dosa dan noda, keimanan yang luntur dimamah maksiat dan seumpamanya.

Tidakkah kita pernah mendengar kata-kata salafus soleh yang menyatakan bahawa maksiat itu merupakan perantaraan kufur dan kufur itu merupakan perantaraan neraka ... wal iyazabillah

Berkata lagi para salafus soleh:
Usahlah dilihat pada kecil atau besarnya dosa yang dilakukan ...
Sebaliknya lihatlah kepada siapa dosa itu dilakukan ... tidak lain tidak bukan kepada Allah swt yang merupakan Tuhan Pentadbir Alam, Tuhan Yang Maha Pemberi Nikmat, Tuhan Yang Maha Seksa Azab-Nya.
dan bukannya seperti majikan kita atau ibubapa atau raja yang kita geruni dan takuti di atas dunia ini.

Sebagai akhirnya, hayatilah definisi Taqwa ini:
At Taqwa huwa al imtithal bi awamirilLah wal ijtinab binawahieh
Taqwa itu adalah dengan menurut segala titah perintah Allah swt dan menjauhi segala larangannya.

Dalam erti kata yang lain, golongan yang masih lagi melakukan apa yang ditegah oleh Allah dan meninggalkan apa yang diperintahkan-Nya tidak akan dapat mencapai tahap Taqwa yang sebenar biarpun mereka masih lagi mendabik dada menyatakan keimanan dan keislaman mereka sebaliknya tahap mereka bolehlah dikategorikan sebagai Fasiqien iaitu golongan yang sentiasa kekal di dalam melakukan dosa kepada Allah azza wa jalla.

Marilah sama-sama kita memperkukuhkan Iman dan Taqwa kita kepada Allah azza wajalla dengan mengikuti segala arahannya dan menjauhi segala larangannya.

Tunaikanlah solat lima waktu dengan sebaiknya,
Tunaikanlah zakat kepada yang berhak,
Tunaikanlah puasa dengan sempurna,
Tunaikanlah haji apabila dianugerahkan Allah kesenangan dan kemewahan dunia,
Tutuplah aurat dengan sempurna,
Pastikan apa yang dihalalkan oleh Allah itu halal dan apa yang diharamkan oleh Allah itu dibuang sejauh-jauhnya,
Perbanyakkanlah sedekah dan infaq untuk perjuangan menegakkan ugama Allah azza wa jalla,
Serulah kepada jalan kebaikan dan tegahlah jalan kemungkaran.

Moga-moga kalian mendapat rahmat dan keampunan dari Rabbul 'Alamien

Malaysia & Democracy

Untuk paparan video, sila layari link di bawah:

http://www.malaysiakini.tv/podcast/water/water.html

Adakah lelaki ini kelihatan merbahaya sehingga diperlakukan sedemikian rupa? Adakah hanya dengan bersenjatakan sebuah buku yang berada di tangannya mampu mencetuskan suatu porak peranda ataupun huru-hara? Ataupun makhluk yang berbaju hitam dan bertopi merah itu sudah seumpama anjing lapar yang tidak mempunyai hati dan perasaan yang menjadi naluri setiap makhluk yang bernama insan. Sedarkah mereka bahawa doa orang yang dizalimi tiada satu pun yang mampu menghalangnya dari sampai kepada Rabbul Izzati, Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Perkasa, Maalikul Mulk Raja Segala Raja ...

MESRA, CEPAT & BETUL ... tema yang telah sekian lama dilaung-laungkan.


Kerajaan yang adil & amanah,
rakyat berjiwa merdeka,
pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita,
keutuhan budaya & moral ...

Inilah 10 prinsip Islam Hadhari


Andaikata ianya dilakukan oleh non-Muslim sudah pastilah kalimah La'natullahu'alaikum adalah yang paling layak buat kalian.
Insaflah ... sedarlah ... walaupun kalian terlepas di mahkamah dunia ini, nantikanlah pertuduhan kalian yang bakal dibicarakan di akhirat kelak bersaksikan tangan dan kaki yang bakal mencemuh tuannya sendiri ...


