

Perhatikan fitnah yang berlaku di dalam realiti kehidupan umat Islam pada hari ini. Umat Islam di zaman mutakhir ini semakin keliru di antara ajaran Islam yang tulen dan palsu. Buktinya jelas terpapar di dalam gambar di atas di mana Al Quran itu dibaca dalam keadaan yang cukup mengaibkan. Apatah lagi dengan lahirnya fahaman, ideologi dan Islam yang cuba direbrandingkan kembali mengikut kehendak hati dan naluri mahkluk yang bernama manusia.Membaca sebuah buku bertajuk موسوعة القضايا الفقهية المعاصرة والإقتصاد الإسلامى (أ. د. على أدحمد السالوس) mendedahkan pelbagai isu berhubung kewangan Islam yang sentiasa mencetuskan prasangka dan tanda tanya di dalam benak fikiran saya. Walaupun buku itu masih belum dihadamkan secara keseluruhannya tetapi saya merasa terpanggil untuk berkongsi beberapa mutiara ilmu yang termaktub di dalamnya.
Penulis buku memulakan perbicaraan dengan uslub yang cukup menarik dan memancing kita untuk menghabiskan pembacaan keseluruhan bukunya itu. Bermula dengan bacaan ayat Al Quran daripada surah Al Baqarah ayat 275- 281 yang menceritakan tentang pengharaman riba seterusnya pengisytiharan perang daripada Allah swt dan juga Rasul-Nya saw terhadap golongan yang beramal dengan amalan riba ini.
Bahkan ayat-ayat Al Quran ini disusuli dengan hadith-hadith Nabi saw yang terbukti kesahihannya antaranya adalah hadith yang diriwayatkan daripada Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan An Nasaei daripada Abu Hurairah ra yang meriwayatkan daripada Nabi saw, sabda-nya:
إجتنبوا السبع الموبقات، قالوا يا رسول الله، وما هن؟ قال : الشرك بالله والسحر وقتل النفس التى حرم الله إلا بالحق وأكل الربا وأكل مال اليتيم والتوالى يوم الزحف وقذف المحصنات الغافلات المؤمنات.
“Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Para sahabat bertanya : Apakah tujuh perkara itu Ya Rasulullah? Jawab Rasulullah saw: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, makan harta Riba, makan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh perempuan baik, terjaga dan beriman.”
Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Jabir Bin Abdillah r. anhuma bersabda Nabi saw:
لعن النبي آكل الربا وموكله وكاتبه وشاهديه وقال: هم سواء.
“Nabi saw melaknat pemakan riba, orang yang memberi makan riba, penulis dan kedua saksinya dan berkata: mereka semua itu serupa”
Imam Ahmad dan At Thabaraani meriwayatkan daripada Abdillah Bin Hanzalah (sahabat yang dimandikan oleh para malaikat) r. anhuma bersabda Nabi saw:
درهم ربا يأكله الرجل وهو يعلم أشد من ست وثلاثين زنية.
“Satu dirham riba yang dimakan oleh seseorang sedangkan dianya mengetahui akan pengharamannya lebih dahsyat daripada berzina sebanyak 36 kali.”
Ibnu Abbas r. anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersadda:
إذا ظهر الزنى والربا في قرية فقد أحلوا بأنفسهم عذاب الله.
“Apabila lahirnya zina dan riba di dalam sesuatu perkampungan, maka mereka telahpun membenarkan terhadap diri mereka azab dan seksaan Allah swt.” Diriwayatkan oleh Al hakim dengan menyatakan bahawa sanadnya sahih.
At Thabaraani meriwayatkan daripada Ibni Mas’ud bahawa Rasulullah saw bersabda:
بين يدي الساعة يظهر الربا والزنى والخمر.
“Ketika hampirnya saat kiamat, maka akan berleluasalah riba, zina dan khamar (arak).”
Keseluruhan ayat dan hadith ini yang merupakan dua sumber utama syariat Islam yang suci murni ini menceritakan tentang betapa besarnya dosa orang yang beramal dengan riba dan azab yang dijanjikan oleh Allah swt dan juga Rasul-Nya saw terhadap golongan yang terlibat dalam amalan riba ini sedangkan kehidupan kita di zaman mutakhir ini dipenuhi dengan fitnah seumpama ini.