Saturday, June 24, 2006

Malaysia Kini

Democracy rank 94/149
Press Freedom Rank 113/147
Corruption Rank 31/139

For the details : http://www.worldaudit.org/democracy.htm

Setelah hampir 10 bulan berada di tanahair, bolehlah disimpulkan bahawa berlaku sedikit anjakan paradigma di dalam suasana politik tanahair. Peluang rakyat untuk bersuara sedikit sebanyak dapat diperolehi walaupun agak sukar untuk parti pembangkang bersuara lantaran tekanan dan sekatan yang bertalu-talu. Malaysia di bawah kepimpinan Pak Lah adalah lebih terbuka daripada berada di bawah kepimpinan Dr. Mahathir. Walaubagaimanapun berdasarkan ranking dan statistik yang diberikan Malaysia masih lagi mempunyai perjalanan yang terlalu jauh untuk mencapai ketelusan Demokrasi.

Ini adalah sedikit perubahan yang rasanya boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia:

1. Kebebasan media mendedah dan membongkarkan sesuatu isu seperti kelemahan PBT,realiti kehidupan masyarakat dan seumpamanya. Antara bentuk program yang boleh dibanggakan adalah:

i. Warta Berita dan Media Massa yang saban hari membongkar kelemahan PBT dan bermulalah suatu drama apabila kerajaan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, PBT berlepas tangan, Menteri menyalahkan kakitangan bawahan dan seumpamanya. Yang pasti kesemuanya dapat diatasi dengan mudah andai kata kedua-dua pihak telus dan amanah.

Walaubagaimanapun tahniah kepada pihak media di atas suatu perubahan positif ini di mana media bukanlah agen melobi kerajaan semata-mata sebaliknya sebagai pengkritik kepada kelemahan sistem pentadbiran kerajaan.

Teringat ketika menontot 'Fenomena Seni' dengan tajuk 'Benarkah Artis Malaysia Tidak Bermoral', seorang surirumah dari Kelantan menegur salah seorang ahli panel yang menyentuh tentang tudung tanpa menyedari bahawa ianya bukanlah suatu fesyen semasa tetapi sesuatu tuntutan Ilahi yang wajib dituruti melainkan jika seseorang itu terpengaruh dengan fahaman Murjiah maka mungkin dia boleh menyatakan dia tidak memakai tudung tapi mempunyai keimanan yang tinggi di dalam hati sanubarinya yang hanya diketahui oleh Allah swt sahaja.

Di United Kingdom, media memberikan seluas-luasnya ruang kepada semua parti yang bertanding untuk membentangkan manifesto mereka secara live di kaca tv dan radio tidak kira parti pemerintah atau parti pembangkang ... Malaysia bila lagi?

ii. Program Bersamamu yang sebenarnya telah menyedarkan kita bahawa terlalu banyak kemiskinan yang wujud di sekeliling kita pada hari ini kerana setelah sekian lama kita disogok dengan kemewahan dan kemajuan Malaysia dengan KLIA, KLCC, Litar Sepang dll. sedangkan segala kemewahan itu hanya boleh dikecapi oleh sesetengah golongan elit semata-mata.

** Pesanan kepada MP dan ADUN, jangan tunggu sehingga Bersamamu membongkarkan kemiskinan di tempat sendiri barulah sibuk memberikan sumbangan ...

2. Keberaniaan ahli politik dalam bersuara menentang arus budaya mengangguk dan mengiyakan pendapat pemimpin yang telah sekian lama menjadi suatu budaya yang sukar dibendung.

Tahniah kepada Shahrir Samad kerana berani dalam melakukan suatu anjakan paradigma di dalam komponen parti pemerintah. Tahniah juga kerana berani bertindak tegas di dalam mempertikaikan seorang Menteri yang rasanya satu-satu menteri yang mampu berkubur lama di dalam sesebuah kementerian.

Akhirnya, di sebalik kesemua yang dituliskan di atas kita mendoakan agar demokrasi di Malaysia dapat dibersihkan daripada segala anasir yang tidak sihat yang pernah mencemari ranking Malaysia sehingga mencecah tangga 94 daripada 149.

Walaubagaimanapun kita sendiri sedar bahawasanya pihak barat sentiasa akan memastikan bahawa demokrasi ini tidak akan menjadi suatu kenyataan melainkan suatu retorik semata-mata kerana kebangkitan Islam adalah merupakan suatu ancaman bagi mereka. Lihatlah apa yang berlaku di Palestin apabila demokrasi menjadi agenda utama ... Islam tetap mendapat tempat di dalam lubuk sanubari manusia yang diciptakan Allah swt.

Sejarah Sebenarnya Berulang

Sejarah sebenarnya berulang tidak kira di pelusuk dunia mana kita berada cuma yang berubahnya adalah individu pemegang watak sahaja.

Sebagai contoh: percubaan Iblis menghasut Adam a.s. menggunakan perantaraan Hawa, perselisihan di antara Qabil dan Habil yang berpunca dari perasaan dengki dan irihati, pengkhianatan dan tentangan keluarga seperti yang berlaku pada isteri Nabi Luth a.s. Nabi Ibrahim a.s dan ayahnya, pertembungan di antara hak dan batil yang dialami oleh para Anbiya' dan Mursalien dan seumpamanya.

Kesemuanya berulang dari masa ke semasa dengan sedikit perubahan sahaja. Setelah meneliti kembali sejarah perpecahan umat Islam selepas kewafatan Rasulullah saw saya merasakan bahawa kumpulan (firqah) yang pernah menimbulkan pelbagai permasalahan dan kontrovesi suatu ketika dahulu seakan-akan masih segar dan berkembang ideologi yang dilaung-laungkan walaupun pada hakikatnya kumpulan itu sudah berkubur rapat di dasar bumi bersama dengan para pelopornya.

Sebagai contoh;
1. Penggunaan falsafah yang banyak berpandukan kepada logik akal di dalam pemikiran Muktazilah sehingga mampu mengatasi Al Quran dan Hadith.


Ideologi Muktazilah ini sebenarnya sudah menular ke dalam pemikiran umat akhir zaman ini contohnya; penggunaan akal di dalam menentukan kebaikan dan keburukan mengatasi Al Quran dan Hadith seperti tiada manfaat menutup aurat jika sekiranya hati tidak ikhlas, perundangan Islam tidak sesuai dipraktikkan di zaman mutakhir ini dan seumpamanya.

2. Fahaman Murjiah yang menyatakan bahawa Iman itu hanya sekadar di dalam hati sahaja bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah yang menyatakan bahawa Iman itu apa yang terbuku di dalam hati, dilafazkan dengan lisan dan diamalkan dengan anggota tubuh badan. Fahaman Murjiah ini adalah cukup merbahaya kerana membawa erti bahawa jika sekiranya seseorang itu beriman maka dianya boleh melakukan sebarang bentuk amalan samada yang mengundang dosa besar atau mendatangkan pahala kerana iman itu tidak akan berganjak.

Antara contoh fahaman Murjiah yang menular dalam masyarakat kita pada hari ini adalah; walaupun seseorang itu mendedahkan aurat, berlaku sumbang, terlibat dengan arak, judi dan seumpamanya tetapi kita tidak boleh menghukum mereka kerana iman itu hanyalah di dalam hati semata-mata ...

Inilah yang banyak berlaku dan melanda golongan artis, ahli politik, pemimpin negara yang sentiasa menggunakan hujah Murjiah ini bagi membela diri mereka yang sentiasa terlibat di dalam gejala maksiat seperti yang disebutkan di atas tadi terutamanya artis wanita yang sentiasa dikaitkan dengan pemakaian yang menjolok mata dan juga ahli politik yang sentiasa terlibat dengan politik wang (pada hakikatnya rasuah), pendedahan aurat, menjadi benteng kepada aktiviti sosial yang melibatkan unsur makisat dan seumpamanya.

Perlu diingatkan bahawa sebagai seorang Islam kita amat teliti di dalam memastikan bahawa Imam solat fardhu yang kita tunaikan adalah merupakan seorang yang alim (pandai di dalam ilmu agama), wara' (menjaga dari dosa kecil apatah lagi dosa besar), faqih, adil dan seumpamanya tetapi di dalam kehidupan seharian kita sanggup memilih pemimpin yang memimpin serta mencorak kehidupan kita dari golongan yang sentiasa mempersendakan hukum Allah, tidak menutup aurat, terlibat dengan rasuah, judi, arak dan seumpamanya.

3. Fahaman Khawarij yang menyatakan orang yang melakukan dosa besar adalah kafir serta berpegang dengan zahir nas sehingga menyatakan bahawa orang yang menuduh lelaki berkahwin berzina tidak dikenakan had qazaf sebagaimana yang dikenakan ke atas mereka yang menuduh wanita muhsanaat berdasarkan zahir ayat An Nuur:23.