Adakah tidak mencukupi dengan kedua-dua sumber yang suci murni ini untuk meyakinkan kita supaya kembali kepada syariat Islam yang seringkali disifatkan sebagai syumul (comprehensive), murunah (fleksibel), ‘alamiah (global) dan pelbagai sifat kesempurnaan yang lain. Nabi saw bukan sahaja diturunkan ke dunia ini sebagai utusan Allah swt kepada bangsa Arab sebaliknya merangkumi sekalian umat manusia.
Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah swt kerana di dalam tanahair kita masyarakat sudah menyedari akan kepentingan wujudnya institusi perbankan Islam demi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat Islam.
Walaubagaimanapun adakah ianya mencukupi dengan mewujudkan sistem perbankan Islam sedangkan di suatu sudut yang lain kita masih beramal dengan sistem perbankan konventional yang semestinya bertentangan dengan konsep dan maqasied perbankan Islam itu sendiri. Bukankah nas-nas yang dibacakan sebentar tadi menekankan agar amalan riba itu dibersihkan daripada kehidupan seharian kita. Tidakkah kita menyedari dengan adanya amalan riba di dalam masyarakat kita, kita mendedahkan diri terhadap kemurkaan Allah swt dan sekaligus mengundang bala bencana daripada-Nya.
Adakah Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw itu masih tidak sempurna sehingga kita sanggup mencari suatu inisiatif baru di dalam menangani isu-isu terkini ataupun Islam Hadhari yang dilaung-laungkan mempunyai manhaj yang tersendiri dalam menangani permasalahan ini.
Kita seharusnya meluahkan kebimbangan kita dengan kewujudan dua sistem perbankan yang satunya suci murni sedangkan di satu pihak yang lain hanyalah merupakan suatu ideologi cetusan manusia biasa. Bayangkan saudara-saudari sekalian, apabila saudara/ri hendak menunaikan solat di dalam keadaan tubuh yang sudah suci bersih baik daripada hadas kecil mahupun besar, berwudhu’, berpakaian yang menutup aurat dan suci daripada segala bentuk najis, tiba-tiba terkena setitik air najis apatah lagi kalau najis itu adalah najis daripada binatang seperti anjing ataupun khinzir ... adakah saudara/ri akan meneruskan niat untuk menunaikan solat atau sebaliknya membersihkan diri terlebih dahulu. Maka begitu jugalah dengan kehidupan kita seharian.
Bahkan kita juga menyatakan kekhuatiran kita apabila sistem perbankan Islam itu diterajui oleh golongan yang mempunyai kepentingan duniawi tersendiri sehingga sanggup menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal sehingga semua yang memberikan kepercayaan sepenuhnya terhadap sistem yang dinamakan perbankan Islam itu tercalit walaupun sedikit dengan najis-najis riba yang kita sentiasa berdoa agar terhindar daripadanya.
Saya sendiri seringkali dibelenggu oleh perasaan takut dan syak wasangka dengan sistem perbankan Islam yang diwar-warkan kerana dikhuatiri segala janji yang diwar-warkan itu hanyalah sebagai suatu retorik demi menarik minat umat Islam terhadap konsep perbankan yang ditawarkan.
Antaranya sistem pembelian secara: Bai’ Bithaman Ajil (Jualan Pembayaran Tertunda), Ijarah Thumma Al Bai’ (Sewa Beli), Bai’ al-Inah (Persetujuan Jual dan Beli Balik) yang dibimbangi sekadar terminologi yang diguna pakai demi mengaburi pandangan mata kasar umat Islam. Antara contohnya lagi adalah sistem Takaful yang saya sendiri membuat pelaburan secara bulanan setelah diperkenalkan oleh wakil syarikat. Namun apa yang membimbangi saya adalah apabila beberapa kajian dilakukan oleh beberapa pihak yang mempunyai kepakaran di dalam bidang ini menyatakan keseluruhan sistem takaful yang dilaksanakan adalah sah dan benar-benar mengikut kehendak Islam tetapi masih mempunyai kelemahan yang menyebabkan segala sistem yang diperkenalkan itu tercemar apabila ianya di re-insurance kembali kepada syarikat insuran yang tidak Islam.
Fikirkanlah saudara-saudari, bilakah saatnya kita dapat mengecapi nikmat sistem kewangan Islam yang sebenar selagi mana kita masih lagi berenang dan menyelam di dalam lautan yang bercampur di antara air yang suci bersih dan najis yang menjijikkan.