Fahaman ini tidaklah begitu menyelewang berbanding firqah yang lain bahkan hadith yang diriwayatkan oleh kumpulan khawarij masih lagi diterima kerana penipuan di sisi mereka boleh menjebakkan diri ke dalam kancah kekafiran tetapi keburukan mereka adalah terlalu drastik dalam menentukan keimanan dan kekufuran seseorang cukup dengan sekadar melakukan satu dosa besar sahaja.

Tuesday, June 13, 2006

Satu Nasihat Untuk Dikongsi Bersama

Setelah membaca blog Ustazah Zalina, rasanya tak salah kalau nak berkongsi idea dengan sahabat-sahabat di luar sana.

Sepanjang 6 tahun pengajian di Darul Quran, banyak ilmu dan pengalaman yang ditimba. Walaupun sudah lima tahun dunia ma'had itu ditinggalkan namun sebagaimana yang biasa diungkapkan sejarah itu biasanya berulang kembali cuma perwatakan yang berbeza.

Beberapa kelemahan dan kekurangan dapat disimpulkan:
1. Persekitaran yang tidak jauh berbeza terutamanya bagi golongan yang sudah serasi bersama bermula dari Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Islam (DAR), seterusnya Ma'had Darul Quran dan barangkali sehingga ke Pusat Pengajian Tinggi di Timur Tengah mencetuskan suasana ... jumud (maaf andai terkasar namun itulah realiti) sehingga menyebabkan kekurangan daya kreativiti, keterbatasan pengetahuan, kekurangan pengalaman dan rangkaian (kenalan) sehingga menjadikan kita seumpama katak di bawah tempurung.

2. Kurang kemahiran pendidikan di kalangan tenaga pengajar lantaran mencetuskan permasalahan sistem penyampaian yang tidak berkesan, sistem pengajaran yang tidak menepati silibus yang telah ditetapkan dan keperluan pelajar, komitmen yang minimum dan yang seumpama dengannya.

Sebagai contoh:

2.1 Pada tahap I'dadie 3 sudah diajar dengan permasalahan nikah seperti li'an, dzihar dll, diikuti dengan permasalahan nikah pada tahap tertinggi Thanawi sehingga melupakan keperluan pelajar kepada pemahaman asas mengenai zakat, haji dan umrah.

2.2 Subjek Lughah seperti Imla', Insya', Nahu, Sorof, Balaghah dan Adab yang seharusnya diberikan kepada tenaga pengajar yang berkelayakan serta berkemampuan bertutur Bahasa Arab dengan fasih tetapi yang berlaku tidak sebagaimana yang diharapkan. Seharusnya pengajian mata pelajaran seumpama ini menjadikan Bahasa Arab sebagai pengantar utama dan Bahasa Melayu hanya sebagai pemudah cara sahaja supaya dapat memastikan pelajar didedahkan dengan dialog dan komunikasi di dalam Bahasa Arab.

3. Sumber kewangan yang meruncing. Ini adalah di antara faktor utama terutamanya bagi sekolah agama rakyat seperti ini yang hanya menawarkan imbuhan yang tidak seberapa kepada kakitangan dan tenaga pengajarnya. Natijahnya tenaga pengajar yang mahir memilih untuk berkhidmat di tempat yang menawarkan imbuhan yang lumayan dan yang tiada tempat di luar sana akhirnya menjadikan sekolah agama rakyat sebagai tumpuan mereka. *** hanya segelintir bukan kesemuanya.

4. Stereotype masyarakat terhadap institut pengajian agama dan sekolah agama rakyat. Lantaran itu, masyarakat lebih menumpukan sekolah beraliran sekular untuk mendidik anak-anak mereka dan tinggallah segelintir yang tidak diterima atau bermasalah dihantar kepada SAR sehingga kadang-kadang menjadi barah yang sukar dibendung dan akhirnya menjangkiti kesemua pelajar yang lain. Inilah fenomena yang biasa berlaku di SAR, namun tiada upaya pihak pentadbiran SAR untuk menolak kehadiran golongan ini apabila ibubapa merayu dan menangis demi melihat anak-anak mereka mendapat sistem pendidikan Islam yang sempurna.

Any suggestion or comment can be shared together and warmly welcomed. Falyatafaddhal masybura.

Monday, June 12, 2006

Si Kecil Yang Setia















Wafa' Si Kecil yang sentiasa setia. Walaupun jelas kepenatan yang terpampang namun begitulah sebenarnya pentas perjuangan ini.











































Dari kanan; Zaujati, Baba, Adik Wafa', Mama and emm siapa ini agaknya ... tak ingat dah ... tapi yang pasti sahabat mama yang sekian lama terpisah hampir 15 tahun rasanya setelah berhijrah dari Sarawak Bumi Kenyalang. Muktamar menjadi medan pertemuan sahabat-sahabat seperjuangan ... tak perlu masuk jejak kasih ...

Suasana Muktamar
















Bersama bentara muktamar. Kenal tak siapa ini? Teka sendirilah. Alakullihal tahniah kepada warga KIDU yang telah menjayakan muktamar dengan sempurna. Moga penat letih kalian diberikan ganjaran yang setimpal.

Dalam penat lelah bertugas selama hampir seminggu menyiapkan dewan muktamar, memastikan para perwakilan dan sekalian yang hadir selesa dengan dewan persidangan, memastikan segala perancangan berjalan lancar dan akhirnya membersihkan kembali dewan persidangan tanpa diberi satu sen pun upah atau imbuhan, namun masih lagi bersemangat tinggi menyahut seruan Pengerusi Tetap dengan menyampaikan sumbangan peribadi para petugas bentara KIDU sebanyak RM57.00. Walaupun jumlah tidak sebegitu besar namun keikhlasan kalian hanya Allah yang tahu. Teruskan perjuangan kalian agar bakal dinobatkan sebagai pejuang dan ulama' di dalam perjuangan Islam ini.
















Para perwakilan dan pemerhati yang membanjiri dewan persidangan. Tidak termasuk lagi pemerhati yang mendengar di luar dan suasana di malam ceramah yang dipenuhi dengan para pendokong perjuangan Islam yang datang berbondong-bondong bagi menyahut seruan Jihad perjuangan ini.















Perwakilan Hulu Terengganu. Haji Muhyidin, Ustaz Hamazah, Ustaz Abidin dan dua orang yang di belakang tu ayahanda dan bonda tercinta.

Cuti-cuti Muktamar












































Saat insan-insan lain memanfaatkan musim cuti ini untuk jalan-jalan makan angin, agak sukar untuk mencuri sedikit waktu di dalam diari si dia yang tidak pernah mengenali erti cuti apatah lagi di dalam perjuangan Islam ini. Semoga setiap perjalanan yang diharungi, pengorbanan yang dicurahkan digandakan pahalanya di sisi Allah azza wa jalla.

Kesempatan yang boleh diambil adalah seumpama ini, program rehlah, program outdoor atau apa-apa program yang seumpama dengannya. Itupun masa seringkali mencemburui kekosongan yang dianugerahkan Ilahi.

D'Muktamar
















Orang pergi nak dengar perbahasan muktamar, kita pula pergi macam orang nak main bola ... mentang-mentanglah musim piala dunia ...















Perwakilan Hulu Terengganu > seorang dari Johor dan seorang lagi dari Kedah ... punya la jauh tercampak ... kalau dekat Kuala Terengganu tu boleh tahan lagi ... ini kat Hulu Terengganu ... Di mana bumi dipijak di situ Islam dijunjung.

Bersama Pengantin Baru






























Kemaafan dipohonkan sebab tak berkesempatan untuk hadir ke majlis di Kemaman. Alakullihal semoga dikurniakan kebahagiaan sehingga ke akhir hayat. Baarakallahu lakuma wa baaraka alaikuma wa jama'a bainakuma fil khair. Amien Ya Rabb.

Monday, March 27, 2006

27.03.2006

Dengan kegawatan ekonomi dan kenaikan minyak yang melanda tanahair, sudah pastilah kehidupan yang dilalui terasa sedikit sebanyak kesulitannya. Baik bagi mereka yang berpendapatan rendah mahupun yang berpendapatan tinggi. Masing-masing dengan kerenah tersendiri. Kalau ditanya pada orang pasar ... manusia yang lalu lalang cukup ramai tambahan pula di musim cuti sekolah tapi cuma sekadar memegang serta membelek barangan jualan dengan keinginan hati yang mendalam untuk membeli tetapi terpaksa dipendamkan sahaja niat dan hasrat itu lantaran kegawatan yang melanda. Biasalah dengar cerita-cerita macam ini sambil-sambil temankan Mak Mertua nak ke Pasar Payang atau on the way balik dari pasar.