Sebaik sahaja tirai Ramadhan berlabuh, setiap umat Islam akan sentiasa berpesan di antara satu sama lain akan kelebihan bulan yang penuh keberkatan ini. Namun perlulah diingatkan akan hadith serta amaran Rasulullah saw ketika mana Baginda bersabda:
“Barangsiapa yang mendustakan aku, maka nantikanlah tempatnya di dalam neraka jahannam”
Riwayat Imam Ahmad
Antara hadith-hadith sahih yang menceritakan kelebihan bulan ini adalah:
“Barangsiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.”
Riwayat Bukhari dan Muslim
“Apabila tibanya Ramadhan, terbukalah segenap pintu syurga, tertutup rapatlah segala pintu neraka dan syaitan dibelenggu kesemuanya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim
“Solat fardhu lima waktu, Jumaat ke Jumaat berikutnya dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah merupakan penghapus dosa bagi dosa yang berada di antara keduanya selagimana seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar.”
Riwayat Muslim
Manakala hadith-hadith yang menceritakan fadhilat dan kelebihan sunat terawih secara terperinci daripada malam pertama sehinggalah malam terakhir dan fadhilat-fadhilat yang lain yang tidak diketahui kesahihannya adalah dikhuatiri bukan merupakan mutiara kata yang keluar dari bibir Nabi Muhammad saw yang kita kasihi selama ini bahkan ianya termasuk di dalam hadith Dhaif dan Maudhu’.
Maka sayugianya disarankan agar kita tidak memanjangkan hadith-hadith yang seumpama ini kerana ianya adalah suatu perbuatan fitnah ke atas junjungan besar nabi Muhammad saw. Tidak dinafikan bahawa di dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini terdapat pelbagai kelebihan ... namun berpadalah dengan fadhilat dan kelebihan yang hanya telah dijanjikan oleh Allah swt dan Nabi Muhammad saw sahaja tanpa perlu kita mengada-adakan, mereka-reka mahupun memanjangkan hadith yang mempunyai anasir penipuan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad saw yang kita kasihi.
Sepanjang penelitian penulis, hadith kelebihan sunat Terawih yang dikatakan diambil daripada Saidina Ali Bin Abi Talib daripada Rasulullah saw ini tidak pernah termaktub di dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim yang merupakan kitab Hadith yang paling sahih selepas Al Quran, begitu juga ianya tidak termaktub di dalam Kutubus Sittah (kitab hadis yang enam): Bukhari, Muslim, At Tirmidzi, Abu Daud, An Nasa'ie dan Sunan Ibn Majah.
Begitu juga dengan perbalahan dan perselisihan yang berlaku dalam menentukan rakaat sunat Terawih sehinggalah mencetuskan fitnah yang tidak seharusnya berlaku hanya kerana amalan sunat ini semata-mata sedangkan perpaduan dan kesatuan itu adalah merupakan kewajipan yang tiada khilafnya lagi. Barangsiapa yang berpendapat sunat Terawih itu 8 rakaat maka dia mengikuti sunnah yang telah diwariskan oleh Baginda saw sendiri sedangkan yang menyatakan 20 adalah berpandukan kepada amalan Saidina Umar Al Khattab salah seorang sahabat Baginda saw yang dijanjikan Syurga oleh Allah swt dan yang pastinya kedua-dua amalan ini adalah benar dan tepat di dalam ajaran Islam.
Tidakkah kita hairan, mengapa perlu bertelingkah di dalam permasalahan ini sedangkan sunat Rawatib (sunat yang mengiringi solat fardhu) itu adalah berkali ganda lebih afdal daripada sunat Terawih. Sedangkan apa yang berlaku adalah kita berebut-rebut untuk mengerjakan sunat Terawih tetapi meninggalkan sunat Rawatib yang kelebihannya adalah lebih banyak daripada sunat Terawih.
Adakah lelaki ini kelihatan merbahaya sehingga diperlakukan sedemikian rupa? Adakah hanya dengan bersenjatakan sebuah buku yang berada di tangannya mampu mencetuskan suatu porak peranda ataupun huru-hara? Ataupun makhluk yang berbaju hitam dan bertopi merah itu sudah seumpama anjing lapar yang tidak mempunyai hati dan perasaan yang menjadi naluri setiap makhluk yang bernama insan. Sedarkah mereka bahawa doa orang yang dizalimi tiada satu pun yang mampu menghalangnya dari sampai kepada Rabbul Izzati, Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Perkasa, Maalikul Mulk Raja Segala Raja ...
MESRA, CEPAT & BETUL ... tema yang telah sekian lama dilaung-laungkan. 

Kerajaan yang adil & amanah,
