Bagi mereka yang meninfaqkan diri di dalam kerja-kerja jamaah, saat-saat seumpama ini jugalah yang menduga keimanan dan kesabaran masing-masing. Terngiang-ngiang ayat surah Al Baqarah ayat 155 di dalam benak kepala masing-masing. Begitulah juga dengan mereka yang berkhidmat di bawah jamaah yang hanya menerima upah yang tidak seberapa. Guru-guru yang mengajar di sekolah DAR, baik di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah, pensyarah-pensyarah yang mengajar di Kuliah dan yang seumpama dengannya. Sudahlah imbuhan yang diterima tidak seberapa, tanggungjawab sosial yang banyak untuk dilaksanakan yang mana menuntut pengorbanan bukan sahaja jiwa dan tenaga bahkan juga material.

Namun Alhamdulillah walaupun betapa susah kehidupan yang dilalui, rezeki Allah tidak pernah putus-putus melimpah samada yang turun daripada langit mahupun yang keluar daripada bumi atau dari mana-mana sumber yang Allah jadikan ianya sebab pemberi rezeki.

Sebagai contoh apabila penulis membaca blog Al Fadhil Ustaz Nasaruddin, perasaan kagum diiringi dengan linangan air mata melihatkan perjuangan, pengorbanan serta keikhlasan yang ditaburkan demi perjuangan Islam. Bukan sekadar dia seorang sahaja bahkan ramai lagi mereka yang sejiwa dan senada dengan beliau.

Al Fadhil Tuan Guru Haji Hadi dan Al Fadhil Tuan Guru Haji Harun Taib yang telah sekian lama bersama dengan perjuangan Islam secara sepenuh masa. Kisah mereka juga hampir sama dengan kisah Ustaz Nasaruddin Tantawi bahkan mereka lebih lagi merasai kepahitan dan kemanisan perjuangan ini.

Teringat juga penulis dengan ayahanda yang telah pun sekian lama resign dari Kementerian Pendidikan semata-mata untuk bersama-sama dengan perjuangan Islam ini. Kisah yang hampir sama cuma watak, masa dan ketika sahaja yang berbeza. Sanggup meninggalkan jawatan yang menjanjikan habuan lumayan yang pastinya dapat memenuhi kehendak dan keperluan keluarga dengan secukupnya berbanding berkhidmat dan bersama dengan perjuangan Islam yang tidak menjanjikan sebarang habuan duniawi. 'Baba' dalam bahasa manjanya pernah ditawarkan untuk berkhidmat di luar negara namun tawaran itu ditolak kerana memilih bersama perjuangan Islam.

Saban hari bertemu dengan 'Amilien' di dalam gerakan Islam ini, semakin bertambah rasa taajub dan kagum dengan kehadiran mereka yang sanggup berkorban segala apa demi perjuangan Islam. Yang kaya menghulurkan hartanya, yang berilmu mencurahkan bakti menabur ilmu, yang punya kemahiran berusaha memantapkan perjuangan ini dengan setiap pengalaman yang ada biarpun tawaran di luar sana sedia dan seringkali memanggil-manggil.

Yang menyedihkan hanyalah apabila kritikan yang diutarakan terhadap golongan yang bergelar Ustaz mahupun Ustazah yang dipersoalkan ke manakah menghilangnya mereka. Memang benar tiada bangunan yang dibina, tiada wang yang ditaburkan, tiada segalanya tiada ... tetapi merekalah yang telah berkhidmat dari bawah demi mendokong perjuangan Islam menyedarkan masyarakat serta mengajak masyarakat supaya kembali kepada Islam yang sebenar. Namun bilakah kesan serta hasilnya boleh kelihatan ??? Hanya Allah sahajalah yang boleh mendedahkannya.

Baru-baru ini penulis mendengar desas-desus yang seakan-akan merisik diri ini supaya berkhidmat sepenuh masa di Pejabat Perhubungan Negeri, namun sampai ke saat ini masih tiada lagi lamaran yang diterima. Andainya benar ... sanggupkah lamaran itu diterima dengan segulung ijazah di tangan tetapi tawaran yang datang tidak seberapa. Moga-moga Allah memperkuatkan keimanan dan kesabaran diri ini ... Amien

Sunday, March 26, 2006

Imtihan

Sabda Rasulullah saw: Sungguh ajaib orang yang beriman, setiap sesuatu yang berlaku ke atasnya adalah baik baginya. Jika sekiranya dikurniakan kebahagiaan dianya bersyukur, maka ianya adalah suatu kebaikan baginya dan jika jika sekiranya ditimpa mala pelataka dianya bersabar, maka ianya adalah suatu kebaikan baginya. Riwayat Muslim

Hadith ini memberi pengertian yang sungguh bermakna buat diri ini. Bersabar di saat kemurungan atau kedurjanaan dan bersyukur di saat kebahagiaan. Bila diimbau kehidupan kita kembali, sudah terlalu banyak kesenangan dan kemewahan yang Allah taala anugerahkan kepada kita tetapi kadang-kadang cuma sekelumit lafaz Alhamdulillah sahaja yang diungkapkan ... itupun hanyalah sekadar lafaz yang diluahkan bersama dengan bacaan Al Fatihah atau surah-surah yang lain atau di dalam muqaddimah doa semata-mata tanpa menusuk ke dalam jiwa dan sanubari ini. Bukan itu sahaja, kehidupan seharian yang berlalu sunyi dan sepi dari zikrullah bahkan kadang-kadang melangkah lebih jauh dengan mengingkari arahan dan larangan-Nya azza wa jalla. Sesekali timbul persoalan layakkah diri ini mengutip janji-janji Tuhan yang disemadikan samada dengan perantaraan Al Quran mahupun Sunnah Baginda saw tentang keindahan syurga dan kenikmatan di dalamnya.

Sudah tentulah kita merasa cukup kerdil dan hina untuk menerima anugerah yang sebegitu besar. Benar kita mengharapkan syurga Ilahi, mengimpikan agar dihindarkan dari azab seksa-Nya, tetapi dengan kesibukan kehidupan di dunia dan kealpaan yang lahir telah menghilangkan ketakutan kita terhadap janji-janji Rabbul Izzati ini.

Ya Allah Ya Tuhanku, kalau suatu ketika dulu ada di kalangan para sahabat yang mengeluh kerana bimbangkan tentang ketulusan iman mereka ... bahkan mereka takut dan bimbang andai kata keimanan mereka tercela dengan sifat-sifat munafik lantaran sedikit kealpaan yang lahir lantaran daripada kesibukan dunia. Apatah lagi hambamu ini yang sudah jauh berada di zaman yang boleh disifatkan sebagai zaman mutakhir. Kenapa tidak ada sedikitpun perasaan gentar dan takut di dalam diri ini. Kalau ada pun ianya hanyalah seketika cuma ...

Ya Allah Ya Tuhanku, diri ini sedar bahawa diri ini masih lagi belum bersyukur pada-Mu Ya Allah. Kesyukuran itu lahir hanyalah seketika dan di lidah semata-mata Ya Allah. Campakkanlah secebis ketakutan di dalam diri ini Ya Allah.


Monday, January 16, 2006

Panorama


Hafizil Adha, 7 hari ... Untuk tatapan Pok Su dan Ayah Teh yang tak berkesempatan nak balik ke Kg Baru, Serada.


D Grand City Hotel, Brunei Darussalam


D Kedah Darul Aman lah pulak ... Seorang lagi miss, Long kat Mesir. Balik cepat2 sikit duduk apa lama2 kat sana.

Panorama


Penternak muda, nampak je kecil macam tu tapi berapa ekor arnab dah yang jadi mangsa korban, tak kurang yang orang ambil buat baka/beli.


Akmal, Azam, Uda, Angah & Syuaib ... nampak macam graf menurun ... tak gitu ... sorrylah Syuaib tak bermaksud yang kanan tu terendah sekali.


D Kemaman, hantar Kak Long ke Darul Falah. Tengok siapa sedih lagi Ceq ke Kak Ros... Hai jadi orang Kemamanlah lepas ini.

Hero, heroin dan Serada's new born


Keluarga2 D' Serada




D' airport & D' Serada